ANTARA amalan terpuji yang menjadi budaya umat Islam di negara ini ketika Aidilfitri ialah ziarah atau kunjung mengunjung antara satu sama lain. Amalan ini memberi manfaat besar dalam konteks persaudaraan dan perpaduan ummah.
Amalan ziarah membolehkan yang jauh menjadi dekat, renggang menjadi rapat, bersengketa menjadi damai dan susah menjadi mudah. Maka dengan amalan ziarah akan terbentuklah ikatan kasih sayang yang mengeratkan sesama insan.
Asal keturunan manusia berpunca daripada ibu bapa yang sama iaitu Nabi Adam AS dan Hawa. Sebab itulah Islam mengajak manusia saling mengenali, menghormati, bekerjasama dan memahami sesama insan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujuraat, ayat 10)
Islam mempunyai sistem cara hidup yang sempurna merangkumi bidang politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Oleh itu, ketika mengadakan ziarah, bertamu dan makan pun mempunyai adab tertentu melambangkan tamadun, keperibadian dan tama’ninah seseorang.
Berdasarkan al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan serta adab perlu diberi perhatian ketika berziarah dan bertamu ialah berniat baik di atas kunjungannya, jangan dibezakan antara orang kaya atau miskin, terimalah undangan untuk menggembirakan pihak yang mengundang serta mengelak daripada terbabit aktiviti syubhat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)
Semasa berkunjung, hendaklah memilih waktu yang sesuai dan cuba elakkan berkunjung pada awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan waktu itu tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.
Selaku tetamu, sangat digalakkan supaya berjabat tangan dengan tuan rumah seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak ada dua orang Muslim yang bertemu, lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah.”
Walaubagaimanapun, amalan berjabat tangan mestilah dilakukan mengikut lunas Islam. Sebagai tetamu juga, tidak sepatutnya bebas melakukan apa saja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi tuan rumah.
Manakala bagi pihak tuan rumah, Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara serta dihayati antaranya menghormati dan memuliakan tetamunya. Pada masa sama, tuan rumah juga disarankan menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan.
Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para nabi dan rasul terdahulu.
Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum seperti memulakan makan dengan membaca Bismillah, mengakhiri dengan Alhamdulillah serta menghindari diri daripada kenyang yang melampau batas.
Justeru, dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, ahli keluarga jangan lupa mendidik anak memelihara adab ketika berziarah.
Sebagai peringatan, renungkanlah firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi, kecuali kamu diizin untuk menghadiri jamuan, bukan dengan menunggu masa sajiannya; tetapi apabila kamu dijemput maka masuklah; kemudian setelah kamu makan maka hendaklah kamu bersurai dan janganlah dengan berbual-bual. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga ia merasa malu kepada kamu, sedang Allah tidak malu daripada menyatakan kebenaran.” (Surah al-Ahzab, ayat 53
No comments:
Post a Comment