Friday, April 22, 2011

Bila Jiwa Kacau

http://www.iluvislam.com/v1/includes/jscripts/tiny_mce/plugins/imagemanager/library/solat.jpg

Hidup ini penuh suka dan duka, penuh dengan watak yang mewarnai laluan perjalanannya. Kita pasti selalu mengharap agar perjalanan yang kita lalui sentiasa ceria tanpa duka tanpa menyedari jika itu yang berlaku, kita sebenarnya bakal menjadi manusia yang tidak punya pengalaman dan penuh dengan kebosanan. Kita sering berharap supaya kita bahagia namun kita lupa kekecewaan dan kebahagian itu bukan terletak di luar diri. Ianya datang bersumber dari dalam diri kita sendiri. Kitalah yang sebenarnya memilih keadaan diri samada duduk dalam erti kebahagian sebenar ataupun sebaliknya. Hal ini jarang sekali kita peduli kerana bagi kita kebahagian itu sebenarnya datang dari keadaan luaran dan keadaan luaran adalah penentu utama kebahagian.

Jika kita seorang yang bahagia secara dalaman maka kita tidak akan peduli bagaimanakah keadaan luaran kita, biarpun buruk atau pun tidak. Kita melihat segala sesuatu dengan persepsi yang positif. Kita tidak merasakan sesuatu masalah itu sebagai bebanan tetapi melihatnya sebagai satu maklumbalas yang kita terima yang memerlukan pembetulan atau pencorakkan semula. Mereka yang bahagia secara dalaman sentiasa mempunyai tidur yang lena, sentiasa segar dan mempunyai semangat yang tinggi untuk hidup. Mereka pasti akan hidup penuh dengan kasih sayang. Kasih sayang ini bukan sahaja untuk sesama manusia tetapi ianya juga untuk makhluk keseluruhan. Itulah faktor yang ada pada generasi datuk dan nenek kita. Biarpun kelihatan kurang berharta tetapi mereka cukup bahagia. Keadaan ini jelas kelihatan dari tuturkata mereka dalam perbualan dan perlakuan mereka sesama makhluk. Justeru mereka gemar untuk memelihara binatang dan mereka hidup penuh dengan kesopanan, kelembutan dan kasih sayang.

Hari ini ramai diantara kita yang tidak bahagia secara dalaman. Mereka hidup penuh dengan kebencian dan paling memualkan adalah persepsi negatif yang mereka ada dalam melihat kehidupan. Mereka sentiasa mempunyai sangka buruk dan memikirkan kejadian yang buruk lebih dari melihat kebaikan sesuatu peristiwa. Mereka ini cukup meletihkan kerana mereka sentiasa mahu bahagia tetapi tidak pernah faham apa itu kebahagian. Mereka berpendapat kebahagian itu perlu datang dari luar. Orang bijak pernah berkata “ jika kamu tidak menjumpai kebahagaian dalam diri kamu … janganlah kamu mencarinya di luar kerana pasti tidak akan bertemu.” Bagi orang sebegini saya mengkategorikannya sebagai mereka yang berada dalam jiwa yang kacau. Jiwa kacau ini menyebabkan mereka suka benar membuat tanggapan tanpa diminta dan lebih buruk pula, tanggapan itu hampir semuanya negatif. Mereka akan lebih melihat keburukan dan hampir tiada kebaikan. Merekalah penyebab hilangnya kebahagian. Kebahagian datang dari dalam diri sendiri dan jika diri mereka penuh dengan kebencian dan negativiti maka secara hukum alam mana mungkin mereka akan bahagia.

Mereka sering berkata yang jika sesuatu keadaan berlaku barulah mereka akan bahagia atau jika mereka pergi ke satu-satu tempat barulah mereka akan bahagia. Sebenarnya ke mana sahaja mereka pergi, biar apa keadaan sekalipun mereka tidak akan bahagia dan mereka akan melihat keadaan yang mereka katakan itu kelak sebagai keadaan negatif. Ada satu perkara yang mungkin perlu untuk kita lihat dengan penuh perhatian iaitu sangka buruk mereka itu dapat membuatkan suasan harmoni menjadi negatif. Mereka lupa bahawa sangka buruk mereka itu adalah satu doa yang mungkin boleh terjadi satu hari nanti. Bukankah lebih baik jika mereka melihat sesuatu itu secara positif kerana sangka baik itu juga merupakan satu doa. Jika buruk sangkaannya maka dia akan selalu memikirkan yang buruk dan akhirnya mereka melepaskan emosi mereka kepada mereka yang positif. Mereka mungkin tidak tahu atau tidak perasan yang perbuatan mereka itu menyebabkan kebahagian yang dibina bakal luntur akibat energi negatif yang disalurkan. Mereka menyebabkan tekanan luar biasa bukan sahaja kepada diri mereka tetapi kepada orang yang berada disekeliling mereka. Akhirnya mereka akan kehilangan teman dan taulan dan itu lebih membuat mereka lebih negatif. Mereka mula mendendami keadaan itu namun tidak pula mengakuinya melainkan meletakan kesalahan itu pada orang sekeliling.

Jiwa kacau satu penyakit yang perlu diubati dan untuk mengubatinya secara efektif, mereka yang mengalaminya perlu secara sukarela untuk berubah. Langkah pertama, mereka perlu membersihkan diri dari segala sangka buruk. Mereka perlu tahu sangka buruk itu dilarang baginda saw. Keduanya, mereka perlu membuang segala peristiwa negatif yang tersemat dalam memori mereka. Seterusnya mereka perlu bergaul dengan mereka yang positif untuk jangkamasa sekurang-kurangnya enam bulan. Mereka boleh menyertai persatuan atau membuat kebajikan secara berterusan. Ingatlah jiwa yang kacau bukan sahaja membunuh jiwa mereka tetapi bakal menyebabkan mereka kehilangan orang yang kononnya mereka cintai dan sayangi. Hiduplah dalam persepsi positif dan berkasih sayang dengan Allah swt menyebabkan kita lebih positif dan tenang kerana Allah swt tahu segalanya dan serahkan kehidupan kita kepada Allah swt dan bukan kepada serakah jiwa. Wallahu a’lam


Rujukan:

Asas Spiritual NLP

No comments: