Contoh manusia bertuhankan akal- Sanggup mengubah syariat Allah SWT... Nauzubillah Min Zalik.
Agama adalah ajaran yang berbicara pasal ketuhanan. Berbicara pasal sang pencipta segala. Jika tidak, ia sekadar ideologi dan pemikiran manusia.
Apapun, jika seseorang itu menolak kuasa ketuhanan dan enggan lagi berbicara pasal tuhan, maka walaupun dia tidak dianggap seorang beragama, tetapi dia tetap juga dikira bertuhan. Dia sendiri sebenarnya telah menjadi tuhan. Ini kerana tuhan, selain bermaksud pencipta, ia juga bermaksud kuasa tertinggi dalam kehidupan.
Oleh kerana dia tidak dapat melihat selain kekuasaan hebat akal dan nafsunya atau manusia lain, maka dia telah menjadikan diri sendiri atau manusia sebagai tuhan yang dipuja dan disembahnya. Dialah tuhan atau dia telah bertuhankan manusia lain. Jadi, atheisme sebenarnya juga satu ugama walaupun ia dianggap ajaran yang menentang ugama. Ugama jenis ini begitu menjalar di zaman ini yang bertuhankan sains dan akal.
Dulu, manusia dan khalayak begitu terpimpin oleh orang yang berkuasa. Raja menundukkan rakyat sehingga dianggap tuhan. Jika raja itu lebih rasional, maka pemikiran falsafah pula yang akan menundukkan raja dan rakyat sehinggakan apa yang mereka hidang, itulah yang diimani oleh raja dan rakyat. Ahli falsafah adalah ‘raja’ di dalam memperkenalkan tuhan, kuasa atas yang paling berkuasa. Mereka memanggilnya ‘Sebab Yang Pertama’ atau ‘Akal Yang Pertama’ atau ‘Penggerak yang Pertama’. Itulah nama – nama kepada Allah yang mereka perkenalkan.
Begitu tuhan diperkenalkan. Bagaimana? Ahli falsafah meneropong langit dan semesta kehidupan dengan otak dan kudrat diri, lalu segala bahan mentah yang diperolehi itu dicampur hadamkan di dalam mesin hukum dan sifir akal yang mereka bangunkan, kemudian mereka merumuskan hasil dan menjadikannya ilmu yang pasti di dalam mengenal tuhan yang satu. Hakikatnya, mereka tidak memetik atau menggugurkan kecuali buah sangkaan, teka-tekaan dan kekeliruan. Itu dulu.
Kini, manusia mula bebas dari raja yang mengongkong atau ahli falsafah yang berputar-putar pada khayalan dan andaian. Manusia hari ini dijajah kuasa baru iaitu otak sendiri. Mereka diserang ketaajuban terhadap penemuan akal terhadap pengetahuan dan sains. Akal berkembang begitu pesat dan drastik meneroka alam ilmiah, sains, rasional dan taakul. Raja mundur dan ahli falsafah terundur ke belakang, lalu akal menjadi raja baru dan tuhan baru. Tiada tuhan selain akal.
Tetapi, dari dulu sampai kini, ada kewujudan lain atau kuasa lain yang kekal mempengaruhi dan menguasai manusia mengenal kehidupan dan ia akan terus berlangsung hinggalah hujung dunia. Ia adalah kewujudan kuasa agama dan ahli hikmah agama. Iaitu golongan yang berfikir berlandaskan ugama yang dibawa insan bergelar al rasul atau utusan tuhan.
Sebenarnya ajaran ketuhanan falsafah lahir hasil pertembungan dengan ajaran nabi dan ugama. Agama para nabi yang bersifat menyusun kehidupan manusia agar tunduk hanya kepada hukum tuhan di bumi ini telah begitu menekan kehidupan golongan elit dan berkuasa yang ingin bebas dari ugama dan hukumnya. Maka lahirlah senjata dan serangan yang menolak kepimpinan para nabi. Pemikiran falsafah begitu berkuasa di sisi pembenci ugama al rasul suatu ketika dahulu.
Nah, jika begitulah dulu, lihatlah pula hari ini betapa wujud kesamaan yang tidak boleh ditolak bahawa lahirnya pemikiran yang bertuhankan otak dan sains kini tidak lebih selain akibat pertembungan di antara mereka dan ajaran nabi juga.
Titik pemisah pertembungan yang tak berkesudahan ini hanyalah berputar pada satu noktah yang kekal. Satu golongan merajakan akal sehingga menolak kekuasaan wahyu dan utusan langit, manakala satu golongan lagi menjadikan akal dan wahyu saling bergandingan memperkenalkan kehidupan.
Kemudian, beza di antara ahli falsafah dulu dan golongan atheis hari ini adalah golongan pertama menerima kewujudan kuasa tertinggi yang ghaib sebagai tuhan dan mereka memerah akal (tanpa bantuan wahyu) untuk memperkenalkan dan menamakannya, manakala golongan kedua menolak kewujudan kuasa tertinggi yang ghaib sebagai tuhan dan mereka juga memerah akal untuk menafikan kewujudannya.
Justeru pemikiran atheisme begitu menjalar dan berkuasa pada zaman moden ini kerana sifatnya yang merajakan akal dan sains berbanding pemikiran falsafah lama yang masih gelap daripada penerokaan sains dan kemodenan.
Ahli falsafah menggunakan akal semata – mata, lalu mereka mendakwa melihat Allah yang kelam. Ahli sains atheis menggunakan mata dan teropong sains, lalu mereka mendakwa Allah tiada. Nanti anda akan melihat bagaimana ahli hikmat ugama menggunakan akal dan wahyu, lalu mereka melihat Allah pada zatNya yang hakiki.
Sekarang mari kita perhatikan bagaimana pertempuran di antara golongan beragama dan anti agama ini sebenarnya begitu tertumpu di dua medan utama. Pertama, dalam mengithbatkan (menetapkan) samada dunia ini telah diciptakan oleh sang pencipta ataupun ianya terjadi sendiri tanpa pencipta. Kedua, dalam mengithbatkan samada alam ghaib yang di luar jangkauan panca indera itu wujud ataupun sebaliknya.
Dalam tulisan lepas saya telah tunjukkan secara sepintas bagaimana pemikiran yang melihat alam ini terjadi sendiri tanpa pencipta telah ditolak oleh hukum akal yang manusia gunakan sendiri. Hukum ‘sebab musabab’ adalah rukun kepada pergerakan dan solusi akal bahawa sesuatu itu tidak akan terjadi tanpa sebab yang menyebabkannya. Apabila manusia beranggapan alam ini terjadi sendiri tanpa penyebabnya, maka dia sebenarnya telah membunuh akalnya sendiri. Maksudnya, dia gila.
Adapun pemikiran dan kepercayaan bahawa kewujudan hanyalah apa – apa yang boleh dikesan oleh panca indera dan mempercayai kewujudan alam ghaib adalah bertentangan dengan akal, maka ia juga ditolak dan dinafikan oleh akal dengan hujah yang gagah. Maksudnya, jika pun anda tidak menoleh kepada wahyu, akal anda sendiri akan mampu mengesan betapa lemahnya hujah mereka yang menolak kewujudan alam ghaib.
Tidakkah di hadapan kita terjadi kejadian dan peristiwa yang tidak dapat dilihat selain kesannya. Anda melihat kipas berpusing dan anda tahu ia adalah kesan yang disebabkan oleh arus elektrik yang mengalir. Adakah anda melihatnya atau semata – mata kerana tidak melihatnya, maka anda berhujah bahawa kipas itu telah berpusing sendiri tanpa sebab?!
Usahkan elektrik, angin ribut, panas sejuk, manis tawar dan macam – macam lagi, adakah anda telah melihatnya untuk mempercayai kewujudannya? Atau anda hanya melihat kesannya sahaja, lalu mempercayai wujudnya ia?
Arakian, tercernalah kewujudan alam ghaib di sebalik wujud alam syahadah dan zahir di dalam kehidupan ini. Menolaknya samalah seperti menolak wujud akal pula.
Mari ikut saya memasuki kelas enam sebuah sekolah rendah. Kita ikuti pembelajaran seorang guru ‘smart’ yang cuba mengajar hakikat kewujudan di hadapan muridnya termasuk seorang pelajar ‘keturunan’ Ibrahim alaihissalam.
Guru itu bertanya,’Adakah kamu melihat saya?’ Para murid menjawab,’Ya.’ Guru itu pun lantas berkata, ‘Jika begitu, saya ada.’ Dia lalu bertanya lagi,’Adakah kamu melihat papan hitam ini?’ Mereka menjawab,’Ya.’ Guru itu segera merumus, ‘Jika begitu, papan hitam itu wujud. Adakah kamu melihat almari itu?’ Mereka menjawab,’Ya.’ Guru itu merumus lagi,’Jika begitu, almari itu ada,’ Sang guru lalu bertanya lagi,’Adakah kamu melihat Allah?’ Para murid menjawab,’Tidak.’ Tanpa berlengah guru itu berkata,’Jika begitu, Allah sebenarnya tidak ada!’ Tiba – tiba salah seorang pelajar genius berdiri lalu bertanya, ‘Adakah kamu semua melihat akal cikgu?’ Seluruh rakannya menjawab,’Tidak.’ Maka sang genius berkata,’Jika begitu, cikgu tiada akal!’
Tetapi ramai manusia terus memuja akal sampai hilang akal. Jika begitu, anda sedang menyaksikan betapa menolak ugama adalah seburuk-buruk hasil yang dituai manusia dalam kehidupan ini. Perbincangan kita semakin memasuki ruang tauhid insya Allah.
(Artikel ini adalah untuk kolum akhbar Siasah/3)
No comments:
Post a Comment