Sunday, May 22, 2011

Konsep & Prinsip Rawatan Islam

http://darunnuraniyyah.files.wordpress.com/2011/05/jenis-perubatan.jpg?w=300


JENIS PERUBATAN

Definisi Perubatan Islam

Perubatan Islam merujuk kepada perubatan yang berasaskan kepada 3 sumber utama iaitu :

a) Al-Quran

b) As-Sunnah

c) Bahan alami

Bahan alami merujuk kepada segala bahan yang letaknya di antara langit dan bumi. Bahan adalah bahan sumber alam yang merangkumi tumbuh-tumbuhan, haiwan dan batu-batan.

Perbomohan adalah perubatan yang menggunakan perantaraan jin untuk mencapai hajat dan tidak berlandaskan hukum syarak.

Pentakrifan konsep perubatan Islam ini merujuk kepada sirah Rasulullah s.a.w dan sumber-sumber rujukan daripada Al-Quran & hadis Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w bersabda :

“Ke atas kamu dua penawar, madu lebah dan Al-Quran” (Riwayat Ibn Majah, Ibn. Mas’ud)

Ibn Qayyim al-Jauziyah di dalam kitabnya “al-Tib al-Nabawi” ketika mengulas hadis ini menyatakan bahawa ia menggabungkan di antara perubatan Illahi dan perubatan manusia, di antara perubatan jasmani dan perubatan rohani, di antara penawar bumi dan penawar langit.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, Rasulullah s.a.w bersabda :

“Sebaik-baik ubat itu adalah Al-Quran”

Allah s.w.t berfirman :

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadaNya” (Surah al-Isra’ : 82)

Perubatan Islam Medium Dakwah

Paradigma umum masyarakat tentang perubatan Islam lebih menjurus kepada rawatan berhubung gangguan makhluk halus berkaitan jin dan syaitan. Namun hakikatnya, perubatan Islam membawa suatu perspektif yang lebih luas lagi, bukan sekadar mencakupi pemahaman di atas. Tujuan utama perubatan Islam adalah atas dasar dakwah. Usaha dakwah yang ditunjangi oleh perubatan Islam ini cukup unik, kerana ia melibatkan dakwah terhadap dua alam, iaitu alam nyata dan alam ghaib.

Dakwah Di Alam Nyata

Dakwah di alam nyata melibatkan hubungan sesama manusia (hablum minannas). Melalui perubatan Islam akan terbina hubungan di antara perawat dan juga pesakit serta waris pesakit. Ini sebenarnya suatu agenda yang cukup besar yang jarang dipergunakan oleh para perawat kerana pertemuan yang dirancang oleh Allah s.w.t merupakan suatu penyatuan ukhuwwah sesama insan. Ukhuwwah inilah yang menjadi titik tolak kepada berkembangnya usaha dakwah sesama ummah. Dasar sebegini yang akan mengukuhkan hubungan manusia dengan Allah s.w.t (hablum minallah).

Setiap pesakit atau waris pesakit datang dengan pelbagai hajat serta membawa bersama sejuta harapan. Pesakit yang datang dengan perbezaan taraf ketaqwaan, pelbagai tahap latar belakang kehidupan. Maka ruang inilah yang seharusnya digunakan sebagai usaha dakwah kepada pesakit, dan pengukuhan diri perawat.

Dakwah kepada pesakit

  • Kefahaman konsep musibah dan ujian Allah s.w.t
  • Kefahaman berkenaan falsafah rawatan Islam

Pengukuhan kepada perawat

  • Mendalami dan memperkukuh pengalaman merawat
  • Muhasabah berkenaan musibah yang dihadapi pesakit
  • Mempertingkat ilmu perubatan Islam

Allah s.w.t menegaskan hal ini melalui firman-Nya :

“Wajiblah ada di antara kamu satu umat (golongan) yang menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh berbuat baik dan melarang berbuat yang jahat. Maka itulah orang yang berjaya (bahagia).” (Surah al-Imran : 104)

Di dalam firman-Nya yang lain Allah s.w.t menegaskan :

“Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya.” (Surah at-Taubah : 71)

Namun begitu, penulis agak kesal dan terkilan dengan senario yang berlaku pada hari ini. Ramai di kalangan perawat yang memandang remeh akan hal ini, mereka sekadar merawat dan tidak menyediakan ruang bagi membina hubungan dengan pesakit. Malah lebih teruk lagi apabila di kalangan perawat ini hanya mementingkan kuantiti pesakit sehinggakan adakalanya beratus-ratus orang dirawat dalam masa beberapa jam sahaja! Situasi ini tidak menepati falsafah perubatan Islam yang sebenarnya.

Konsep membina hubungan yang penulis maksudkan adalah perawat perlu memberi ruang kepada pesakit dan warisnya untuk meluahkan masalah yang dihadapi agar perawat dapat menjiwai masalah pesakit di samping membolehkan perawat membuat diagnosis simptom-simptom gangguan dan permasalahan pada pesakit.

Peranan perawat adalah membantu pesakit menyingkap hikmah yang tersirat di sebalik masalah yang tersurat agar ia dapat merasai kemanisan di sebalik ujian Allah s.w.t.

Dakwah Terhadap Jin

Suatu keistimewaan yang wujud menerusi medium perubatan Islam adalah adanya ruang bagi mentarbiah jin yang mengganggu manusia dan membuat kerosakan di bumi Allah ini. Usaha dakwah kepada golongan jin yang kufur kepada Allah, melakukan pelbagai bentuk kezaliman dan kemungkaran agar menyesali perbuatannya dan menuruti jalan yang diredhai Allah merupakan suatu usaha murni. Di antara manfaat besar melalui usaha ini adalah dengan mengIslamkan golongan jin ini.

“Barangsiapa yang mengIslamkan puak yang kafir pahalanya umpama langit dan bumi.”

Inilah ganjaran yang cukup besar yang kadangkala sukar diperolehi dalam mengIslami sesama manusia, namun berbeza dalam mentarbiah golongan jin.

Hikmah Membantu Di Sebalik Rawatan Islam

Orang yang sanggup membantu orang lain yang mengahadapi kesusahan, akan diberikan ganjaran pahala yang besar di akhirat kelak, dan diberi kemuliaan di dunia ini. Ini adalah berdasarkan sabda Rasulullullah s.a.w :

“Sesiapa yang menyejukkan mata seorang mukmin (menghilangkan kesusahannya), nescaya Allah akan menyejukkan matanya di Hari Kiamat.”

Sabda baginda lagi :

“Sesiapa yang melapangkan diri seorang mukmin yang sedang dalam kesusahan, atau menolong seorang mukmin yang teraniaya, nescaya ia akan diampunkan dosanya.”

“Sebaik-baik manusia ialah yang lebih bermanfaat kepada manusia lain” (Hadis riwayat Thabrani)

“Seseorang Muslim itu menjadi saudara Muslim lainnya, kerana itu tidak diperbolehkan seorang Muslim menganiaya akan saudaranya, juga tidak boleh seorang Muslim menghina saudara Muslim yang lainnya. Dan sesiapa yang memberikan pertolongan (memenuhi hajat keperluan saudaranya), maka Allah pun memenuhi dan menyelesaikan segala keperluan hajatnya. Dan sesiapa yang memberi kemudahan/memberikan kelapangan bagi kesusahan seseorang Muslim, nescaya Allah melapangkan kesusahannya pada hari kiamat” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Allah s.w.t menyeru agar sentiasa bantu-membantu dalam perkara kebaikan sebagaimana dimaktubkan dalam firman-Nya :

“Dan tolong-menolonglah kamu atas kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong-menolong atas dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah : 2)

Setiap perbuatan manusia di dunia ini akan dinilai oleh Allah s.w.t. Malah Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah sekalipun sebagaimana firman-Nya :

“Sesiapa yang membuat kebaikan walau seberat zarah, nescaya Allah akan melihatnya, dan sesiapa yang membuat kejahatan walau sebesar zarah, nescaya Allah akan melihatnya juga” (Surah al-Zalzalah : 7 -8)

Sebagai umat yang terbaik sebagaimana yang diiktiraf oleh Allah s.w.t, konsep bantu-membantu dalam Perubatan Islam akan melahirkan insan yang bertaqwa, beraspirasi, berakhlak mulia serta mampu mencapai kesempurnaan hidup secara amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi mungkar (mencegah melakukan kejahatan). Allah merakamkan perihal ini melalui firman-Nya dalam Surah al-Imran ayat 110 :

“Kamu sekalian (umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk kepentingan manusia, kamu menyuruh melakukan kebaikan dan melarang berbuat kejahatan”

Membantu seseorang yang dalam kesusahan, kesulitan, kerunsingan dan kesakitan adalah suatu kewajipan. Rasulullah s.a.w bersabda :

“Tolong saudaramu baik yang dianiaya orang mahupun yang menganiaya” Sahabat bertanya: “Bagaimana cara kami menolong orang yang menganiaya?” Maka jawab Nabi:”Engkau cegah dia melakukan penganiayaan. Dan dengan demikian engkau sudah menolong orang yang menganiaya daripada terjerumus ke dalam dosanya”

(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

Perawat perlulah menggunakan pendekatan berhikmah dalam melaksanakan dakwah menerusi Perubatan Islam sebagaimana firman Allah :

“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik” (Surah an-Nahl : 125)

Prinsip-prinsip Asas Dalam Rawatan Islam

1) Kaedah rawatan tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

2) Tidak boleh menetapkan sebarang bentuk bayaran tertentu terhadap ikhtiar pengubatan yang dilakukan. Justeru aspek keikhlasan perawat dan keikhlasan pesakit perlu ditampilkan. Kombinasi ini merupakan antara elemen yang membantu dalam pemulihan pesakit. Sekiranya melibatkan barangan, pesakit tidak boleh dipaksa untuk membeli barangan yang ditawarkan dengan pakej tertentu bagi tujuan merawat penyakitnya. Terpulang kepada pesakit untuk membuat keputusan.

3) Perawat tidak boleh meninggalkan kerja-kerja asasi yang lain termasuklah tanggungjawab kepada masyarakat dan keluarga.

4) Perawat tidak boleh mengajukan tawaran bagi mengubati pesakit.

5) Kaedah dan prosedur rawatan tidak menimbulkan fitnah. Contohnya, perawat tidak boleh memukul pesakit sehingga memudaratkannya.

No comments: