Sunday, November 13, 2011

Ujian Adalah Tanda Allah SWT Menyayangi Kita

Setiap jiwa yang mengaku beriman itu pasti akan diuji, sunnatullah itu tetap akan hadir.
Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah kabar gembira kepada orang-orang yang sabar, [Al-baqarah 2: 155]
.
.
.

Ujian itu adalah tanda Allah masih ‘nampak’ dan peduli pada kita.
Lagi berat ujian yang ditimpakanNya, lagi sayang Dia pada kita.
Maka bergembiralah bagi mereka yang bersabar atas ujian yang menimpa.
.
Bersabar itu sememangnya payah. Iyalah kan, andai melaksana semudah bicara, tidaklah kesabaran dibayar syurga. Semoga janjiNya tentang syurga itu bisa membantu kita untuk terus sabar dan tabah menghadapi segala rasa yang seakan membeban di bahu.
.
.
Kita sepatutnya berasa risau andai kita tidak diberi ujian dalam kehidupan ini.
Malangnya andai segala nikmat yang hadir itu bukan kerana kasih dan sayangNya, tapi hanyalah sebagai istidraj (nikmat yang diberi untuk menjauhkan lagi kita daripada Allah).
Mari bersyukur kerana Allah masih ‘nampak’ dan peduli pada kita.
.
.
Ada orang pernah berpesan kepada saya :
Berdoalah agar diberi kekuatan untuk menghadapi ujian hidup (iman, ukhwah, keluarga, kewangan, study, dll), bukannya supaya Allah menghilangkan ujian daripada kita. “
.
.
Wallahu ‘alam.
Semoga kita tidak diuji melebihi daripada kemampuan kita.
.
.
Bukankah dengan ujian kepayahan itu, doanya kita makin laju menerjah ke langit?
Bukankah dengan ujian kesulitan itu, solatnya kita makin khusyuk mencari tenang?
Bukankah dengan ujian yang memberat itu, pengharapan kita semakin kuat kepada Dia?
.
.
Allah yang menciptakan kita. Dia tahu apa keperluan kita. Kerana itulah, Allah beri apa yang kita perlu, bukan apa yang kita mahu.
.
.
Mari bersangka baik dengan Allah.
Ujian itu suatu tarbiyyah daripada Allah.
Ujian itu tanda kita masih ‘ada’ di ‘mata’Nya.
.
.
.
Lihat ke langit, mentari itu masih menyinar, walaupun di waktu malam, masih tabah meminjamkan cahaya nya kepada sang rembulan. ^^

Rujukan:

http://iniceritakita.wordpress.com/2011/11/10/ujian/

Thursday, November 10, 2011

Tahap Kesedaran Solat Berjemaah Anak Muda Kita

http://pakdeazemi.files.wordpress.com/2010/04/sholat1.jpg

Minggu lepas saya singgah solat fardhu maghrib di sebuah surau di Taman Sri Serdang. Sebelum ini pun saya sekali-sekala singgah di surau itu.

Sungguhpun surau itu tidaklah besar tetapi saya tertarik dengan suasananya yang agak menenangkan hati dan jiwa. Ditambah lagi dengan suasana solat berjemaah dengan pelbagai bangsa asing yang saya kira pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Saya kira kebanyakan mereka datang dari negara Asia Barat dan Afrika – dengan tubuh mereka yang sasa dan tinggi dan kulit agak gelap. Ada yang sedikit cerah seperti bangsa Bangladesh dan Pakistan. Ataupun mereka datang dari negara-negara lain yang saya tidak dapat pastikan.

Tetapi yang jelas apabila tiba waktu solat terutama fardhu maghrib dan isyak, mereka beramai-ramai muncul dari arah sekeliling surau untuk mengerjakan solat berjemaah. Seakan-akan mereka tinggal atau menyewa di rumah-rumah berdekatan dengan surau itu.

Di dalam surau pula kelihatan mereka seperti sudah biasa atau tidak kekok berjemaah dengan orang-orang tempatan. Kehadiran mereka seperti dapat dan sudah diterima oleh masyarakat tempatan khususnya di surau itu.

Kehadiran mereka juga menjadikan sebahagian besar ruang solat surau itu terisi dan menambahkan lagi pahala serta berkat solat berjemaah kerana Allah s.w.t lebih menyukai akan solat berjemaah yang lebih ramai atau besar bilangannya.

Lihatlah pelbagai bangsa tidak kira dari mana mereka tetapi atas pegangan agama yang suci iaitu Islam yang dibawa oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w yang bertunjangkan dua kalimah syahadah amat mengambil berat tentang solat berjemaah.

Tetapi sayang di kalangan ahli-ahli jemaah tempatan, mereka adalah daripada golongan yang sudah berumur dan warga tua atau emas. Sementara anak-anak muda remaja tidak kelihatan melainkan beberapa pelajar sekolah tahap menengah.

Ke manakah pergi mereka anak-anak muda belia? Mungkin sahabat-sahabat mempunyai pandangan atau andaian sendiri mengenai senario ini. Cuma yang jelas dapat saya katakan bahawa tahap kesedaran akan kepentingan solat berjemaah di kalangan anak-anak muda kita masih rendah.

Saya berpendapat demikian kerana saya percaya antara sebab menjadi pendorong pelajar-pelajar asing mengambil berat akan solat berjemaah adalah tidak lain melainkan kesedaran tentang kepentingan akan solat berjemaah.

Kita patut bersyukur dengan nikmat iman dan Islam yang dikurniakan Allah s.w.t. Sebagai tanda kesyukuran kita hendaklah mengambil berat tentang solat berjemaah (khususnya sahabat lelaki) dengan mengajak, membimbing dan mendidik mereka yang dekat atau di bawah pimpinan kita agar mengambil berat terhadap solat fardhu secara berjemaah.

Semoga Allah s.w.t memberikan Taufik dan Hidayah agar sentiasa menjaga solat jemaah dengan istiqomah. Aamiin.