Thursday, March 31, 2011

AKU TIDAK TAHU

http://saifulislam.com/wp-content/uploads/2009/05/ulama.jpg

Kalam Salaf: AKU TIDAK TAHU

Al-Imam Abu ‘Abdullah al-Harits ibn Asad al-Muhasibi (wafat 243H) menyebut di dalam karya beliau berjudul Risaalah al-Mustarsyidiin:

Sayyiduna ‘Ali رضي الله عنه berkata (terjemahannya): Jangan kamu takuti kecuali terhadap dosamu, jangan kamu berharap kecuali kepada Rabbmu, orang yang tidak mengetahui jangan malu untuk bertanya sehingga menjadi tahu dan janganlah orang yang ditanya tentang sesuatu yang dia tidak tahu untuk berkata AKU TIDAK TAHU. (Lihat Risaalah al-Mustarsyidin oleh Imam al-Muhasibi,halaman 81 – 82). Syeikh ‘Abdul Fattah Abu Ghuddah dalam komentarnya kata-kata di atas membawa kata-kata para ulama tentang berkata: AKU TIDAK TAHU. Antaranya:

Telah meriwayatkan Ibn ‘Abd al-Bar di dalam Jaami’ Bayan al-Ilm wa Fadhlihi (terjemahannya): Sebahagian ahli ‘ilmu mengatakan: Belajarlah (untuk berkata) AKU TIDAK TAHU dan jangan belajar (untuk berkata) AKU TAHU. Kerana seandainya engkau berkata AKU TIDAK TAHU, nescaya mereka mengajarmu sehingga engkau tahu dan seandainya engkau berkata AKU TAHU, nescaya mereka bertanya kepadamu sehingga engkau tidak tahu. – Tamat petikan –

Kisah
Imam Malik رضي الله عنه adalah seorang ulama besar Madinah dan pengasas kepada mazhab Maliki, merupakan guru kepada Imam asy-Syafie رضي الله عنه. Mendapat julukan sebagai Imam Dar al-Hijrah. Akan tetapi sekalipun beliau seorang muhaddits dan faqih, beliau sangat berhati-hati di dalam menjawab permasalahan atau berfatwa. Sehingga suatu ketika seseorang datanglah seorang lelaki dari Baghdad ke Madinah khusus untuk bertanya kepada Imam Malik رضي الله عنه akan beberapa masalah (pengajaran: (1) lihatlah betapa bersemangatnya orang-orang dulu, sanggup mengembara jauh hanya untuk beberapa masalah dari ulama yang mu’tabar, manakala kini majlis ilmu sebelah rumah pun berat nak hadir … (2) bertanya kepada ulama yang mu’tabar, bukannya kepada yang ‘setengah masak’, ‘mujtahid gadungan’ atau berguru dengan internet …. hehehe). Maka lelaki tersebut mengajukan lebih kurang 18 masalah. Daripada 18 masalah tersebut hanya tiga masalah sahaja yang dijawab oleh Imam Malik رضي الله عنه, sedangkan untuk masalah selebihnya beliau hanya mengucapkan: AKU TIDAK TAHU! AKU TIDAK TAHU! (pengajaran: perhatikan bagaimana berhati-hatinya ulama untuk menjawab permasalahan atau berfatwa, dan tidak malu untuk mengucapkan sesuatu yang belum pasti dengan AKU TIDAK TAHU. Manakala masyarakat kita kini yang tidak berautoriti dalam masalah hukum pun, mengeluarkan fatwa dan sebagainya. Bahkan ada berlagak seumpama mujtahid tarjih, ada yang kondem ulama-ulama bertaraf mujtahid terdahulu, macam-macam lagi lah! …. Seolah-olah mereka lebih berilmu dari para ulama terdahulu sedangkan pada hakikatnya …. Habuk pun tak dak!!!…..).
Maka lelaki tersebut berkata: Wahai Imam Malik, aku datang jauh-jauh hanya untuk menanyakan kepadamu masalah ini, sedangkan engkau hanya mengucapkan tidak tahu?
Imam Malik رضي الله عنه bertanya:Dari mana engkau datang?
Lelaki tersebut menjawab: Aku datang dari Baghdad.
Imam Malik bertanya lagi: Masjid mana yang menaranya paling tinggi di Baghdad?
Lalu lelaki itu menjawabnya seraya menyebutkan nama suatu masjid yang paling tinggi menaranya di Baghdad.
Lantas berkata Imam Malik berkata: Bila engkau pulang ke Baghdad, pergilah ke masjid tersebut dan naiklah ke puncak menaranya, lalu berteriaklah dengan sekuat suaramu agar semua orang mendengar bahwa Malik bin Anas adalah orang yang paling bodoh. – Tamat kisah –

Inilah sifat orang yang berilmu iaitu berani dan tidak malu untuk berkata AKU TIDAK TAHU. Ibrahim an-Nakhaie bertanya kepada ‘Amir asy-Sya’bi (yakni seorang imam yang ‘alim pada zaman tabi’in) suatu masalah. Lalu ‘Amir menjawab: AKU TIDAK TAHU. Maka berkatalah Ibrahim an-Nakhaie: Demi Allah! Inilah orang yang berilmu, ketika ditanya tentang sesuatu yang dia tidak tahu (jawapannya), maka dia berkata: AKU TIDAK TAHU.

والله أعلم
Al-Fagir ilaLlah abu zahrah
Jum’at, 5 rabi’ulakhir 1432, taman seri gombak

http://al-fanshuri.blogspot.com/2011/03/kalam-salaf-aku-tidak-tahu.html

Yakini Pertolongan dan Kemampuan Allah SWT dalam semua perkara

http://4.bp.blogspot.com/_uERhzlUdG2o/SwfOwpA8HtI/AAAAAAAAAEA/r4T0Fr9sFDU/s1600/kuasa+Allah+-+Tsunamo.jpg

Waktu demi waktu telah berlalu

Kini semester tahun semakin kian berakhir walaupun sebenarnya masih ada kerja dan projek yang perlu diselesaikan dengan segera sebelum sampai date line

Kubaitkan kalam ini kerana terasa terguris hati kerana kelas yang digemari telah pun tamat pada semester ini :(

Terasa seperti hilang satu keseronokan dalam pelajaranku. Tak mengapalah, suatu ketika nanti tetap akan selesai jua subjek ini. Terima kasih kepada tenaga pengajar yang tak jemu2 menerangkan dengan detail apa yang diajar. InsyaAllah, untuk peperiksaan nanti, akan buat yang terbaik bagi subjek ini, menunjukkan kesungguhanku belajar bagi subjek yang digemari. :)

Kadang-kadang rasa janggal pun ada, kerana belajar dalam aspek sains. Tetapi lebih memahami dan mendalami dalam bidang agama.

Banyak perkara yang menyebabkan daku lebih gemar akan bidang agama. Antaranya, kerana minat. Yang kedua, kerana rakan. Yang ketiga, kerana suasana. Yang keempat, kerana bahasa. Ini adalah aspek dalaman dan luaran yang daku analisis mengapakah minat dan pemahamanku dalam bidang agama. Perkara yang daku tidak ketahui, hanya Allah yang Maha Mengetahui-Nya.

Apa-apapun, mempelajari ad-din bagi diriku bukanlah sebarangan pelajaran yang perlu ditimba seperti mana aspek sains. Sebagai contoh mudah, semua orang belajar ada matlamat untuk kejayaan dalam peperiksaan dan beroleh kerjaya yang baik di masa hadapan.

Tetapi bagi diriku, mempelajari subjek agama di universiti ini bagai suatu perjuangan. Diulangi SUATU PERJUANGAN. Ia merangkumi maknaku menuntut ilmu pengetahuan, malah untuk perkara-perkara yang menyeluruh dalam kehidupan.

Hal ini kerana daku sendiri pelajar sekolah agama. Corak dan suasana di sini dan di sana sudah tentu jauh berbeza. Tiada persamaannya. Namun, kerana perbezaan itulah daku mengatakan itu suatu perjuangan…

Dahulu belajar serupa juga macam belajar sains. Untuk memenuhi silibus pelajaran dan berjaya dalam peperiksaan. Tetapi kini berlajar ad-din Allah dan untuk menegakkan akidah dalam diri adalah suatu mujahadah yang perpanjangan. Tiada orang yang akan menyokong dan menuruti cara kita. Ramai lagi yang terpesong dan jauh dari pegangan agama yang sebenarnya.

Sewaktu pertama kali kujejakkan kaki ke sini, teringat lagi. Daku bagai dah hilang pertimbangan untuk mencari mana arah tuju hidupku. Mencari dan mencari, pelbagai rakan dan kenalan yang berjumpa..Boleh sahaja bergurau dan bergaul bersama mereka. Tetapi baruku sedar ada kekosongan dan kehilangan yang wujud dalam peribadiku.

Hilang nur Allah… Hilang cahaya yang pernah kuterima ketika bersama rakan-rakan di sekolah walaupun daku tidak pernah menghargainya…

Sehinggalah Allah s.w.t yang Maha Penyayang menunjukkan jalan-Nya. Daku akhirnya berjaya juga menjejakkan kaki untuk mempelajari agama di Universiti ini walaupun diriku tidak pernah sedar dan ketahui bilakah sebenarnya ia wujud di sini.

Ketika itulah daku baru sedari betapa agama itu yang memanduku dalam kehidupan. Baruku sedari betapa menegakkan ad-din Allah itu sebenarnya satu perjuangan.

Walaupun hanya untuk diri sendiri. Terutama ketika zaman keji dan mungkar ini…

Sehinggalah kini…

(panjang lagi… tak mahu cerita lebih-lebih… )

*********************

“ Cikgu, Amin lapar. Nak pergi kantin, beli nasi…”

“La… kenapa tak makan ubat lagi? Nanti macamana nak sihat?”

“Habis, kau ingat boleh dapat kerja baik-baik dan berduit dengan hanya melepak di rumah, tak payah belajar?”

Asbab. Punca. Faktor.

Tiga istilah dalam satu makna, iaitu penyebab kepada masalah yang akan memberi kesan kepada masalah. Lebih dikenali dengan istilah cause and effect. Sebagai contoh, kalau tak makan, nanti akan jadi lapar, kalau tak tidur, nanti akan mengantuk. Kalau tak belajar tinggi-tinggi, nanti tak ada kerja dan berduit di kemudian hari.

Maka, tanpa asbab yang munasabah tentu sesuatu perkara itu tidak akan berlaku dan sukar untuk terjadi. Kerana hal ini, semua orang meyakini akan sesuatu perkara kerana asbab yang telah diketahui olehnya.

Makanan yang akan mengenyangkan. Wang yang banyak menentukan kekayaan. Kebahagiaan rumah tangga ditentukan bila lengkap suami, isteri, dan anak-anak. Makanan, wang, dan ahli keluarga dipercayai menjadi punca untuk sesuatu perkara yang lain berlaku. Jika tidak, sukar dan mustahil boleh berlaku.

Kenyang tanpa makan?

Kaya tanpa banyak wang?

Bahagia tanpa cukup ahli keluarga?

SOLAT DAN DOA

Punca kepada berlakunya sesuatu perkara menepati prinsip rasional akal menerima sesuatu kejadian. Punca memenuhi keperluan logik pada akal. Akal menerima sesuatu kejadian berdasarkan pengamatan atau penerimaan dari sesautu yang telah dimulakan. Permulaan kepada kenyang tentu dengan makanan. Permulaan kepada kekayaan, tentu daripada sumber kewangan.

Tetapi, ada suatu perkara lagi yang membatasi akal dari menyatakan sesuatu perkara itu akan berlaku tanpa berpunca dari asbab yang melakukan. Asbab ini langsung tiada perkaitan dengan asbab yang biasa dilihat dan diyakini oleh manusia. Kejadian ini melangkaui keupayaan akal untuk menerima kejadian tetapi tidak nampak sumber kepada kejadian. Kerasionalan langsung tidak wujud untuk menyelesaikan langsung berlakunya sesuatu kejadian.

Perkara tersebut ialah solat dan doa. Hebatnya orang Islam boleh memperoleh sesuatu bukan melalui fitrah akal dan manusia. Terus terang bernaung kepada yang menciptakan masalah (kenyang, lapar, dahaga, sengsara, dan sebagainya) dan menyelesaikan masalah iaitu Allah s.w.t. Orang mukmin lagi bahagia. Dengan hanya solat dua rakaat yang penuh pengharapan dan tawajuh kepada Allah, mereka boleh memperoleh sesuatu yang tidak diduga telah menyelesaikan masalah mereka.

Kerana itu Islam adalah agama yang benar dan anugerah. Islam mendidik akal supaya berfikir berlandaskan fitrah dan sujud serta menyerah diri kembali kepada Allah. Akal bagi Islam ada batasannya, dan berfikir sekehendaknya sahaja.

Dengan syarat, menyakini Allah yang mampu menyelesaikan segala masalah, dengan izin-Nya, semua perkara di dunia ini yang diusahakan sedaya yang ada akan menjadi mudah. Kerana solat dan doa itu jalan penghubung terus kepada Allah. Perbicaraan khusus antara makhluk dengan khalik-Nya.

Dukungan keyakinan ini jua membezakan seseorang mukmin daripada orang musyrikin dan kafirin. Mukmin meyakini Allah yang menyelesaikan segala kejadian, dan Dia yang menciptakan segala kejadian. Musyrikin dan kafirin menyakini asbab yang menentukan kejadian, dan permulaan segala kejadian hadir dari usaha mereka sendiri.

Yakin kepada asbab yang menentukan kejadian telah menjauhkan hamba Allah dari mengharapkan kepada-Nya. Asalkan tidak menjauhi dari konsep tawakal setelah berusaha dan berdoa yang telah disyariatkan.

MUKJIZAT DAN KARAMAH

Ini antara dua perkara yang bercanggah dengan konsep akal. Bagaimana bulan yang nun jauh luar dari sistem bumi boleh terbelah dua? Air keluar secara tiba-tiba dari hujung jari yang bukan ada paip dan sumber daripada tanah? Batu yang tiada mulut dan lidah boleh berkata-kata?

Perkara ini membuktikan Allah yang Maha Pencipta. Ia memang benar-benar telah berlaku dan terbukti kejadiannya sama ada melalui fakta sains mahupun tercatat dalam al-Qur’an.

Kerana kelalaian manusia dalam menilai kejadian ciptaan Allah, mereka terlupa melihat peristiwa sejarah yang pernah berlaku tetapi di luar dari batasan manusia. Ia berlaku untuk membuktikan kebenaran yang Maha Pencipta. Allah telah menciptakan mukjizat kepada para rasul dan nabi-Nya supaya manusia beriman dan kembali menyerah diri kepada-Nya. Mukjizat menafikan usaha makhluk yang menentukan segala kejadian.

Begitu jua karamah. Ia perkara luar biasa kepada orang yang hampir dengan Allah. Karamah merupakan kelebihan yang diberikan khusus oleh Allah untuk memuliakan seseorang hamba-Nya di kalangan hamba-Nya. Namun, sesungguhnya bukan karamah sebenarnya yang dipinta oleh mereka, melainkan pengabdian dan keredhaan oleh Allah untuk kehidupan mereka itu yang diharapkannya

Kerana itu mukjizat mahupun karamah bukanlah datang dari usaha dan keupayaan manusia, melainkan pembuktian Allah yang boleh melakukan apa sahaja terhadap hamba-hamba-Nya.

PERKHABARAN DARI KEBENARAN

Kini, untuk meyakini berlakunya sesuatu perkara luar dari batasan keupayaan manusia bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Manusia telah lama dipengaruhi oleh keupayaan teknologi dan reka cipta mereka sendiri. Kerana perkara ini, ramai orang yang kurang pengetahuan dan tidak mampu menandingi reka cipta terkini merasakan putus asa untuk meraih kejayaandi kemudian hari.

Malah, kerana dokongan dan seruan pelbagai aspek media dan perkhabaran massa telah menjadikan manusia semakin lalai dan alpa serta makin sukar ingin mempercayai adanya kebenaran berlakunya sesuatu peristiwa tanpa teknologi yang menciptakannya.

Hakikatnya, keupayaan manusia tiada satu pun mampu melawan kudrat Allah. Sekiranya dikatakan perkara A akan berlaku, ia tetap akan berlaku. Tiada sesiapa pun mampu untuk mengubahnya. Walau manusia itu berusaha maju sehingga ke langit biru, tidak jua akan berlaku melainkan ia adalah keizinan daripada-Nya.

Sekiranya seseorang mukmin dan solehin meyakini sepenuhnya sesuatu kejadian itu hanya akan berlaku kerana Allah yang menciptakan ia akan berlaku, tiada makhluk yang akan mampu menggoyah keyakinan mereka. Keyakinan para mukminin dan solehin hanya pada Allah, bukan makhluk yang diciptakan oleh Allah.

Abaikan segala jenis media dan ‘otak’ ciptaan manusia, kerana mereka hanya mengelirukan dan bermain-main dengan anda.

Suatu ketika nanti, percayalah, tentera muslimin akan mampu mengalahkan tentera kafir yang pelbagai jenis teknologi itu dengan hanya keyakinan dan kesungguhan yang jitu pada Allah Azza wa Jalla sahaja. Jadikan kisah para sahabat Rasulullah s.a.w dan pejuang Islam di zaman kegemilangannya sebagai renungan. Kerana mereka sebenar-benarnya yang layak dijadikan sebagai strategi dan rujukan.

Jangan dilupakan bagaimana tentera Talut mengalahkan tentera Jalut. Betapa kualiti mengalahkan kuantiti.

Bilakah akan berlaku? Wallahua’alam.

….sungguh tidak diketahui, melainkan Dia yang Maha Mengetahui….

Daku berlindung dari perkara yang Engkau tidak redhai

Daku berlindung dari perkara yang Engkau laknat dan murkai

Sekiranya perkara itu telah ditentukan oleh-Nya, ketahuilah, dengan keizinan dari-Nya, masa itu akan tiba.

Cuma,

Sampaikanlah apa yang perlu disampaikan

Usahakanlah seperti manusia biasa sekadar yang perlu diusahakan

Semoga dirahmati dan dikasihi Allah s.w.t

Saturday, March 19, 2011

Kelebihan Orang Yang Memiliki Ilmu

http://mthago.files.wordpress.com/2010/05/ulama-habaib.jpg

Kelebihan berilmu

Oleh MUHAMAD KHAIRUL AZHAR GHAZALI
MANUSIA yang mendapat sanjungan Allah SWT adalah golongan yang menyampai dan mendidik masyarakat. Mereka meneruskan segala kerja-kerja yang ditinggalkan Rasulullah SAW dalam menyempurnakan syariat ummah.

Inilah golongan yang disebut sebagai ulama atau orang yang berilmu dan menjadikan hidup sebagai hamba agama dalam mentarbiah masyarakat agar mengenal pencipta.

Dalam al-Quran Allah menobatkan mereka melalui ayatnya yang bermaksud: …Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan Allah meninggikan orang-orang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) dengan beberapa darjat. Dan ingatlah, Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan (al-Mujadalah: 11).

Betapa Allah memuliakan golongan yang berilmu atau disebut sebagai ulama. Ini kerana peranan mereka dalam sesebuah masyarakat terlalu besar.

Mereka penerus dakwah Nabi Muhammad SAW dalam melengkapkan agama umat manusia. Mendidik dan mentarbiah jiwa-jiwa agar patuh dan taat kepada segala apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi larangannya agar kita benar-benar faham mengapa kita diciptakan dan diletakkan di dunia sebagai hamba.

Melihat kepada pengorbanan golongan ulama yang terlalu besar ini, maka kolum kali ini akan membincangkan tentang kelebihan ilmu dan ulama.

Masyarakat kita lazim memanggil golongan yang alim dan fasih dengan ilmu agama sebagai ulama. Bahkan kerap kita mendengar panggilan ulama itu dilengkapkan lagi tambahannya Al-Alamah yang bermaksud sangat alim sebagai meninggikan lagi dan memuliakan golongan berjasa itu.

Ulama berperanan meneruskan penyebaran risalah kerasulan yang ditinggalkan oleh Rasulullah dalam tiga bentuk sasaran yang khusus.

Pertama, membentuk akidah ummah (kepada siapa sembahan kita); Kedua, memahamkan tentang syariat (bagaimana kehidupan dan ibadah sebagai seorang mukmin) dan ketiga, membimbing gerak langkah umat supaya tidak ada rasa takbur dan riak dengan amalan dan sentiasa menjadikan Allah dan Rasul sebagai cinta utamanya.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Menuntut ilmu itu adalah fardu (wajib) ke atas setiap muslim (lelaki) dan muslimah (perempuan) (riwayat Muslim).”

Lalu ulama menghuraikan, yang dimaksudkan ilmu yang wajib itu ada tiga bahagian iaitu:

i. Akidah atau tauhid yang membincangkan tentang pegangan dan keyakinan kepada Allah.

ii. Fiqh atau syariah yang memahamkan tentang kehidupan, bagaimana cara beribadat dan sebagainya yang merangkumi keseluruhan kehidupan manusia.

iii. Tasauf atau akhlak sosial yang membimbing perilaku dan hati supaya menjauhi sifat-sifat yang boleh merosakkan ibadah seperti riak, ujub, sum’ah dan sebagainya.

Dengan ketiga-tiga ilmu tadi maka lepaslah kewajipan seorang manusia itu dari tuntutan agama.

Jelas bahawa tugas sebagai ulama itu bukan sekadar menjadi imam dan berkhutbah di masjid, surau atau madrasah tapi besar sekali tanggungjawab yang Allah pikulkan ke bahu mereka.

Rasulullah bersabda: “Ulama adalah pewaris kepada nabi-nabi.” Oleh itu tidak hairanlah mengapa golongan ini sangat dimuliakan oleh Allah SWT.

Kata Ibnu Abbas r.a: “Bagi mereka (ulama) itu beberapa darjat yang lebih atas orang mukmin dengan tujuh ratus darjat, jarak antara satu darjat dengan satu darjat itu sejauh perjalanan lima ratus tahun, seperti jarak di antara langit dan bumi.”

Dan daripada Ibnu Abbas r.a lagi: “Bahawasanya Allah SWT bermegah-megah kepada para malaikat tentang usaha dakwah ulama, seperti bermegah-megah ia dengan darah orang yang mati syahid.”

Lihatlah darjat dan kemuliaan yang Allah berikan kepada ilmuan islam atas usaha keras mereka menyebarkan agama Allah yang indah.

Jika kita mengkaji kemuliaan bangsa kita, mengapa orang Melayu dihormati dan disegani, menjadi bangsa yang bermaruah, mestilah juga kerana agama Islam yang menjadi anutan dan pegangan.

Namun siapa yang membawa kemuliaan agama itu kepada kita suatu ketika dahulu? Siapa yang mengislamkan Parameswara dan menukar kerajaan Melaka menjadi kerajaan Islam yang sangat berpegang teguh dengan prinsip agama. Bila ditanya siapa mereka, tentu sekali jawapannya adalah ulama.

Kemuliaan dalam menuntut ilmu

Di era kehidupan kita sekarang, masih banyak bahkan terus berkembang institusi-institusi yang mendidik umat menjadi golongan yang berilmu.

Ini sangat perlu agar ada keseimbangan antara golongan professional dan ulama.

Oleh itu, tidak benar dakwaan mengatakan andai seseorang belajar agama maka kehidupan di usia tua tidak berfungsi kepada masyarakat.

Tegas dikatakan di sini, semua itu adalah dakyah-dakyah musuh Islam yang menanamkan ideologi dalam pemikiran umat bahawa ilmu agama itu jumud.

Apabila adanya pemikiran seperti ini maka tentu sekali timbul pandangan-pandangan negatif dan sinis terhadap anak-anak muda yang menuntut di bidang agama. Pelbagai kata-kata nakal seperti kononnya nanti tidak ada kerja, masa depan yang tidak cerah dan sebagainya yang sangat menyedihkan.

Oleh itu, perlulah saya betulkan di sini bahawa rezeki diperolehi dengan cara dan tahap usaha seseorang. Bukan kepada bidang pengajian yang dipelajarinya.

Perbezaan seseorang itu adalah dengan ilmu dan keimanan, bukan pangkat atau keturunan. Seorang tokoh bukan Islam, Aristotle berkata: “Yang meninggikan darjat seseorang itu ialah akal dan adabnya bukan asal keturunannya.”

Namun apa yang penting adalah kemuliaan bagi sesiapa yang menuntut ilmu itu sudah dijamin oleh Allah SWT.

Seperti kata Saidina Ali bin Abi Talib r.a: “Barang siapa yang berada di jalan menuntut ilmu, maka adalah syurga itu di dalam tuntutannya. Dan barang siapa yang ada ia dalam menuntut (mengerjakan) maksiat, maka adalah neraka itu di dalam tuntutannya.”

Kita menyaksikan bagaimana kehebatan bangsa Jepun dihormati dan disegani kerana penguasaan mereka terhadap ilmu teknologi.

Umat Islam telah memiliki kegemilangan ilmuwannya kerana ramai tokoh ulama yang bukan sahaja mahir di bidang syariah bahkan mereka mempelopori teknologi, falsafah, perubatan dan sebagainya.

Ini menunjukkan agama tidak memisahkan sama sekali antara ilmu syariat dan kemajuan teknologi. Bahkan seorang yang berjaya itu adalah mereka yang sangat takut kepada Allah dan bersungguh-sungguh dalam mencapai kemajuan hidup di dunia.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ilmu itu adalah bendaharaan (khazanah ternilai), anak kuncinya adalah bertanya, maka bertanya olehmu. Maka diberi pahala kepada empat orang. Pertama: Orang yang bertanya. Kedua: Orang alim. Ketiga: Orang yang mendengar. Keempat: Orang kasih kepada mereka.”

Dalam riwayat yang lain menceritakan kelebihan orang menuntut ilmu itu sehinggakan bila mana berjalan pada setiap langkahnya gugur segala dosa dan dihitung setiap langkahnya dengan kebajikan lalu digandakan amalan.

Maka wajarlah bagi ibu bapa sentiasa memotivasikan anak-anak agar memahami konsep sebenar dalam menuntut ilmu agama. Ia adalah sesuatu yang besar, bukan sekadar untuk pengetahuan biasa.

Kata seorang ulama dalam kitabnya Al-Hikam Ibnu Ataillah: “Barang siapa yang mencintai sesuatu maka ia akan menjadi hamba kepada yang dicintainya itu.”

Maka alangkah hebatnya remaja kita di Malaysia ini andai mereka mendalami ilmu agama, mengenal penciptanya dengan sebenar-benar kenal lalu bercinta Allah.

Monday, March 14, 2011

Larangan melintas depan orang menunaikan solat

http://eman540705.files.wordpress.com/2011/02/20110211-080701.jpg

Ramai yang tidak tahu tentang larangan melintas di depan orang yang sedang solat dan Sunnah meletakkan pembatas solat (Sutrah). Masa saya solat sunat di Masjid Negeri Sabah, saya pun dilintasi oleh beberapa qariah semasa saya sunat Tahyatul Masjid.

Jadi saya kumpul-kumpulkan hadis hadis berkaitan dengannya sebagai rujukan. Tetapi kena semaklah perbahasan dan hukum berkaitan dengannya dengan orang yang lebih mengetahui.

Rasulllah SAW bersabda, “Seandainya orang yang lewat di depan orang shalat mengetahui tentang dosanya, maka pastilah menunggu selama 40 lebih baginya dari pada lewat di depannya. (HR Bukhari dan Muslim)

Salah saeorang perawi hadits, Abu An-Nadhr, berkata, “Aku tidak tahu apakah maksudnya 40 hari, 40 bulan atau 40 tahun.

Janganlah kalian shalat kecuali menghadap sutrah (pembatas) dan jangan perbolehkan seseorang lewat didepanmu (HR Muslim)

Dari Abi Said Al-Khudri ra berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, “Apabila kalian shalat makagunakan ke sutrah (pembatas) dan hendaklah mendekat dan jangan membiarkan seseorang lewat di tengahnya. (HR Abu Daud, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan haditsi ini hasan)

Dari Sahal ra bahwanabi SAW bersabda, “Apabila kamu shalat dengan menggunakan sutrah maka mendekatlah dan jangan sampai dipotong syaitan. (HR Ahmad, Abu Daud, Ibnu Hibban dan Al-Hakim. Hadits shahih)

Dari Amr bin Syuaib, dari ayahnya, dari kakeknya, berkata, ”Nabi SAW pernah mengerjakan shalat menghadap ke dinding sebagai arah kiblat, sedang kami berada di belakangnya. Lalu datang seekor hewan berjalan di hadapan beliau. Beliau berusaha untuk mengusirnya sampai menempelkan perutnya ke dinding dan hewan itu berjalan di belakangnya.” (HR Ahmad).

Dari Busr bin Said, dia berkata, Zaid bin Khalid pernah diutus menghadap Abu Juhaim untuk menanyakan tentang apa yang didengarnya dari Rasulullah SAW berkaitan dengan hukum nmelintas di depan orang yang sedang shalat.

Abu Juhaim menjelaskan bahwa Rasul SAW bersabda, “Seandainya orang yang melintas di depan orang yang sedang shalat mengetahui apa (dosa) yang ditanggungnya (lantaran melintasi itu), niscaya dia berdiri (atau behenti untuk menunggu) selama empat puluh (hari atau bulan atau tahun, Busr kelupaan), lebih baik baginya daripada berjalan di depan orang yang sedang mengerjakan shalat.” (HR Bukhari, Muslim, Tirmidzi, Ahmad, Nasai, Ibnu Majah, dan Abu Daud).Sementara itu, yang diriwayatkan dari Zaid bin Khalid oleh Bazzar dengan sanad yang sahih, maksud 40 dalam hadis diatas adalah musim gugur (tahun).

Dari Dzar radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

إِذَا قَامَ أَحَدُكُمْ يُصَلِّي فَإِنَّهُ يَسْتُرُهُ إِذَا كَانَ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ، فَإِذَا لَمْ يَكُنْ بَيْنَ يَدَيْهِ مِثْلُ آخِرَةِ الرَّحْلِ فَإِنَّهُ يَقْطَعُ صَلَاتَهُ الْحِمَارُ وَالْمَرْأَةُ وَالْكَلْبُ الْأَسْوَدُ. قُلْتُ: يَا أَباَ ذَرٍّ، مَا بَالُ الْكَلْبِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَحْمَرِ مِنَ الْكَلْبِ الْأَصْفَرِ؟ قَالَ: يَا ابْنَ أَخِي، سَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: الْكَلْبُ الْأَسْوَدُ شَيْطَانٌ

“Apabila salah seorang dari kalian berdiri shalat maka akan menutupinya bila di hadapannya ada semisal mu’khiratur rahl. Namun bila tidak ada di hadapannya semisal mu’khiratur rahl shalatnya akan putus bila lewat di hadapannya keledai, wanita1, dan anjing hitam.” Aku berkata (Abdullah ibnush Shamit, rawi yang meriwayatkan dari Abu Dzar), “Wahai Abu Dzar, ada apa dengan anjing hitam bila dibandingkan dengan anjing merah atau anjing kuning?” Abu Dzar menjawab, “Wahai anak saudaraku, aku pernah menanyakan tentang hal itu kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam sebagaimana engkau menanyakannya kepadaku. Beliau berkata, ‘Anjing hitam itu setan’.” (HR. Muslim no. 1137)

riwayat Abu Dawud (no. 719) dari hadits Abu Sa’id radhiyallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

لاَ يَقْطَعُ الصَّلاَةَ شَيْءٌ، وَادْرَؤُوْا مَا اسْتَطَعْتُمْ فَإِنَّمَا هُوَ شَيْطَانٌ

“Tidak ada sesuatu yang dapat membatalkan shalat dan tolaklah orang yang ingin lewat di hadapan kalian semampu kalian, karena dia (yang memaksa untuk lewat di depan orang shalat) adalah setan.”

5 Peringkat golongan yang lalai dalam laksana solat

http://0.gravatar.com/avatar/ee774f057d15f0e3233571ef2d824dd9?s=96&d=identicon&r=G

Oleh Ustaz Zawawi Yusoh

PERNAHKAH kita bersedih kerana tertinggal sembahyang, terlewat mengerjakannya atau pernahkah perasaan rugi kerana tidak sempat melakukan solat secara berjemaah?
Pernahkah kita terasa berdosa tidak ‘beradab’ menghadapi Allah? Jawapannya ada pada diri kita sendiri. Kali ini penulis ingin menyentuh soal lalai dalam solat.

Lawan lalai ialah khusyuk dan ia bukan setakat dapat menumpukan perhatian dan faham apa yang dibaca dalam sembahyang tetapi menimbulkan rasa-rasa dengan Tuhan.

Kalau tidak ada rasa-rasa yang berubah dalam sembahyang seperti gerun, hebat, cinta, takut, berharap kepada Tuhan maka itu tanda tidak khusyuk.

 

Lalai dalam sembahyang ada beberapa peringkat seperti berikut:

 

1. Lalai habis. Takbir sahaja sudah ingat perkara lain di luar sembahyang yang tidak ada kena mengena langsung dengan sembahyang. Ia berterusan sampai salam. Tidak ada rasa apa-apa dengan Tuhan sepanjang sembahyang. Malahan sedar pun tidak.

2. Dalam sembahyang. Ada masa lalai dan ada masanya ingat dan sedar bahawa dia sedang bersembahyang. Sembahyang diselang-seli dengan lalai dan mengingat hal-hal dunia.

3. Boleh ikut dan menyorot apa yang dia baca dalam sembahyang tetapi tidak faham akan maksud apa yang dibaca dan dilafazkan. Kalau hendak diukur dengan nisbah khusyuk, ini masih dianggap lalai.

Bila tidak faham, masakan boleh menghayati. Kalau tidak menghayati, masakan boleh merasa apa-apa dengan Tuhan.

4. Boleh faham segala apa yang dibuat, dibaca dan dilafazkan di dalam sembahyang. Sembahyang seperti ini sudah agak baik. Namun ini masih dianggap lalai mengikut kehendak dan tuntutan sembahyang kerana belum ada apa-apa rasa dengan Tuhan. Khusyuk adalah rasa bukan setakat tahu atau faham.

5. Faham akan segala apa yang dibaca dan dilafazkan dalam sembahyang dan kadang-kadang ada rasa tetapi tidak pada sepanjang masa dan waktu di dalam sembahyang.

Walaupun ini sudah baik tetapi masih ada lalai. Walaupun tidak membawa dunia ke dalam sembahyang tetapi rasa-rasa dengan Tuhan tidak wujud sepanjang waktu dalam sembahyang.

6. Sembahyang yang tidak lalai itu ialah yang sentiasa mempunyai rasa dengan Tuhan yang berubah-ubah dari satu rasa ke satu rasa yang lain mengikut apa yang dibaca dan apa yang dilafazkan, bermula dari takbiratul ihram hinggalah kepada salam. Inilah sembahyang yang tidak lalai. Inilah sembahyang yang benar-benar khusyuk.

Lalai berpunca daripada pengaruh dunia. Kalau dunia berada di hati amat sukar untuk mendapat khusyuk dalam sembahyang. Dunia akan terbawa dalam sembahyang.

Sebab itu kalau dalam sembahyang hanya ada rasa-rasa keduniaan seperti seronok baru berjumpa kawan, teringat polis saman kereta kita salah parking atau bimbang tak sempat pergi ke bank sebelum bank tutup dan sebagainya.

Rasa-rasa ini ialah rasa dunia yang melalaikan, bukan rasa-rasa khusyuk. Sekiranya kita tidak kenal Tuhan, hanya setakat tahu dan percaya sahaja,

kita tidak akan dapat rasa khusyuk.

Paling tinggi ketauhidan kita hanya di peringkat akal atau fikiran sahaja kerana tahu dan percaya itu perkara akal. Kita dikatakan orang yang berfikiran tauhid, bukan yang berjiwa tauhid.

Mengenal Tuhan ialah langkah pertama untuk mendapat khusyuk. Setelah mengenali Tuhan barulah kita akan dapat merasakan kehebatan dan keagungan Tuhan di hati kita kerana kenal itu perkara hati.

Barulah kita akan dapat rasa bertuhan. Selagi hati kita tidak dapat rasa bertuhan, ia tidak akan dapat rasa kehambaan dan ia tidak akan dapat rasa khusyuk.

Ada hadis berbunyi: “Awal-awal agama adalah mengenal Allah” Maksudnya, selagi kita tidak kenal Allah, agak sukar untuk kita beragama. Kita tidak akan boleh khusyuk.

Selagi kita tidak boleh khusyuk kita sebenarnya belum berjiwa Tauhid. Kalau kita belum berjiwa Tauhid kita tidak akan mampu mengamalkan dan menegakkan syariat Islam secara lahir dan batin.

 

Mungkin kita boleh laksanakan syariat lahir tetapi batinnya kosong. Tidak ada khusyuk, tidak ada roh dan tidak ada jiwa. Padahal Islam itu mesti ada lahir dan batinnya.

Thursday, March 3, 2011

Mayat Isteri Zina Diserang Ribuan Lintah

http://web.3bir.com/a/10596_31203406948.jpg

Zaman manusia tidak mengambil pengajaran di atas sesuatu peristiwa yang berlaku, malah zaman nafsu manusia melebihi daripada segala nafsu-nafsu makhluk ciptaan Allah SWT.

Dimanakah insan-insan yang Cintakan Allah SWT dan Rasulullah SAW ???


Zaman sudah berubah..isteri sekarang semakin berani berlaku curang!”

Kadar gejala seks bebas kian meningkat dalam masyarakat hari ini. Lebih menyedihkan ianya bukan sahaja melibatkan remaja malah lebih ramai di kalangan individu dewasa yang bujang mahupun yang telah berkahwin! Seperti yang pernah penulis kisahkan tentang kecurangan isteri dan balasan yang diterima akibat perbuatan menduakan suami, kini sekali lagi penulis ingin menceritakan azab seksa seorang wanita yang berkahwin tetapi masih melakukan seks bebas.

Kisah ini diceritakan kepada penulis oleh Bomoh Pakar Rawatan Sakit Cinta, En. Idris Zakaria yang kini menetap di Kampung Tasik Berangan, Pasir Mas, Kelantan. Kini beliau bergiat cergas berikhtiar mengubati masalah rumah tangga dan masalah cinta tidak kesampaian, mendapat cerita ini dari kes-kes yang telah diadukan kepadanya. Semoga kita mendapat manfaat dan pengajaran darinya.

“Dalam saya merawat seorang pesakit, saya telah dikhabarkan satu kisah tragis mengenai seorang isteri curang. Jamilah isteri kepada Husin masih jelita walaupun telah beranak pinak. Beliau pandai bergaya, bertudung litup, berkulit putih dan memiliki bentuk badan yang menarik. Jamilah mendapat sumber kewangan dengan cara berniaga kecil-kecilan iaitu dengan menjual beras seludup dari Thailand bagi membantu suami yang ketika itu hanya seorang petani di kampung.

Ketika itu kegiatan penyeludupan beras tidak dikawal oleh kerajaan seperti sekarang maka ramai para wanita melibatkan diri dengan berniaga beras seludup dari Thailand. Pendapatan hasil penjualan beras seludup tidak seberapa hanya boleh menampung hidup seharian sahaja.” Jelas En.Idris.

Suami Jamilah Husin berumur 50an ( bukan nama sebenar ) merestui pekerjaan isterinya itu. Husin juga nampak tidak selincah isterinya, beliau berjiwa lembut dan menurut apa sahaja kata isterinya tanpa banyak bantahan. Semakin lama peranan Husin sebagai ketua keluarga semakin pudar dek ketidaktegasan dirinya terhadap Jamilah yang semakin bebas ke sana ke mari.

Husin baik dan jujur orangnya dan tidak banyak perangai. Jamilah keluar masuk rumah dan melakukan pekerjaan kadang-kadang pulang lewat malam bahkan pernah juga tidak pulang untuk sehari dua tidak menjadi masalah pada Husin. Husin percaya akan apa yang Jamilah lakukan demi mencari wang dan membela nasib keluarganya.

Ramai wanita sekitar kampung Jamilah melakukan pekerjaan menjual beras seludup namun ianya hanya sekadar boleh menyara kehidupan ala kadar sahaja. Berbeza dengan Jamilah yang menampakkan sedikit mewah dengan gelang dan rantai emas yang banyak pada tubuhnya. Ramai orang mempertikai akan kelebihan Jamilah menampakkan mewah sebegitu. Maka ada beberapa orang yang ingin tahu bagaimana dia bekerja, sedangkan ramai juga yang melakukan pekerjaan sama namun tidak semewah Jamilah.

Semenjak itu banyak mata yang mengintip setiap pergerakan Jamilah tanpa disedarinya. Pada mula-mulanya rahsia Jamilah terbongkar ketika pihak Imigresen Thailand membuat pemeriksaan di sempadan maka tertangkap beberapa orang yang cuba menyeludup masuk beras dari Thailand termasuklah Jamilah ditahan sama ketika itu.

Namun setelah beberapa jam kemudian nampak Jamilah dilepaskan oleh seorang pegawai kastam Thailand dengan muka yang senyum dan beras seludupnya juga selamat dibawa balik ke Malaysia. Beberapa orang lain yang menyeludup masuk beras terpaksa membayar denda dan beras terpaksa dirampas Sikap tidak puas hati rakan-rakan penyeludup lain mula membuak-buak mengapa Jamilah terlepas sedangkan mereka menerima nasib sebaliknya. Maka siasatan dibuat oleh beberapa orang yang tidak puas hati berkenaan. Maka pada suatu hari mereka mendapat tahu rupa-rupanya Jamilah telah memberikan rasuah dengan Pegawai Kastam Thailand berkenaan dengan meniduri dirinya.

Malah rasuah tersebut bukan sekali dua bahkan telah banyak kali berlaku setiap kali tidak boleh membolosi diri ditahan Kastam Thailand di sempadan. Tidak lama kemudian dapat lagi berita mengatakan Jamilah juga membuat perniagaan sampingan ketika berada di Thailand. Rupa-rupanya Jamilah memperdagangkan tubuhnya sebagai pelacur dengan lelaki Thailand. Maka tidak mustahil Jamilah mampu membeli emas yang banyak.

Maka heboh diceritakan akan kisah Jamilah yang sedemikian rupa, orang ramai tidak hairan dengan kemewahan yang Jamilah miliki malah dicemuhi dan dipandang jijik terhadapnya oleh orang kampung serta masyarakat setempat. Tergamak Jamilah melakukan perkara terkutuk sedemikian semata-mata mencari sedikit kemewahan. Husin telah diberitahu gejala isterinya itu namun Husin tidak percaya cerita sedemikian dan membuat tidak tahu sahaja.

Husin yang sudah lewat 50an mungkin juga tidak segagah dahulu lagi manakala Jamilah berusia lewat 40an masih bernafsu tidak mustahil ianya satu perlakuan yang terdesak disamping minat pada wang. Husin hanya berserah pada Allah, hendak menuduh isterinya curang beliau tidak mempunyai cukup bukti dan tidak melihat dengan mata kepala sendiri.

Selang beberapa tahun kemudian Jamilah diserang sakit kepala lalu demam dan jatuh sakit. Makin hari makin teruk sakit Jamilah. Selang beberapa minggu kemudian Jamilah mengalami nazak yang teruk. Pada hari sakaratul maut Jamilah dikatakan menyalak seperti anjing untuk beberapa kali kurang daripada sepuluh salakan sebelum nyawanya habis. Jamilah habis nyawa dalam keadaan menyedihkan matanya terbeliak manakala lidahnya terjelir. Ahli keluarga yang berkumpul turut merasa pelik akan kelakuan Jamilah menyalak sebelum menghembuskan nafas terakhir dan mati dalam keadaaan yang sebegitu.

Upacara kematian seperti biasa orang kampung lakukan bagi menyempurnakan jenazah Jamilah. Setelah dikafankan liang lahad disukat dan digali tibalah masa untuk dikebumikan. Sebaik sahaja jenazah Jamilah dimasukkan ke liang lahad tiba-tiba didapati panjang liang lahad itu tidak mencukupi untuk menyimpan mayatnya. Mayat Jamilah diukur semula dan liang lahad di panjang sekali lagi namun masih tidak cukup panjang lagi. Diulangi kali ketiga dipanjangkan lagi liang lahad itu pun begitu juga masih tidak cukup panjang. Satu kejadian luar biasa telah berlaku mayat Jamilah disimpan begitu tanpa memanjangkan lagi liang lahadnya.

Setelah semua keluarga pulang ke rumah tiba masa untuk Husin membuat sijil kematian Jamilah pada hari itu juga. Bila diminta kad pengenalan daripada anak perempuannya kata anaknya itu, “Allah, abah sewaktu mengkafankan mayat ibu saya terletak kad pengenalan atas jenazah mak, bermakna kad pengenalan itu ada bersama mayat mak dalam kubur” Husin agak terganggu memarahi anak perempuannya itu namun terpaksa memanggil penggali kubur di situ agar menggali kembali liang lahad kubur arwah Jamilah yang baru beberapa jam dikebumikan tadi.

Maka kubur itu digali semula, alangkah terkejutnya beberapa orang yang mengikut Husin termasuk diri saya sendiri melihat mayat Jamilah telah didatangi beberapa ekor ulat seperti lintah namun bertaring menggigit tubuh mayat Jamilah. Husin mengenepikan beberapa ekor ulat itu beberapa kali namun ulat yang sama itu kembali ke tempat asal di mana ianya menggigit tubuh mayat Jamilah tadi. Kejadian itu amat pelik sekali.

Setelah itu mayat Jamilah terpaksa dipusingkan agar tangan boleh diseluk ke dalam bungkusan kain kafannya untuk mendapatkan kad pengenalannya. Dalam mengiringkan mayat Jamilah itu sekali lagi kejutan berlaku. Terdapat beribu-ribu ekor ulat seperti lintah bertaring itu berada di bawah mayat Jamilah . Segera kami menimbusnya kembali setelah berjaya mendapatkan kad pengenalannya itu.

Saya tidak dapat membayangkan akan apakah rahsia sebenarnya kejadian yang Allah pertunjukkan sebegitu. Namun saya terasa agak seram dan insaf bila melihat kejadian aneh sebegitu buat pertama kali dalam sejarah hidup saya. Di dunia lagi Allah sudah menunjukkan azabnya apatah lagi diakhirat kelak.

Saya boleh memberikan gambaran atas kejadian begitu bahawa kita manusia tidak boleh lari daripada azab pembalasan jika melakukan salah yang besar atau dosa yang besar. Bagi isteri-isteri tetapkan iman, jangan berlaku curang pada suami kita nescaya dosanya amatlah besar.

Dosa berzina sudah cukup besar tidak tertanggung bagi yang masih bujang, apatah lagi wanita yang bergelar isteri melakukan zina. Nauzubillah…hanya Allah sahaja yang mengetahui akan azabnya kelak.

Di dunia lagi sudah Allah tunjukkan maka sama-sama kita ambil iktibarnya supaya ianya tidak berulang lagi dimasa hadapan pada diri kita atau keluarga kita, minta disisihkan Allah.

p/s: Tak tau lah sejauh mana kebenaranya…sekadar untuk dijadikan tauladan kepada kita semua.

Maulid ar rasul: antara cinta dan taat

http://t1.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcTggOdW3nA7szkTBP_Z3nfCjG8UfOwura9RD07lqnKtL6UvhKe1rPkO2QO7GQ

Sempena kedatangan bulan mulia, Rabiulawal 1432, saya berhasrat untuk menitipkan beberapa butiran penting mengenai nabi kita, Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Inilah bulan di mana umat Islam seluruh dunia akan memenuhkan masa mereka untuk bersama-sama mengingati kelahiran baginda yang tiada lagi kelahiran seagung kelahirannya.

Justeru keraian yang menyatukan umat Islam ini amatlah wajar dihargai dan dimanfaatkan. Ia hendaklah disusun dan diprogramkan dengan kaedah yang betul pada syariatnya dan besar pula pada hasil dan kesannya untuk kita semua.

Amatlah rugi, di saat umat Islam yang begitu lemah dan terpecah-pecah kesatuannya, dengan mereka bersedia untuk menitipkan masa kosong mereka dan disatukan oleh bulan yang mulia ini, jika kita tidak berkerja pula untuk menjadikannya satu kuasa pencetus kepada perubahan yang mesti umat Islam lakukan.

Ini kerana RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam telah menduduki kemuncak kejayaan umat manusia sepanjang zaman di dalam membina tamadun dan nilai kemanusiaan yang tinggi. Menjadi umatnya adalah nikmat tak terperi yang tidak merasainya kecuali mereka yang diharamkan daripada menikmati kebahagiaan sejati di dunia ini.

Baginda adalah nabi. Nabi adalah utusan Allah yang menghubungkan bumi dengan langit. Kenabian adalah pemecah tembok alam ghaib yang asyik mengurung manusia di alam zahir yang begitu sempit. Tanpanya manusia hanya menjadi pakar buat menujum masa depan dan menjadi penglipur lara mengisah zaman lampau yang kelam. Baginda mengobori akal dengan memandunya merentasi jalur-jalur kejahilan yang memaksa manusia hidup merajakan tuhan sementara bernama nafsu dan syahwat. Akal kemanusian akhirnya dibawa menemui Allah dan itulah saat manusia mula mengenali kebahagian dan kehidupan yang hakiki.

Dengan berbekalkan wahyu dan pengarahan langsung daripada Allah, RasuluLlah akhirnya berjaya mengetuai perubahan dan membina halaman baru untuk kehidupan manusia yang begitu cemerlang. Kota Madinah terbina selepas belasan tahun baginda berjuang memecahkan tembok kejahilan, kezaliman dan kedegilan manusia untuk kekal menikmati kehidupan di jurang kemurkaan dan neraka Allah. Di Madinah, walaupun 10 tahun adalah pendek tempohnya, para sahabat baginda telah dilumatkan dengan pengajaran-pengajaran yang bertindak cemerlang sebagai obor yang menerangi kehidupan dan sebagai penawar yang menyembuh kesakitan.

Lahirlah selepas baginda para sahabatnya yang telah bersedia untuk misi menyambung misi kenabian. Mereka segera keluar dari kota Madinah dengan kepayahan memendam rasa cinta kepada bumi rahmat dan keadilan demi memenuhi amanah agung RasuluLlah agar agamanya segera berkembang sampai ke kaki matahari di timur dan barat.

Akhirnya, dunia bersinar dengan nikmat Islam. Manusia berpindah daripada kegelapan kepada daerah cahaya yang gemilang. Sehingga hari ini dan sampailah kiamat, cahaya Islam terus menerangi dan menjadi pilihan untuk manusia mencapai kebahagiaan hakiki dalam kehidupan.

Atas nikmat agung yang dibawa oleh baginda yang telah begitu mengubah haluan kehidupan jahiliyah manusia itulah, baginda dicintai manusia. Cinta terhadap RasuluLlah adalah cinta yang terlalu agung dalam sekelian cinta manusia.

Baginda bukan sekadar menjadi tumpuan cinta manusia bernyanyi dan bertasbih di sekelilingnya, bahkan bagindalah guru yang mengajar makna cinta. Intinya, cinta duniawi ditakuti kehilangannya. Maka ia berakhir dengan kesedihan dan kehancuran. Cinta Allah diharapkan dan dinantikan pertemuannya. Maka ia akan kekal dan terus mekar selama-lamanya. Cinta duniawi sentiasa menjunam ke bawah, sedang cinta Allah sentiasa memuncak menuju puncak. Justeru sebarang cinta tanpa nilai agama adalah bohong dan hina sekali.

Cinta kepada RasuluLlah adalah benar dan syar’ie. Tiada yang berusaha menanam bibit cinta terhadap baginda kecuali akan turut dicintai Allah dan diganjari dengan pahala yang banyak. Allah menjadikan cinta al rasul sebagai syarat kesempurnaan keimanan seseorang hambaNya. Jadi, bayangkanlah betapa besarnya nilai cinta terhadap RasuluLlah sallaLlahu alaihi wasallam.

Mengapa cinta kepada RasuluLlah dijadikan syarat kesempurnaan, bahkan kesahihan iman seseorang kepada tuhannya? Tidakkah mencintai Allah itu sudah mencukupi?

Mari kita perhatikan tiga hikmah berikut; Pertama, pendakwa iman dan cinta kepada Allah adalah ramai dan dipenuhi pembohongan. Kaum Yahudi dan Nasrani misalnya adalah contoh klasik cinta palsu kepada Allah. Justeru menurut Islam, pemisah iman dan kufur bukanlah pada pengakuan beriman kepada Allah, bahkan pada perakuan beriman kepada kerasulan Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam.

Walau pun ketuhanan Allah itu diperakui ramai manusia, tetapi mereka tetap memerlukan ilmu yang benar, asli dan hakiki untuk mengenaliNya. Jika tidak, manusia, walaupun mengakui ketuhanan Allah, akan terus meraba-raba dalam menyembah Allah yang kabur pengenalanNya. Justeru keimanan kepada kerasulan al Rasul adalah syarat dan pemisah yang akan memastikan Allah itu dikenali daripada sumber yang betul. Cinta al rasul pula adalah sebahagian cabang dan syarat iman.

Kedua, cinta al rasul akan menjadi neraca kepada cinta manusia sesama manusia. Cinta kepada Allah adalah esa. Cinta Allah adalah kerana hakNya sebagai tuhan yang mencipta segala dan mengurniai makhluknya dengan kenikmatan hidup. Ia cinta tanpa bandingan dan tiruan.

Adapun cinta sesama manusia, maka ia atas dasar saling melengkapi dan memerlukan. Bukan cinta namanya jika hanya bertepuk sebelah tangan. Itu azab namanya. Kemudian, manusia sering terjerumus ke lembah cinta buta yang melanggar batas dan merosakkan nilai murni kalimah cinta. Ia disebabkan kegagalan manusia mengukur dan memagar ruang dan laman cinta yang berbuah dan bermanfaat sesama mereka.

Justeru agama Islam meletakkan satu neraca dan garisan untuk cinta itu bersemi, tumbuh dan mekar dengan semburan harumannya yang menghangatkan kebahagiaan hidup. Cinta RasuluLlah itulah neraca kepada segala cinta. Dengan melihat kelebihan-kelebihan yang menghiasi baginda, maka sesiapa yang memiliki sebahagiannya wajarlah dicintai dan kecintaan itu pasti menghasilkan buah yang manis. Antaranya, mencintai ibu bapa dan para guru. Bukankah nabi kita adalah bapa dan guru mithali?

Ketiga, cinta al rasul adalah permulaan dan pemacu kepada kewajiban taat kepadanya. Ia adalah pelorongan kepada kewajiban yang paling utama selepas beriman kepada kerasulan, iaitu kewajiban mentaatinya. Inilah kewajiban yang menjadikan ramai manusia yang terkandas di medan ujian Allah.

Taat adalah sukar. Manusia sering berbangga dan ego dengan segala kelebihan dan kekuasaan dalam dirinya. Mereka tidak akan taat dan tunduk kecuali kerana terpaksa dan terlalu lemah untuk melawan. Semata-mata beriman kepada RasuluLlah bukan satu kesukaran berbanding sukarnya mentaati baginda selepas itu.

Oleh kerana ketaatan kepada al rasul adalah wajib, maka ia mestilah dipupuk secara semulajadi yang akan mendatangkan kesan yang mujarab. Memekarkan sebab-sebab yang mendorong manusia untuk begitu mencintai nabi adalah senjata paling berkesan untuk memaksa manusia mentaati RasuluLah. Bukankah pemabuk cinta akan mendengar dan menuruti apa saja demi mencapai redha orang dicintainya?

Jika kita memahami hikmah -hikmah pensyariatan cinta al rasul di atas, jelaslah kepada kita betapa cinta al rasul itu adalah kelebihan yang menarik pelbagai kelebihan lagi selepasnya. Hangatkanlah cinta al rasul di bulan kelahiran nabi agung ini.

( Artikel ini adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah )