Friday, April 29, 2011

Antara Tanda Cintakan Allah SWT

http://pustakaiman.files.wordpress.com/2009/02/belajar-cinta-allah_muka_blog.jpg%253Fw%253D216%2526h%253D300

Satu pelajaran lagi dari Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah tentang masalah iman mengenai tanda cinta pada Allah. Beliau, Abul ‘Abbas Ibnu Taimiyah rahimahullah mengatakan,

حَبُّ اللَّهِ وَرَسُولِهِ مَوْجُودٌ فِي قَلْبِ كُلِّ مُؤْمِنٍ لَا يُمْكِنُهُ دَفْعُ ذَلِكَ مِنْ قَلْبِهِ إذَا كَانَ مُؤْمِنًا . وَتَظْهَرُ عَلَامَاتُ حُبِّهِ لِلَّهِ وَلِرَسُولِهِ إذَا أَخَذَ أَحَدٌ يَسُبُّ الرَّسُولَ وَيَطْعَنُ عَلَيْهِ أَوْ يَسُبُّ اللَّهَ وَيَذْكُرُهُ بِمَا لَا يَلِيقُ بِهِ . فَالْمُؤْمِنُ يَغْضَبُ لِذَلِكَ أَعْظَمَ مِمَّا يَغْضَبُ لَوْ سُبَّ أَبُوهُ وَأُمُّهُ

Cinta pada Allah dan Rasul-Nya telah ada dalam hati setiap orang beriman. Tidak mungkin seseorang menghilangkan rasa cinta tersebut jika memang ia adalah orang yang beriman. Tanda cinta pada Allah dan Rasul-Nya begitu nampak jika ada seseorang yang mencela Rasul dan menjelek-jelekkannya, atau ada orang yang mencaci maki Allah atau menyebut tentang Allah dengan sesuatu yang tidak pantas. Maka orang beriman akan benci dengan hal-hal tadi. Kebenciannya tersebut lebih besar dari kebenciannya ketika ayah atau ibunya dicacimaki.

Sumber: Majmu’ Al Fatawa, Ibnu Taimiyah, Darul Wafa’, 16/343.

***

Silakan renungkan baik-baik nasehat di atas. Apakah sudah benar-benar kita telah mencintai Allah dan Rasul-Nya dengan memiliki tanda yang beliau rahimahullah sebutkan. Jika Allah dan Rasul-Nya dilecehkan dan direndahkan atau diperlakukan dengan tidak layak, malah kita adem ayem dan tidak ada rasa benci sama sekali, maka tanda cinta pada Allah dan Rasul-Nya tersebut yang patut ditanyakan. Sudah benarkah seperti itu?

Semoga menjadi bahan renungan yang berharga di malam ini.

Written a half hour before Maghrib on 17 Dzulqo’dah 1431 H, 25/10/2010, in KSU, Riyadh, KSA

By: Muhammad Abduh Tuasikal

www.rumayhso.com

Friday, April 22, 2011

Bila Jiwa Kacau

http://www.iluvislam.com/v1/includes/jscripts/tiny_mce/plugins/imagemanager/library/solat.jpg

Hidup ini penuh suka dan duka, penuh dengan watak yang mewarnai laluan perjalanannya. Kita pasti selalu mengharap agar perjalanan yang kita lalui sentiasa ceria tanpa duka tanpa menyedari jika itu yang berlaku, kita sebenarnya bakal menjadi manusia yang tidak punya pengalaman dan penuh dengan kebosanan. Kita sering berharap supaya kita bahagia namun kita lupa kekecewaan dan kebahagian itu bukan terletak di luar diri. Ianya datang bersumber dari dalam diri kita sendiri. Kitalah yang sebenarnya memilih keadaan diri samada duduk dalam erti kebahagian sebenar ataupun sebaliknya. Hal ini jarang sekali kita peduli kerana bagi kita kebahagian itu sebenarnya datang dari keadaan luaran dan keadaan luaran adalah penentu utama kebahagian.

Jika kita seorang yang bahagia secara dalaman maka kita tidak akan peduli bagaimanakah keadaan luaran kita, biarpun buruk atau pun tidak. Kita melihat segala sesuatu dengan persepsi yang positif. Kita tidak merasakan sesuatu masalah itu sebagai bebanan tetapi melihatnya sebagai satu maklumbalas yang kita terima yang memerlukan pembetulan atau pencorakkan semula. Mereka yang bahagia secara dalaman sentiasa mempunyai tidur yang lena, sentiasa segar dan mempunyai semangat yang tinggi untuk hidup. Mereka pasti akan hidup penuh dengan kasih sayang. Kasih sayang ini bukan sahaja untuk sesama manusia tetapi ianya juga untuk makhluk keseluruhan. Itulah faktor yang ada pada generasi datuk dan nenek kita. Biarpun kelihatan kurang berharta tetapi mereka cukup bahagia. Keadaan ini jelas kelihatan dari tuturkata mereka dalam perbualan dan perlakuan mereka sesama makhluk. Justeru mereka gemar untuk memelihara binatang dan mereka hidup penuh dengan kesopanan, kelembutan dan kasih sayang.

Hari ini ramai diantara kita yang tidak bahagia secara dalaman. Mereka hidup penuh dengan kebencian dan paling memualkan adalah persepsi negatif yang mereka ada dalam melihat kehidupan. Mereka sentiasa mempunyai sangka buruk dan memikirkan kejadian yang buruk lebih dari melihat kebaikan sesuatu peristiwa. Mereka ini cukup meletihkan kerana mereka sentiasa mahu bahagia tetapi tidak pernah faham apa itu kebahagian. Mereka berpendapat kebahagian itu perlu datang dari luar. Orang bijak pernah berkata “ jika kamu tidak menjumpai kebahagaian dalam diri kamu … janganlah kamu mencarinya di luar kerana pasti tidak akan bertemu.” Bagi orang sebegini saya mengkategorikannya sebagai mereka yang berada dalam jiwa yang kacau. Jiwa kacau ini menyebabkan mereka suka benar membuat tanggapan tanpa diminta dan lebih buruk pula, tanggapan itu hampir semuanya negatif. Mereka akan lebih melihat keburukan dan hampir tiada kebaikan. Merekalah penyebab hilangnya kebahagian. Kebahagian datang dari dalam diri sendiri dan jika diri mereka penuh dengan kebencian dan negativiti maka secara hukum alam mana mungkin mereka akan bahagia.

Mereka sering berkata yang jika sesuatu keadaan berlaku barulah mereka akan bahagia atau jika mereka pergi ke satu-satu tempat barulah mereka akan bahagia. Sebenarnya ke mana sahaja mereka pergi, biar apa keadaan sekalipun mereka tidak akan bahagia dan mereka akan melihat keadaan yang mereka katakan itu kelak sebagai keadaan negatif. Ada satu perkara yang mungkin perlu untuk kita lihat dengan penuh perhatian iaitu sangka buruk mereka itu dapat membuatkan suasan harmoni menjadi negatif. Mereka lupa bahawa sangka buruk mereka itu adalah satu doa yang mungkin boleh terjadi satu hari nanti. Bukankah lebih baik jika mereka melihat sesuatu itu secara positif kerana sangka baik itu juga merupakan satu doa. Jika buruk sangkaannya maka dia akan selalu memikirkan yang buruk dan akhirnya mereka melepaskan emosi mereka kepada mereka yang positif. Mereka mungkin tidak tahu atau tidak perasan yang perbuatan mereka itu menyebabkan kebahagian yang dibina bakal luntur akibat energi negatif yang disalurkan. Mereka menyebabkan tekanan luar biasa bukan sahaja kepada diri mereka tetapi kepada orang yang berada disekeliling mereka. Akhirnya mereka akan kehilangan teman dan taulan dan itu lebih membuat mereka lebih negatif. Mereka mula mendendami keadaan itu namun tidak pula mengakuinya melainkan meletakan kesalahan itu pada orang sekeliling.

Jiwa kacau satu penyakit yang perlu diubati dan untuk mengubatinya secara efektif, mereka yang mengalaminya perlu secara sukarela untuk berubah. Langkah pertama, mereka perlu membersihkan diri dari segala sangka buruk. Mereka perlu tahu sangka buruk itu dilarang baginda saw. Keduanya, mereka perlu membuang segala peristiwa negatif yang tersemat dalam memori mereka. Seterusnya mereka perlu bergaul dengan mereka yang positif untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam bulan. Mereka boleh menyertai persatuan atau membuat kebajikan secara berterusan. Ingatlah jiwa yang kacau bukan sahaja membunuh jiwa mereka tetapi bakal menyebabkan mereka kehilangan orang yang kononnya mereka cintai dan sayangi. Hiduplah dalam persepsi positif dan berkasih sayang dengan Allah swt menyebabkan kita lebih positif dan tenang kerana Allah swt tahu segalanya dan serahkan kehidupan kita kepada Allah swt dan bukan kepada serakah jiwa. Wallahu a’lam


Rujukan:

Asas Spiritual NLP

Mencari Modal Awal Business

http://spiritualnlp.files.wordpress.com/2011/03/ruqyah.jpg?w=150&h=136

Hari ini pandangan masyarakat kita terhadap perniagaan sudah mula berubah dari seketika dulu menganggap perniagaan satu hal yang cukup berat untuk dilaksanakan kepada kini, satu bidang yang ingin diceburi oleh ramai diantara kita. Dulu amat payah untuk kita melihat orang yang sanggup meninggalkan kerjayanya demi memulakan perniagaan yang ingin ceburinya yang belum tentu tahu untung dan ruginya. Kini begitu ramai yang teruja untuk bekerja sendiri kerana memikirkan keuntungan yang bakal diperolehi hasil perniagaan yang baru dimulakan. Ianya merupakan satu perubahan yang positif untuk kita setelah sekian lama merdeka dan senario ini membebaskan kita dari label yang diletakkan oleh penjajah terhadap bangsa kita.

Sikap yang baik ini perlu diturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Meskipun begitu, terdapat juga kekangan yag dihadapi oleh mereka yang mempunyai semangat dalam mengubah kerjaya ini. Ramai diantara kita berhadapan dengan masalah modal awal dalam memulakan sesuatu perniagaan. Modal adalah satu perkara yang acapkali menjadi penghalang untuk ramai orang yang berminat hilang minat dalam menceburi perniagaan. Hal ini menyebabkan mereka kecewa dan hal ini tanpa sedar juga menjadikan mereka orang yang sering ketinggalan dalam membentuk diri menjadi seorang yang dinamik. Ini kerana tanpa mereka sedar, kekecewaan yang timbul itu tersimpan dalam kotak memori dan ia bakal menjadi pemacu kepada hokum penarikan yang mana bakal menyebabkan mereka tertarik atau bertemu dengan situasi yang mengecewakan.

Apabila kekecewaan sudah mula menjadi pemacu, hidup menjadi tidak keruan, dan seandainya mereka sudah mempunyai modal untuk berniaga, modal tersebut juga tidak mampu menghasil satu hasil yang diharapkan dari perniagaan yang dimulakan itu kerana mereka sering berhadapan dengan masalah bisnes yang mengecewakan. Inilah juga antara sebab mengapa ramai diantara kita yang gagal dalam bisnes atau mempunyai perniagaan yang tidak memberangsangkan. Kadangkala kita menjadi hairan mengapa setelah punya modal, bisnes pula bermasalah. Mengapa dahulu ketika modal belum cukup, idea bisnes begitu kreatif, semangat juang begitu tinggi namun sekarang apabila modal sudah dikumpul, kita tidak tahu bagaimana untuk bermula bahkan dapat dirasakan semangat juang yang semakin berkurangan.

Kejadian sedemikian pada pandangan saya berlaku kerana tiada keharmonian dalam pembentukan modal. Modal bisnes terbahagi kepada dua jenis yang mungkin selama ini kita kurang jelas atau kurang mengetahuinya. Ini terjadi kerana penekanan hanya diberi kepada stu jenis modal sahaja yakni modal fizikal. Modal untuk bisnes boleh kita klasifikasikan kepada dua kelompok yang dinamakan modal jiwa dan modal RM. Kesibukan kita memikir dan mencari modal RM membuatkan banyak energi yang positif pada awalnya terbuang dan apabila RM sudah dikumpul, yang mendominasikan tubuh adalah energi negatif. Apabila energi negatif ini dibiarkan dalam hidup, maka bisnes yang baru dimulakan akan dijana dengan energi negative dan bakal membawa laba yang juga bersifat negative.

Modal awal yang merupakan tunjang kepada segala modal adalah modal jiwa. Modal jiwa merupakan satu modal wajib bagi para pemula bisnes. Ianya satu bentuk modal yang perlu diperbanyakkan dari hari ke hari. Jika kita ingin menceburi bidang bisnes sebagai satu bidang kerjaya yang baru, lupakan seketika tentang modal RM. Apa yang cukup penting bagi pemula bisnes adalah kekayaan jiwa kerana kaya itu bukan kaya harta melainkan kaya jiwanya. Apabila jiwa sudah cukup kaya, jiwa sudah cukup mantap barulah idea bisnes yang menguntungkan akan terbit dari jiwa yang begitu tenang dan kreatif. Modal jiwa adalah modal asas yang perlu digali dari dalam diri dan dibawa keluar. Apabila kekayaan jiwa sudah begitu mantap dan idea bisnes sudah begitu jelas kelihatan maka barulah datang apa yang selalu kita katakan yakni modal RM. Anehnya dan ini dialami oleh saya sendiri dan ramai peserta program usahawan spiritual yang saya adakan ialah, modal RM bukan menjadi satu perkara yang sukar. Modal RM datang dengan caranya yang tersendiri tanpa perlu kita memikirkan bagaimana untuk mengumpulkannya. Maka sebab itu saya cukup yang yakin dengan pandangan saya bahawa yang paling utama dan yang menjadi tunjang kejayaan sesuatu bisnes itu adalah modal jiwa. Ini cukup jelas terbukti apabila teknik mengumpul modal jiwa yang terdapat dalam program usahawan spiritual saya, menghasilkan kejayaan yang diluar jangkaan terhadap peserta program.

Apabila modal jiwa sudah mencukupi, kita akan didekati oleh bisnes yang sesuai dengan jiwa kita dan dengan adanya hal sedemikian kita akan menjana satu energi positif terhadap bisnes dan yakinlah insya Allah energi positif bisnes tersebut bakal menghasilkan poket yang positif. Keadaan yang paling penting bagi kita sebenarnya bukanlah menjadi orang yang kaya tetapi orang yang mempunyai poket positif. Semoga mulai pada hari ini pandangan tentang modal sebenar sudah semakin jelas dan semoga para pemula bisnes dapat melihat kembali adakah modal jiwa mereka sudah mencukupi untuk mereka memulakan sesuatu yang baru.
Wallahu a’alam.

Rujukan :

Asas Spiritual NLP

Kepimpinan BerTuhan

http://t3.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcSRdKTaJ1Pbp8C-TP2Dj0LAWXB4-DAR-p0Bjik3ZQrjbtyoWg4F

Sejak memperkenalkan program spiritual leadership, ramai yang bertanya apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan spiritual. Mungkin kita sering mendengar tentang perkataan spiritual namun kita mungkin juga tersilap kira tentang pengertiannya. Ada diantaranya yang menggambarkan tentang beberapa bacaan yang perlu dibaca lalu ianya dipanggil spiritual. Ada juga terlintas di benak minda mereka beberapa ritual yang perlu diamalkan dan itu pada pandangan mereka adalah spiritual. Spiritualiti adalah satu kepercayaan yang mendalam yang berkait dengan perasaan berhubungan dengan hal-hal ketuhanan, keyakinan, pengharapan serta perbuatan yang sama arah tuju tetapi bersifat multidimensi. Ianya memberi satu momentum energy yang cukup kuat dalam menterjemahkan idea ke bentuk perbuatan. Ini kerana mereka yang benar-benar memahami erti spiritualiti pasti akan menjumpai erti kehidupan sebenar dan tujuan hidup yang menjadi landasan untuk hidup. Hasilnya mereka mempunyai daya tahan yang kuat dalam mengharungi liku kehidupan yang mencabar.

Berbeza dengan apa yang dipanggil mistik. Mistik merupakan sesuatu yang boleh dikta katakan dengan bahasa mudahnya ghaib. Mistik amat berkait rapat dengan mantra dan seumpamanya manakala spiritual pula merupakan keterikatan seseorang itu dengan Maha Pencipta. Mungkin kupasan di atas sudah mencukupi untuk kita lebih memahami istilah yang spiritualiti dan mistik yang sering disalahertikan selama ini. Hari ini apa yang ingin saya kongsikan adalah cerita kepimpinan yang mungkin selama ini kita lihat dari satu sudut yang berbentuk namun kali ini marilah kita melihatnya dari satu dimensi berbeza.

Kepimpinan jika dilihat dari dimensi spiritualiti cukup menarik untuk dikupas tetapi dalam ruang yang terhad ini saya mungkin dapat menceritakan sedikit tentang khalifah Umar Abdul Aziz, khalifah bani ummayyah yang bertahan selama 852 hari. Apa yang menariknya tentang khalifah ini adalah kehebatan peribadinya dalam memerintah. Apabila saya ditanya apakah rahsia kegemilangan beliau, maka ianya adalah corak pemerintahan yang berTuhan. Inilah yang saya panggil kepimpinan berTuhan yang mana beliau zuhud dan dapat memakmurkan negara dengan kezuhudannya.

Persoalan yang sering timbul adalah memahami takrifan zuhud itu sendiri. Sebelum kita pergi lebih jauh dengan apa yang diertikan dengan kepimpinan berTuhan maka lebih indah seandainya kita dapat mengupas pengertian zuhud itu sendiri. Jika dilihat dari sudut bahasa zuhud membawa pengertian berpaling dari sesuatu kerana hinanya sesuatu tersebut dan kerana seseorang tidak memerlukannya. Menurut Hasan Al-Basri pula “zuhud itu bukanlah mengharamkan yang halal atau mensia-siakan harta, akan tetapi zuhud di dunia adalah kamu lebih mempercayai apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tangan kamu. Keadaan kamu antara ketika ditimpa musibah dan tidak adalah sama sahaja, sebagaimana sama sahaja di mata kamu antara orang yang memuji kamu dengan yang mencela kamu dalam kebenaran.”

Seringkali kita mendengar bahawa zuhud ditakrifkan dengan meninggalkan hal-hal duniawi sedangkan makna lebih jelas adalah mendahulukan Allah dalam segala hal. Kepimpinan berTuhan yang diamalkan oleh Umar Abdul Aziz adalah satu bentuk kepimpinan yang mendahulukan Allah swt dalam semua hal. Makanya corak pemerintahannya menjadikan keadaan ketika itu bercukupan hinggakan mencari orang untuk diagihkan zakat juga agak sukar. Kepimpinan berTuhan ini perlu dimulakan dari diri sendiri terlebih dahulu. Kita perlu menjadi khalifah kepada diri kita sendiri. Dalam hal ini, kita perlu tahu juga untuk membezakan kepentingan sesuatu hal, contohnya umar menggunakan dua pelita yang satunya untuk negara dan satu lagi untuk diri sendiri.

Jika kita melihat hal ini dari sudut spiritual maka yang jelas untuk dikupas adalah cara kita meletakkan kepentingan atau keutamaan. Seringkali kita alpa dalam aspek untuk menentukan keutamaan sesuatu perkara. Kita perlu bijak dalam menyusun atur keutamaan dalam kehidupan kita. Itu adalah titik awal untuk kita mentadbir diri kita. Kita kemudiannya perlu juga tahu yang mana satu keperluan hidup dan yang mana satu kehendak. Kedua-dua ini acapkali bertembung apabila satu-satu keputusan ingin dilakukan. Akibatnya kehendak seringkali mendapat tempat di hati.

Demi untuk kita tahu menilai keutamaan serta membezakan antara keperluan dan kehendak maka kita amat perlukan hakim yang bijak untuk memberitahu kita percarturan yang perlu diambil. Hakim berkenaan adalah Allah swt yang maha kaya lagi maha bijaksana. Maka kepadaNya kita perlu merujuk. Jika kita hanya merujuk kepada diri sendiri maka kita masih mungkin merujuk kepada nafsu yang ingin dipuaskan kerana takut dicela masyarakat, takut dilihat miskin atau takut dilihat lemah. Jika rujukan itu dilakukan kepada Allah swt maka kita tidak peduli apakah pandangan sekeliling kerana yang paling penting adalah pandangan Allah swt terhadap diri kita. Jika ini boleh dilaksanakan maka kita sudah mula membawa corak umar abdul aziz dalam kehidupan kita. Kita sudah mula memimpin diri sendiri dengan kepimpinan berTuhan dan kemudian barulah ditularkan ke seisi keluarga, masyarakat dan negara. Insya Allah setelah ini kita akan mengupas pula bagaimana untuk kaya tetapi berTuhan.

Rujukan:

Spiritual NLP

Friday, April 15, 2011

Ibu bapa saling berkasih pengaruhi akhlak anak

http://t0.gstatic.com/images?q=tbn:ANd9GcSYBPZY9fqXtmhAmw39rsLLYp6xNpmnG_JquiKIYp722xofaYB9


Bersama Prof Dr Sidek Baba

IBU sering dirujuk sebagai faktor penting dalam pendidikan. Bapa tidak kurang penting membentuk anak dalam kepemimpinan. Bapa adalah lambang ketua dalam sebuah rumah tangga.

Didikan ibu dan kepemimpinan bapa boleh memberi perlindungan kepada isteri dan contoh kepada anak.

Menjadi suami adalah mudah. Perkahwinan boleh memberikan gelaran suami tetapi, menjadi seorang bapa adalah peranan yang payah.

Watak bapa tidak sama dengan watak ibu, tetapi Allah menjadikan mereka berpasang-pasang untuk melakukan peranan saling melengkapi.

Bapa perlu insaf bahawa pada ibu ada peranan penting untuk membentuk watak anak. Ia bukan monopoli bapa tetapi menjadi tanggungjawab bersama.

Semangat kebapaan perlu wujud dalam suasana keluarga. Kebapaan kepada ibu, meletakkan ibu dilihat sebagai sumber amanah.

Bapa harus berasakan bahawa ibu adalah amanah Allah yang besar. Ibu perlu dikasihi dan disayangi. Semangat kebapaan memberi perlindungan, tunjuk ajar, bimbingan dan rasa persefahaman dengan ibu. Ia bakal mewujudkan suasana rumah tangga harmoni dan damai.

Bapa tidak boleh mengatakan dia adalah segala-gala dalam rumah tangga. Perlu ada komunikasi dan persefahaman tinggi bahawa ibu bapa mempunyai tanggungjawab masing-masing dalam keluarga.

Konflik akan berlaku jika ego bapa menyebabkan ibu sering tersinggung dan kepemimpinan keluarga menjadi monopoli bapa.

Wujudkan suasana selesa dalam rumah. Pandangan ibu boleh didengar, pertanyaan anak boleh dijawab dan akhirnya bapa membuat pertimbangan serta keputusan terbaik sebagai ketua keluarga.

Jika wujud pertelagahan antara bapa dan ibu, bapa harus mencari jalan penyelesaian saksama.

Ego kebapaan jangan sampai si ibu memendam perasaan, takut memberi pendapat, sentiasa mengikut telunjuk bapa, bapa selamanya benar hingga menyebabkan ketegangan sering wujud dalam keluarga.

Bapa perlu menyedari dirinya tidak semua sempurna. Kekurangan tetap ada. Ia memerlukan pandangan ibu dan saluran perbincangan sentiasa terbuka. Keadaan ini akan memberikan suasana melegakan dalam rumah tangga apabila pandangan terbaik diambil bagi membantu bapa untuk membuat keputusan.

Ada pengalaman bapa yang tidak ada pada ibu dan pengalaman mendidik yang dilakukan ibu, tidak ada pada bapa.

Selalunya banyak masa ibu bersama anak atau mengendalikan perjalanan rumah berbanding bapa. Seorang bapa yang baik selalu menginsafi bahawa fikiran ibu akan diminta dan keputusan dibuat untuk kebaikan keluarga dan anak adalah pertimbangan bersama.

Pada bapa ada sifat tegas dan tangkas. Anak perlu dilatih supaya memiliki watak tegas dan tangkas. Masalah anak hari ini adalah masalah ketiadaan disiplin dan kehilangan adab. Watak bapa yang tegas harus difokuskan untuk membangun disiplin anak.

Bapa perlu menjadi contoh kepada binaan disiplin ini. Jika bapa mahukan anaknya jangan merokok, bapa juga jangan merokok. Jika bapa mahukan anak menjadi berakhlak, awal pagi bapa perlu mengejutkan anak untuk bersolat Subuh dan menjadikan anak tidak lupa kepada waktu solat lain.

Bapa perlu mampu membentuk adab anak mengasihi ibu bapa dan orang tua. Menghormati jiran dan rakan taulan jadikan suatu amalan. Ada rasa malu terhadap perkara terlarang. Timbulkan kecintaan kepada amalan baik. Rasa malu terhadap perkara dosa seperti bercakap bohong, menganiaya manusia dan binatang, merosakkan harta awam dan berbangga terhadap sesuatu. Sifat kebapaan yang memiliki watak tegas boleh menjadikan anak terbiasa dengan disiplin dan kelaziman hidup yang santun.

Bapa juga perlu menjadikan anaknya tangkas. Ketangkasan tidak hanya terlihat pada aktiviti jasmani tetapi ketangkasan berfikir.

Bapa perlu berbincang dan berkomunikasi dengan anak. Anak yang rajin bertanya memberi kesan baik ke arah ketangkasan berfikir. Anak yang kelihatan lembik pada fizikal dan lemah upaya berfikir adalah akibat tiadanya suasana di rumah yang boleh merangsang ke arah itu.

Disiplin tinggi, adab baik, ketangkasan fizikal dan pemikiran adalah kunci membangun anak yang baik. Bapalah sepatutnya berperanan membentuk watak sedemikian.

Kegagalan anak dewasa ini akibat daripada kealpaan bapa memberikan bimbingan dan asuhan hingga ibu melakukan segala-galanya dan bapa hanya bertugas mencari nafkah.

Perlu diinsafi bahawa rumah tangga adalah tapak utama untuk asuhan dan didikan berlaku. Apa yang berlaku dalam keluarga bakal mencorakkan kejayaan anak di sekolah.

Keciciran anak di rumah kerana kealpaan bapa dan ibu menyebabkan keciciran anak di sekolah. Keciciran di sekolah boleh membawa keciciran dalam masyarakat.

Bapa perlu sentiasa berasakan ibu adalah harta didik yang sangat berkesan kepada anak. Menyayangi dan melindungi ibu seumpama mengasihi anak kerana ibu yang jiwanya tenang dan dikasihi bapa akan sentiasa memiliki kekuatan melaksanakan tanggungjawab mendidik.

Bapa hendaklah memberikan masa berkualiti tidak saja di tempat kerja tetapi kepada isteri dan anak.

Pada bapa ada hak isteri terhadapnya dan hak anak terhadapnya. Jika hak ini disempurnakan oleh bapa sebaiknya, rumah tangga dan keluarga akan menjadi bahagia dan contoh terbaik kepada orang lain.

Apabila bapa melihat ibu adalah aset dan anak adalah harta, akan wujud perimbangan daripada sudut peranan dan tanggungjawab. Wang ringgit bukanlah segala-galanya untuk dicari. Jika fokus tidak diberi bapa untuk membantu ibu mendidik anak, maka kemungkinan keluarga ’kehilangan anak’ boleh berlaku.

Bayangkan jika bapa tidak melakukan peranan dan tanggungjawabnya menyebabkan anak terjebak dengan amalan salah guna dadah, ia tidak boleh ditebus dengan wang ringgit lagi. Nasi sudah menjadi bubur.

Anak yang terbabit dengan dadah adalah beban kepada keluarga dan negara.

Begitu juga anak yang terbabit dalam kerosakan akhlak disebabkan tidak wujudnya suasana contoh di rumah. Keluarga menjadi tempat tidak selesa membentuk watak dan akhlaknya.

Bapa hanya sibuk di tempat kerja atau mencari duit tambahan. Anak menjadi terbiar. Percampuran dengan rakan sebaya adalah tinggi. Akhirnya anak terjebak dengan amalan negatif dan sukar untuknya berpatah ke pangkal jalan.

Bapalah watak penting yang perlu bertanggungjawab terhadap ibu dan anak. Jika peranan itu berjalan dengan baik dan saksama, ibu menjadi manusia paling gembira dan anak menjadi anggota keluarga yang amat berbahagia.

Wednesday, April 6, 2011

60 Peratus Berzina Kerana Pengaruh Video Lucah

http://daawah.com/haji2005/albums/umrah2007/Umrah021.jpg
Lihat gambar di atas dan ingatlah kepada Rasulullah SAW. Selawat Dan Salam buat Rasul Junjungan....

KUALA LUMPUR – Satu kajian yang dibuat oleh seorang pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun lalu mendapati 60 peratus kes perzinaan berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah.

Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja UKM, Dr. Khaizil Ismail berkata, Kajian Remaja Berisiko Tinggi yang dijalankan selama enam bulan itu dijalankan di pusat-pusat pemulihan akhlak di seluruh negara merangkumi kira-kira 600 responden yang berumur antara 15 dan 20 tahun.

“Biasanya gadis yang sudah berzina dengan pasangan akan mengandung dan kemudian mengambil keputusan membuang bayi yang dilahirkan bagi mengelakkan rasa malu atau diketahui keluarga.

“Perzinaan yang berlaku akan menyebabkan terhasilnya anak luar nikah. Jadi, saya menyokong kenyataan bahawa kes-kes buang bayi yang semakin banyak sekarang ini adalah berpunca daripada menonton bahan-bahan lucah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Video sundal: mengurus kesucian diri

http://daawah.com/haji2005/albums/umrah2007/Umrah010.jpg

Ketika saya sedang menulis catatan ini, saya baru menerima sms tersebarnya video sundal yang dikaitkan dengan seorang pemimpin besar politik tanah air di dalam internet. Kemudian sms demi sms menghujani saya terutama daripada kawan-kawan yang meminta pandangan dan ‘fatwa’ segera demi menghilangkan keluh kesah dan kekeliruan.

Saya komen ringkas, orang mukmin jangan sebar jika pun rasa percaya. Jika palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika benar, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Kemudian saya menambah, jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka?

Politik negara kita semakin hari semakin kotor. Ahli politik seperti enggan berubah kepada politik yang lebih baik dan lebih bertamadun. Mereka seperti tidak kisah bahawa politik kotor akan menghumban negara kepada bala dan kerosakan yang lebih besar. Di antara politik kotor yang dilihat secara nyata ialah usaha membunuh karier politik lawan dengan fitnah yang memalukan dan menjatuhkan maruah. Fitnah adalah menyebarkan yang tidak benar atau belum disahkan kebenarannya.

Lebih menyayatkan, ia sehingga menyentuh soal-soal yang jawabannya telah dinyatakan secara jelas oleh al Quran. Pun begitu, sebahagian mereka enggan menerima. Apabila diberi nasihat dan teguran, mereka berusaha menghasilkan deretan hujah yang menggambarkan seolah-olah merekalah penyelamat negara daripada kerosakan. Tentunya mereka sedang dilamun cinta iblis kerana sedang menghujah kekuasaan al Quran dan merasakan mereka lebih benar dan lebih tahu hukum Allah daripada Allah sendiri.

Ketahuilah bahawa dosa dan pahala adalah milik Allah. Dia yang menulis dan Dialah yang membalasnya nanti. Kita tidak pun pernah dan akan tahu berapakah jumlah dosa dan pahala kita sekarang. Sebabnya, ia melibatkan syarat keikhlasan yang duduknya di dalam hati. Seribu tahun kita bersolat tidak bererti semuanya berpahala, bahkan ia diikat keikhlasan diri. Walaupun seribu kali kita mengaku ikhlas, seribu kalilah dakwaan kita itu tidak terpakai. Hak menentukan keikhlasan adalah milik Allah semutlaknya.

Kerana itu Allah tidak pernah menuntut agar kita menulis pahala dan menganugerahi seseorang kerana pahala yang dilakukannya. Begitulah kita juga tidak dituntut menulis dosa dan menghukum seseorang kerana dosanya. Bagaimanakah kita layak dan berhak menganugerahi atau membalas jahat seseorang yang berpahala atau berdosa sedangkan kita sendiri gagal mengesan dan melihat keikhlasan, pahala dan dosa diri sendiri? Maka dosa dan pahala adalah milik Allah semutlaknya. Nanti, Dialah tuhan yang akan membalasnya dengan nikmat atau azabNya di akhirat nanti.

Apa yang kita ada di hadapan ialah kebaikan dan kejahatan yang dilihat. Atau keadilan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini. Di sinilah penganugerahan baik dan pembalasan buruk dituntut oleh Allah daripada manusia. Kita dituntut untuk menganugerahi kebaikan dan keadilan yang dilakukan manusia setimpalnya. Begitulah kita juga dituntut membalas keburukan dan kezaliman yang dilakukan manusia setimpalnya. Kebaikan, keadilan, keburukan dan kezaliman adalah suatu yang zahir dan dilihat oleh manusia. Ia tidak memerlukan syarat keikhlasan untuk membalasnya, baik atau buruk.

Adakah seorang pekerja dipotong gajinya kerana mengajar tidak ikhlas? Tidak bukan? Mereka digaji kerana kebaikan mereka menuruti perintah yang diarahkan. Juga, mereka dihukum kerana perlanggaran terhadap amanah yang diberikan. Itulah yang kita harus fahami daripada asas syariat bahawa pembalasan sesama manusia hendaklah diukur pada zahirnya, bukan batinnya. Manusia apabila memasuki ruang batin, mereka akan mendakwa dan menghukum di dalam kekeliruan, kesamaran dan kepalsuan.

Maksiat peribadi yang tersembunyi adalah perbuatan yang melibatkan dosa, bukan kezaliman sesama manusia. Maka ia adalah hak Allah dan kita sama sekali dilarang menghukumnya. Zina, minum arak, tidak solat dan sepertinya adalah dosa peribadi yang tidak menzalimi orang lain. Maka Allahlah yang akan mengadilinya. Tetapi jika zina bertukar kepada rogol, atau mabuk arak sehingga mengganggu ketenteraman awam, atau tidak solat secara terbuka yang memalukan, melukakan dan menyebarkan kefasikan di dalam masyarakat Islam, maka ia telah bertukar bukan hanya sekadar maksiat peribadi, bahkan ia telah mencetuskan kezaliman di dalam masyarakat. Saat itulah, Allah menuntut kita bertindak memadamkan kezaliman dan fitnah tersebut.

Begitulah kesalahan lain yang lebih jelas kezalimannya terhadap sesama manusia samada ianya ikhlas atau tidak, tertutup atau terbuka seperti menipu, mencuri, merompak, merasuah, membunuh dan memfitnah. Bayangkan pula jika ianya melibatkan jutaan manusia seperti merompak wang rakyat, merasuah jutaan ringgit dan memfitnah pemimpin rakyat yang membawa kesan buruk yang lebih besar.

Mereka bertanya, jika begitu bagaimana kita mampu menyekat budaya zina yang kian menular di dalam masyarakat? Tidakkah zina biasanya tersembunyi? Ya, selagi ianya tertutup, ia kekal jangan dibuka bongkar. Budaya zina hari ini pula telah melewati batasan keperibadian dan kesembunyian. Ia telah merebak ke ruang terbuka melalui kejelekan muqaddimahnya dan akibat buruknya. Pergaulan bebas begitu ketara, berpacaran dan berpelukan di khalayak ramai begitu terbuka dan akhirnya jenuhlah anak luar nikah, pembunuhan terhadap bayi dan pengguguran kandungan luar nikah.

Membasmi budaya ini bukanlah dengan cara menyerbu dan mengintai orang berzina, tetapi dengan nasihat dan dakwah, juga dengan menutup, menghalang dan mengawasi lokasi-lokasi yang menjadi punca berleluasanya aktiviti terkutuk itu. Jika zina tertutup itu telah diketahui di luar kerana ada yang melaporkannya, atau tempat itu telah terkenal dengan aktiviti tidak bermoral, maka adalah hak bagi pihak berkuasa untuk bertindak memadamkannya samada menangkap, mengawasi atau menutupnya terus. Zina tersebut telah melangkaui sempadan kesembunyian kepada kezaliman terhadap masyarakat. Sebuah masyarakat Islam yang bersih akan terganggu dengan mengetahui dan mendengar maksiat yang berlaku di sekitarnya tanpa tindakan menutupnya.

Mereka bertanya lagi, bagaimana jika ia melibatkan pemimpin yang kejahatannya walaupun bersifat peribadi adalah penipuan dan pengkhianatan terhadap rakyat? Saya menjawab, ya, ia kekal peribadi. Semua kita adalah pemimpin terhadap anak buah masing-masing. Jika maksiat peribadi pemimpin harus dibezakan, maka izinkanlah anak-anak kita sendiri mengintai maksiat kita kerana kita telah mengkhianati mereka. Mahukah?

Mereka enggan berhenti daripada bertanya, video telah tersebar dan ditontonkan secara terbuka. Tidakkah itu telah menjadi maksiat terbuka yang mesti dihukum? Saya menjawab, orang yang sedang melakukan maksiat terbuka itu adalah penontonnya, apatah penyebarnya. Adapun pelaku didalamnya, ia kekal maksiat tertutup yang telah pun berlalu penulisan dosanya oleh Allah. Mungkin juga dia telah pun bertaubat semasa anda menonton video tersebut. Anda menghukumnya sedang Allah telah memaafkannya. Alangkah tuhannya anda!

Kemudian, orang mukmin sudah cukup dirinya sendiri menjadi saksi. Orang mukmin itu amanah sifatnya selama mana tiada kecalaran di dalam rekod zahirnya. Tetapi, pada peringkat tuduhan zina, Allah menuntut empat saksi untuk membenarkannya. Tidakkah anda melihat betapa di antara hikmah yang nyata adalah kerana Allah sendiri enggan maksiat hambanya yang bersembunyi itu disebarkan oleh sesiapapun, apatah dengan tujuan menjatuhkan maruahnya. Adakah saat kita menuduh orang berdosa, kita tidak pernah pun berbuat dosa?

Ah, jikalah tidak kerana kelebihan Allah dan rahmat kasih sayangNya ke atas kita, maka tiadalah siapa pun di antara kita mampu menjadi bersih dan dilihat bersih selama-lamanya. Tetapi Allahlah yang membersih kita dengan menjauhkan kita daripada dosa dan menutupi dosa yang telah kita lakukan.

Apabila anda memahami fiqh dan kehikmatan ini, maka anda akan dapat melihat sejalur hikmah mengapa mengumpat, mengadu domba dan menjaga tepi kain orang adalah diharamkan dan dosa kesalahannya adalah besar di sisi Allah. Mengumpat dan seumpamanya, walaupun jika benar sekalipun adalah terlarang kerana ia banyak melintasi garis peribadi yang tak pun menjejaskan awam.

Itu jika benar, apatah jika ianya adalah satu fitnah! Rakaman video hanyalah fitnah! Seratus kamera yang merakam sekali pun, ia bukan galang ganti seorang mukmin apatah empat orang mukmin yang dituntut oleh Allah. Tidakkah satu kepastian yang nyata bahawa orang mukmin yang amanah tidak akan melakukan perbuatan merakam video perbuatan maksiat tertutup tersebut?! Jadi, bagaimana dibenarkan penghukuman zina oleh saksi fasik dengan bahan bukti tertolak?

Mereka terus tidak berpuas hati kerana fitnah sedang melanda negara, lalu ia memakan dan memamah apa saja yang mampu dimakannya samada kayu atau besi. Mereka bertanya lagi, bagaimana jika video itu benar sebenar-benarnya dan asli seasli-aslinya? Tidakkah dengan tidak mempercayai atau tidak bertindak ke atasnya maka terdedahlah kita dengan penipuan dan pengkhianatan yang menanti jika pemimpin itu naik? Saya menarik nafas kewaspadaan dan kesabaran. Saya berkata, mari saya ajarkan kamu satu sunnah Allah di muka bumi bagaimana Allah menjatuhkan dan menaikkan seseorang hambaNya.

Apabila Allah ingin menjatuhkan seorang yang zalim, maka dihantarnya orang mukmin atau orang jahat untuk memeranginya. Jika Allah menghantar orang jahat, maka ia akan memeranginya dengan cara yang jahat juga. Maka itulah seburuk-buruk kesudahan. Tidakkah anda melihat Saddam yang zalim itu dibunuh oleh Amerika yang lebih jahat daripadanya. Maka alangkah buruknya kesudahan ke atas rakyatnya!

Jika Allah menghantar orang yang baik, maka ia tidak akan memeranginya kecuali secara yang diizinkan syarak. Maka itulah sebaik-baik akibat. Tidakkah Mekah yang paling zalim ahlinya itu dibebaskan oleh hamba Allah yang paling baik, lalu alangkah baik akibatnya juga. Lihat juga Mesir, pemimpin yang baik-baik memimpin rakyat melakukan perubahan, lalu semakin baiklah Mesir dan rakyatnya.

Maka ketahuilah, di negara kita, jika kita menginginkan kelebihan dan kebaikan yang lebih baik untuk masa depan negara, bergeraklah sebagai orang baik dan hendaklah terpimpin oleh orang yang baik-baik. Ulama adalah orang yang terpercaya di sisi Allah. Mereka telah menasihati agar jangan mempercayai fitnah. Rakaman video yang begitu terdedah kepada pengaburan dan pemalsuan hanyalah akan mengundang fitnah lebih besar jika diterima. Maka jangan menghukum pemimpin dengan fitnah yang terlarang oleh syarak.

Maka, orang mukmin tidak boleh menyebarkan sekali pun rasa percaya. Jika ianya nyata palsu, kita selamat daripada dosa menyebarkan fitnah. Jika ianya benar pula, kita selamat daripada menyelak maksiat tertutup. Jika Allah murka, Dia buka aib dan dosa tersembunyi kita pula. Apa rasa jika kita pula diaibkan secara terbuka? Justeru jauhilah politik kotor yang mengundang bala tuhan.

(Artikel adalah untuk kolum ‘Agama Dan Kehidupan’ akhbar Siasah)

Umrah Tarbawi - sebuah catatan rasa

http://www.urdamtours.com/images/dest/umrah.jpg

i)

Pada pertengahan bulan Mac 2011 baru-baru ini, saya telah berlepas ke tanah suci Mekah dan telah selamat mengerjakan ibadah umrah bersama rombongan program Umrah Tarbawi anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat yang diketuai Ketua Pemudanya, Ustaz Nasrudin bin Hassan Tantawi. Seperti biasa, rombongan kami juga telah menziarahi masjid nabawi di tanah suci Madinah. Program selama dua minggu yang disertai oleh hampir enam puluh orang peserta itu telah mencapai matlamat dan kejayaan sebagaimana dirancangkan.

Ibadah sunat umrah adalah ibarat kembar kepada ibadah haji yang difardhukan ke atas setiap muslim. Ia samalah seperti kembarnya ibadat solat sunat kepada kefardhuan solat lima waktu atau ibadah bersedekah kepada kefardhuan ibadah zakat atau ibadah puasa sunat kepada kefardhuan puasa di bulan Ramadhan. Kesemuanya menambahkan kehangatan setiap muslim untuk melaksanakan ibadah rukun-rukun Islam yang lima itu dengan penuh adab dan khusyu’.

Seperti ibadah haji, ibadah umrah memestikan seorang muslim itu berangkat ke tanah suci menuju kaabah, rumah pertama yang dibina untuk ibadah kepada Allah. Dia mestilah berniat ihram dengan kaum lelaki hanya memakai kain putih tanpa jahitan, tidak melakukan beberapa pantang larang tertentu, tawaf di kaabah, saie di antara bukit Safa dan Marwah seterusnya menyudahkan ibadah unik itu dengan melakukan tahallul dengan menggunting atau mencukur rambutnya.

Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang melaksanakan ibadah umrah. Ia menghapuskan dosa-dosa lepas selain ia begitu kuat dan kudus untuk membersih dan membina kembali hati dan iman setiap muslim dengan semangat untuk mengubah diri kepada lebih baik sekembalinya ke tanah air.

Pensyariatan ibadah haji dan umrah adalah penuh dengan hikmah ketuhanan. Melalui ibadah ini, umat Islam akan dipancarkan secara langsung dengan sejarah umat tauhid yang memanjang daripada kisah penerokaan awal nabi Ibrahim ribuan tahun yang lalu serta isteri dan anak kecilnya alaihimussalam ke atas bumi Mekah. Perjuangan besar baginda menegakkan tauhid dan menolak ketuhanan berhala dan syirik yang telah banyak menyesatkan umat manusia sepanjang zaman akan membuka minda dan menambat hati setiap muslim untuk menginsafi dan mensyukuri kelebihan menjadi seorang muslim yang benar.

Samada di Mekah atau Madinah, iman setiap muslim menjadi bertambah hangat apabila melihat kesan sejarah peninggalan sirah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam yang menjadi rasul terakhir dari langit yang menyahut doa tertangguh ribuan tahun nabi Ibrahim agar zuriatnya diselamatkan Allah melalui perutusan seorang rasul agung yang akan menyinari alam dengan risalah tauhid dan iman. Seorang peserta umrah memberitahu saya, sepanjang berada di Masjidil Haram, beliau telah sempat menghabiskan buku sirah ‘Fiqhul Harakah’ karangan Tuan Guru Dato Haji Abdul Hadi Awang. Beliau menjelaskan betapa terkesannya dirinya apabila mampu merasa-rasakan kehadiran RasuluLlah melalui kisah-kisah sirah baginda yang dipaparkan melalui buku tersebut.

Di antara kelebihan lain yang paling dirasai oleh pengunjung BaitiLlah al Haram yang datang dari seluruh pelusuk dunia ialah suasana kesatuan umat Islam yang diikat kukuh oleh kesatuan tauhid dan kiblat. Penghayatan terhadap kelebihan ini sebenarnya mampu menjadi pemangkin yang paling berkesan untuk umat Islam melangkah lebih gagah di dalam membina kembali kekuatan mereka yang telah hilang dek kealpaan sendiri.

Begitulah seimbas hikmah pensyariatan ibadah haji dan umrah. Allah memaksa kita meninggalkan tanah air, keluarga dan kesibukan diri menjalani kehidupan duniawi untuk mengosongkan masa sepenuhnya berteleku di depan kaabah menghitung kembali kehidupan yang penuh cubaan dan cabaran yang mungkin menghijab kita daripada melihat kehidupan lebih baik yang telah dijanjikan Allah untuk umat terbaik ini.

ii)

Rombongan kami disebabkan kelewatan mendapatkan visa umrah telah terpaksa menukar jadual penerbangan dan terpaksa melalui Bangkok dan Kaherah sebelum masuk ke Jeddah. Ia agak memenatkan dan saya sendiri disapa demam dek kejutan udara sejuk walaupun hanya sepuluh jam berada di Kaherah.

Dunia arab sedang melalui tempo perubahan politik yang begitu tegang dan panas. Perubahan demi perubahan yang sedang mengasak hari ini melalui kebangkitan rakyat menentang pemerintah mereka nampaknya akan menjadi petanda ke arah kehidupan dan kemajuan tamadun arab dan Islam yang lebih baik. Sebelum ini, negara-negara arab dilihat begitu beku, lemah dan degil sehingga umat Islam seluruh dunia gagal memberikan keyakinan dan harapan kepada mereka untuk memimpin kebangkitan.

Semasa singgah di Mesir walaupun sekejap, sekilas mendengar perbualan rakyatnya daripada pekerja-pekerja di lapangan terbang Kaherah sehinggalah peniaga kedai kopi di tepi masjid Husain di sebelah universiti al Azhar, saya dapat mengagak betapa rakyat Mesir yang terkenal berani telah menjadi semakin berani dan yakin. Beban puluhan tahun ditutup mata dan telinga dan ditekup mulut nampaknya gagal menjadikan hamba pemerintahan kuku besi kebangsaan arab sebagaimana Firaun berjaya memperhambakan Bani Israel di dalam sejarah Mesir kuno melalui tekanan dan penindasan yang berterusan.

Saluran-saluran tv negara arab dan akhbarnya pula nampaknya berlumba-lumba untuk menjadi jaguh kepada perubahan yang berlaku. Mereka 24 jam melaporkan segala perkembangan politik terutamanya di Libya, Yaman, Bahrain dan terbaru di Syria. Malah, mereka seperti menjadi pendorong kuat kepada apa-apa saja perubahan tsunami politik yang sedang melanda dunia arab sekarang.

Negara Arab Saudi kelihatannya berjaya mengawal kemarahan rakyatnya daripada merebak walaupun berlaku perhimpunan kecil menuntut perubahan. Walaupun begitu, Raja Abdullah nampaknya berusaha keras meredakan penularan kebangkitan rakyat di dunia arab dengan melakukan beberapa pembaharuan ekonomi dan politik. Ia mungkin bersifat kosmetik, tetapi sepertilah di negara kita Malaysia, negara Arab Saudi yang lebih mengecapi keharmonian dan kestabilan ekonomi berbanding negara-negara arab lain mungkin selamat untuk tempoh tertentu daripada ancaman kebangkitan rakyat.

Perubahan didorong oleh tindak balas terhadap kezaliman yang melampau dan berterusan. Seperti kata hukama kita, pemerintahan itu boleh kekal bersama kekufuran, tetapi ia tidak mungkin kekal bersama kezaliman. Negara-negara barat yang kufur lebih menikmati kestabilan dalam politiknya kerana keadilan yang diusahakan mereka. Tetapi mereka juga akan rebah suatu hari nanti kerana pastinya tiada kezaliman yang lebih besar selain menolak ketuanan Allah di muka bumi ini. Kerana itu, kita umat Islam diutuskan untuk membawa keadilan sejati dan benar dan kita dijanjikan kemenangan yang sejati.