Sementelah mengharungi kehidupan di dunia ini, pasti sesiapa pun tidak dapat lari dari rasa seronok, gembira, malah menjadikan asset kehidupan dan keinginan pada dunia adalah segala-galanya. Perlu sentiasa berusaha, meningkatkan daya kerja, komited dan prihatin, malah boleh samping ke peringkat melakukan pengkhianatan, dendam dan permusuhan dek kerana tertipu dengan harta dan kesenangan palsu di dunia ini.

Disebabkan keasyikan menjadikan kemewahan dan kesenangan yang diperoleh dalam kehidupan ini, mereka leka dan lalai mengerti kewujudan hak tunggal dunia adalah bersifat sementara. Ini adalah hak yang kekal wujud pada nilai dunia. Namun, ramai yang tidak pernah sedar dan ingin mengambil iktibar dari nilai sebenar sifat duniawi. Kerana, mereka nampak dan dapat gambarkan setiap yang dimiliki dan apa-apa yang ingin dicapai di dunia ini.

(agak kecil skop pandangan, mengejar masa)

Sekiranya ingin mencapai kekayaan, berusaha bersungguh-sungguh pasti beroleh harta, sumber kewangan, rumah, kereta, dan sebagainya.

Sekiranya ingin mencapai darjat dan pangkat, berusaha bersungguh-sungguh, mencipta nama, menghasilkan sesuatu yang bernilai dan dinilai oleh mata manusia, bertemu bual dan sebagainya, pasti dikurniakan pangkat yang sedemikian, dan darjat yang diinginkan.

Sekiranya ingin mencapai kejayaan dalam sesuatu bidang atau pengajian, maka juga berusaha bersungguh-sungguh, siang dan malam, mencari, menghafal dan mendalami, semua yang perlu untuk mencapai kejayaan akan dipraktikkan. Hasilnya, kejayaan yang diidam-idamkan selama ini pasti dimiliki.

Nilai duniawi semua orang boleh kenal dan ketahui. Nilainya boleh dikira. Material dan segala-galanya adalah wujud pada pandangan mata dan semua orang akan merasai memerlukannya. Kerana nilainya yang boleh dinilai melalui pancaindera inilah ramai orang sentiasa kejar mengejar untuk mendapatkannya. Tidak kira apa-apa cara, asalkan boleh capai kepadanya.

Tetapi nilai sebenar sesuatu yang kekal abadi manusia tidak nampak. Ia terlalu sulit untuk dikenali melalui kaca mata, pancaindera dan keinginan manusia. Ia bersifat bertentangan dan sukar sekali untuk digapai atau disedari kewujudannya apabila terlalu asyik dan leka dengan keindahan dan perhiasan dunia.

Ia seperti wujud tetapi tidak wujud bagi segelintir manusia. Ia seperti langsung tidak wujud bagi segelintir lagi manusia.

NILAI AKHIRAT

Inilah realiti di sebalik realiti. Akhirat itu adalah kenyataan dan kehirannya kelak ialah realiti. Ia bukan retorik semata-mata kerana kekesalan hidup di dunia.

Kerana nilai akhirat yang begitu tinggi sehingga tiada setitik pun nilai dunia boleh diletakkan sebagai perbandingan, maka mereka yang telah mengenali dan telah berada di sana menjadi musuh dan kawan.

Musuh ialah Iblis dan Syaitan

Kawan ialah malaikat yang mendampingi dan malaikat yang berada di pelbagai peringkat langit.

Kerana kesedaran Iblis betapa indahnya kehidupan di syurga, betapa azabnya seksa api neraka, tidak pernah sesekali dia perputus asa dari menyesatkan cucu cicit Adam a.s. sehingga hari kiamat. Akan terus dihasut dan digoda agar terkerumus sekali ke dalam neraka bersama-sama dengannya.

Iblis bukan boleh dinilai dengan hanya sekadar cerdik pandai manusia, malah dia lebih bijak merancang strategi dan mencipta pelbagai muslihat serta godaan pada manusia. Betapa ramai cerdik pandai yang wujud di dunia ini mati dalam keadaan fasik dan mensyirikkan Allah. Betapa masih ada manusia yang mengingkari dan menurut sahaja telunjuk Iblis dan syaitan walaupun dia telah mengetahui dan mempelajari akan ad-din Allah sehingga layak digelar ustaz dan alim ulama’.

Malaikat pula sentiasa mengajak membuat kebaikan dan melakukan amal kebajikan. Mereka mendoakan kepada hamba-hamba Allah yang menuntut ilmu pengetahuan dan sentiasa mencari keredhaan Tuhan. Mereka menjadi pelindung kepada tipu daya syaitan. Mereka membantu manusia menghadapai musuh-musuh yang tidak nampak di depan mata, iaitu Iblis dan syaitan laknatullah.

Malangnya, kedua-duanya adalah jua ghaib atau tidak dapat dikesan melalui pandaindera. Maka, manusia yang tidak teguh pegangan akidahnya tentu tidak mudah untuk melawan, meyakini, dan mempercayai kewujudan makhluk yang lain selain dari dirinya di alam ini.

KUNCI MENGENALI

Tiada jalan lain untuk mengenali betapa bernilainya kehidupan akhirat melainkan mengenali siapa diri manusia yang sebenarnya hanyalah mahkluk Allah yang diciptakan, serta mengenali hidup ini sentiasa wujud dan mengharapkan kepada Tuhan, Allah Azza Wa Jalla.

“Sesungguhnya tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu.” (Az-Zariyat: 56)

Solah. Kerana ia merupakan jalan utama atau highway yang menghubungkan manusia dengan Tuhannya. Sekiranya solat hanya dilakukan sekadar ritual semata-mata disebabkan ia merupakan tuntutan agama, maka paksi sebenar solat diciptakan tidak dapat dilaksanakan.

Solat yang merupakan tiang agama bukan sekadar mendirikan sahaja diwaktu yang telah ditetapkan dan rakaat yang sememangnya telah ditentukan. Tetapi kerana ruh dalam solat itu yang menjadikan solat sebagai tingginya martabat solat sehingga menjadi tiang atau pasak utama dalam penilaian ad-din Islam. Ruh dalam solat membawa kepada penghayatan, fokus dan khusyuk ketika menunaikannya. Kerana kemuliaan solat itu, kejayaan seseorang mukmin itu dalam genggamannya. Jika kejayaan bukan diciptakan ketika di dunia, di akhirat sana sudah pasti telah ditetapkan kejayaan padanya.

Perkara terakhir yang merangkumi segala kunci mengenali akan betapa bernilainya nilai ukhrawi hanyalah melalui kalimah yakin. Keyakinan yang tinggi yang wujud dalam peribadi seseorang itu menjadikan dia menolak mengharapkan kepada duniawi, dan sentiasa menjadikan ukhrawi sebagai matlamat hidupnya.

Kepada musuh yang sentiasa melancarkan serangan dan hasutan, tiada upaya melawannya melainkan doa yang tulus dipanjatkan kepada Allah s.w.t. bagi memohon perlindungan dan bantuan dari sisi-Nya meneguhkan kaki sentiasa berada di jalan yang diredhai-Nya di dunia ini.


Kehidupan dunia ini sentiasa melancarkan tipu dayanya. Tidak kira pada sesiapa dan dimana-mana sahaja.

Bagi orang-orang yang beriman, mereka memenuhi tuntutan kehidupan atas dasar keperluan, bukan kehendak atau keinginan. Mereka diibaratkan menanam benih di atas tanah. Tidak kira esok lusa masih hidup atau tidak, enih yang sentias ditanam itu akan sentiasa dibajai dan disirami, moga-moga menjadi buah yang baik dan kembali bermanfaat kepada diri dan orang yang menghampiri.

“Tidak akan berubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri.” (Ar-Ra’d: 11)

Sekiranya meletakkan dunia sebagai keinginan, maka akan hilanglah nilai iman dan muncullah sifat tamak, riya’ dan sebagainay sebagai teman. Jika tidak beroleh apa yang dihajati, pelbagai jenis kemungkaran akan mula dilancarkan sehingga ke peringkat jenayah dan pembunuhan.

Malah, atas dasar keduniaan, setiap yang ada pasti ditinggalkan. Sekiranya hari ini adalah milik kita, esok lusa belum tentu masih berada dalam genggaman. Suatu hari ia datang, dan suatu hari nanti pasti ia akan hilang.

Sesungguhnya,

“Betapa bahagianya kehidupan para mukminin. Setiap apa yang dihadapinya sentiasa ada ganjaran oleh Allah s.w.t. Sekiranya menghadapi musibah, mereka sabar dan redha akan ketentuan Allah. Sekiranya nikmat yang diterima, mereka bersyukur dengna nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t.”

Peringatan demi peringatan sentiasa dihulurkan. Terutamanya kembali pada diri sendiri, yang pasti tidak pernah terlepas dari melakukan kesalahan dan ada kekurangan. Memperingati kembali tujuan hidup dan mengapa perlunya amal dan usaha ketika berada di dunia ini. Amal dan usaha adalah perlu dilaksanakan kerana itu adalah tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan pasti akan dipersoalkan oleh Allah sendiri akhirat nanti.

Ajarkan kepada mereka yang rapat dan hampir kepada diri. Terutama kepada anak-anak atau ahli keluarga. Kenalkan betapa indahnya kehidupan di syurga dan betapa azabnya neraka Allah Azza Wa Jalla. Tanamkan keyakinan dalam peribadi mereka agar suatu ketika mereka menyedari akan peribadi dan hakikat sebenar kehidupan dunia yang fana’.

Malah, anak-anak yang soleh dan solehah, taat pada perintah Allah, Rasulullah dan kepada kedua ibu bapa, mempunyai ganjaran yang besar yang diberikan oleh Allah s.w.t. Doa mereka menjadi cahaya di dalam kubur, dan kesolehan mereka antara kunci kebahagiaan kehidupan di dunia.

Teladan yang mulia dalam keluarga bermula dari sikap ibu bapa, dan didikan yang berterusan adalah bermula jua dari ibu bapa.

Walau sesusah mana mendidik dan mentarbiyah keluarga di atas landasan Allah terutama pada akhir zaman ini, mereka tetap adalah di bawah tanggungjawab kedua ibu bapa yang akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti. Pengorbanan yang berterusan sentiasa dinilai oleh Allah. Kesabaran dan ketabahan ada ganjarannya yang tersendiri di sisi Allah.

Keperitan itu adalah lumrah. Keriangan itu adalah fitrah.

Jangan kenal erti putus asa. Kerana kecelaan itu berada dalam sifat syaitan laknatullah.

Cahayakan peribadi dengan iman dan takwa. Kerana ia kunci sebenar kebahagiaan dunia dan di akhirat sana.

“Berikanlah peringatan. Sesungguhnya peringatan itu bermanfaat pada orang-orang yang beriman.” (Az-Zariyat:55)

-takdir Allah telah menentukan segala-galanya. Ada kelas dan jadual makmal yang tidak menentu pada waktu itu. Walaupun teringin benar di hati ini untuk menghadirinya. Semoga sentiasa dirahmati Allah .