INSIDEN 1 :
Saya sering ditanya, “mengapa orang yang solat masih melakukan kejahatan? ” Saya jawab, “kerana solatnya tidak berkesan.”
Kemudian saya ditanya lagi, “mana lebih baik solat yang tidak berkesan atau tidak solat langsung?” Saya menjawab, “soalan itu tidak tepat.” ”Apa yang tepat?” tanyanya semula.
“Yang tepat ialah mana yang lebih buruk, solat yang tidak berkesan atau tidak solat langsung.” Langsung tidak solat adalah lebih buruk daripada solat tidak berkesan. Sekurang-kurang dengan mula solat, kita telah menemp[uh satu jalan untuk menyempurnakannya.
INSIDEN 2:
Ada yang bertanya, “mengapa ada orang yang mudah percaya cerita-cerita yang ghaib di luar logik fikiran yang rasional.”
Jawab saya, “orang percaya kepada pembawa cerita, bukan kepada ceritanya.”
“Boleh percayakah kepada pembawa cerita?” tanyanya lagi.
“Lihat peribadinya. Jika berita yang dibertahu oleh orang yang memang terkenal kejujurannya.”
“Seperti Rasulullah saw?”
Saya menggangguk.
“Kalau orang lain?”
“Lihat nas Quran dan hadisnya.”
“Tapi kalau kita tidak ada ilmu tentang nas dan hadis bagaimana? Nak terima atau tidak cerita ghaib itu?”
“Itu bukan soalannya.”
“Soalan apa?”
“Kita mesti dan wajib belajar tentang Al Quran dan hadis, bukan berfikir tentang terima atau tidak cerita ghaib itu.”
“Mengapa?”
“Kenal kebenaran dulu, barulah kita boleh mengenal siapa yang cakap benar! Obsesslah pada ilmu, bukan pada obsess pada peribadi! “
INSIDEN 3:
“Bagaimana cara tercepat untuk jadi baik?”
“Tidak ada jalan pintas. Bukan senang nak senang.”
“Susah sangatkah nak jadi baik?”
“Susah nak jadi baik. Tetapi lebih senang daripada nak jadi jahat.”
“Macam mana?”
“Perlu lawan hawa nafsu!”
“Susah lawan nafsu. Kena lawan diri sendiri.”
” Ya begitulah. Membina mengambil masa, meruntuh sekelipa mata.”
“Maksudnya?”
“Jadi baik, perlu mujhadah. Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis!”
Ya, begitulah saudara-saudari tiga insiden yang saya paparkan. Sebagai pencerahan mari kita lihat tiga kisah pendek sebagai percerahan kepada persoalan yang saya kemukakan itu. Semoga Allah berkati penulisan dan pembacaan kita… Amin.
1. RITUAL TANPA SPIRITUAL
Seorang ketua sami tinggal di dalam sebuah kuil besar dengan seekor kucing kesayangannya. Kedua-duanya sangat akrab. Ke mana sahaja ketua sami pergi, sikucing akan ikut bersama. Keadaan ini menimbulkan masalah pada ketua sami, terutamanya apabila dia hendak menyembah berhala besar di tengah-tengah kuil tersebut. Konsentrasi ketua sami terganggu apabila kucing kesayangannya itu mengelus-ngeluskan badan dan kepala ke badan dan tangannya.
Setelah berfikir untuk mencari jalan penyelesaian kepada gangguan itu, akhirnya ketua sami mendapat satu ikhtiar. Setiap kali ketua sami ingin melakukan penyembahan di tengah kuil, ia terlebih dahulu mengikat sikucing di sebuah tiang di tepi kuil tersebut. Kucing itupun tidak dapat mengganggu lagi, dan ketua sami dapat menumpukan seluruh perhatiannya kepada upacara penyembahan itu.
Begitulah hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan… Setiap kali hendak melakukan upacara penyembahan, ketua sami akan mengikat kucing kesayangannya di tiang yang sama. Perlakuan ketua sami itu selalu diperhatikan oleh pengikut-pengikutnya. Itu sudah menjadi rutin harian yang mereka lihat berulang-ulang kali. Setiap kali ketua mereka hendak menyembah berhala besar, kucingnya akan ditambat di tiang sebelah kuil tersebut.
Beberapa tahun pun berlalu… ketua sami tiba-tiba jatuh sakit dan tidak lama kemudian dia terus meninggal dunia. Ketua sami yang barupun dilantik untuk mengepalai upacara penyembahan berhala besar secara tradisi. Begitupun, setiap kali ketua sami yang baru hendak menyembah berhala yang besar di tengah kuil, beliau akan mengikat kucing kesayangan ketua sami yang lama pada tiang di sebelah kuil seperti kebiasaannya. Begitulah berlaku berulang kali, beberapa lama.
Tidak berapa lama, kucing kesayangan ketua sami lama itupun mati. Ironinya, ketua sami yang baru segera mencari kucing baru sebagai pengganti kucing lama untuk diikat pada tiang pada setiap kali ia hendak menyembah berhala. Begitulah rutin itu silih berganti, bertahun-tahun. Kucing baru dan ketua sami baru datang dan pergi silih berganti. Dan berpuluh-puluh tahun kemudian terciptalah satu ritual dalam agama tersebut bahawa jika ketua sami mereka hendak menyembah berhala mestilah dicari terlebih dahulu seekor kucing untuk ditambatkan pada tiang kuil di sebelah kuil tersebut!
Pengajaran:
Sering berlaku di dalam ajaran mana-mana agama (termasuk Islam), amalan-amalan ritual yang sarat dengan nilai-nilai spiritual telah terlindung oleh sikap ‘taklid’ secara membuta-tuli. Penganut agama yang di belakang hari, kerap mengikut secara Pak Turut tanpa mengerti sebab dan tujuan sesuatu amalan itu dilaksanakan. Tanpa disedari agama bertukar menjadi budaya dan syariat dianggap adat. Suatu amalan dibuat tanpa penghayatan dan pengertian lagi. Al hasil, ia tidak merubah perlakuan daripada buruk kepada baik.
2. OBSESI DIRI
Seorang guru berkata kepada beberapa murid kanannya, “aku ingin melihat sejauhmana masyarakat percayakan aku.”
”Bagaimana caranya tuan guru?,” tanya anak-anak muridnya itu.
”Kau sebarkan berita yang aku telah berkata bahawa akan muncul seekor binatang besar di hujung kampung kita pada hujung minggu ini!”
Tanpa banyak soal, anak-anak murid tersebut pun ke luar ke seluruh pelusuk kampung menyebarkan berita yang mengatakan tok guru mereka meramalkan akan keluar binatang besar dari hujung kampung tersebut.
”Sebesar mana?” tanya orang kampung.
“10 kali ganda seekor gajah,” jawab salah seorang anak murid itu.
“Setinggi mana?”
“Setinggi bukit,” kata anak murid yang lain menambah-nambah.
“Matanya bersinar merah. Nafasnya berapi-api.”
Yang sejengkal jadi sehasta, yang sehasta menjadi sedepa. Dari mulut ke mulut berita tentang akan munculnya binatang besar itu menjadi tambah sensasi. Ada sahaja ‘edisi’ tambahan yang bukan sahaja datang daripada anak murid tok guru tetapi juga daripada orang kampung sendiri.
Hampir tiba hujung minggu yang dimaksudkan, seluruh penduduk kampung pun keluar beramai-ramai untuk menanti kemunculan binatang besar yang diramalkan. Masing-masing dengan persediaannya. Begitu meriah sekali. Mereka berarak ke hujung kampung beramai-ramai. Bersorak dan melonjak-lonjak, seakan berpesta.
“Tuan guru, mengapa tuan ikut serta dalam perarakan ini?” tanya seorang anak murid apabila melihat gurunya turut serta dalam perarakan orang kampung.
“Kenapa, tak boleh?”
“Eh, bukankkah tuan guru hanya mengada-ngadakan berita tentang kemunculan binatang besar ini?” balas anak muridnya seakan berbisik. Takut kedengaran pada orang lain.
“Ya, begitulah pada mulanya. Tetapi apabila ramai orang mula mepercayainya dan bersedia… terfikir pula olehku, manalah tahu berita ini benar-benar akan terjadi?” Murid-murid rapatnya kehairanan… Mereka benar-benar takjub, apakah berita tipu yang dicanangkan oleh tok guru itu turut menipu tok guru itu sendiri? Pelik!
Pengajaran:
Takjub pada diri sendiri menyebabkan ramai orang buta pada kebenaran. Sentiasa ada justifikasi yang datang dari dalam diri sendiri untuk mentafsirkan sesuatu mengikut apa yang diingini terjadi dengan menafikan realiti. Sudah hitam, masih dikatakan putih. Hanya kerana ego dan obsesi diri. Bukan berfikiran positif, tidak juga oleh kekuatan jiwa… cuma melampiaskan mimpi di persada ilusi.
3. MENCARI SENANG DI DALAM SENANG
Diceritakan satu malam, Ibrahim Adham, seorang raja sedang beristirehat di atas tilam empuk dalam istananya. Baginda bersenang-senang sementara menunggu melelapkan mata. Tiba-tiba terdengar seseorang sedang bergerak-gerak di atas syiling istananya. Makin lama, makin kuat kedengarannya.
”Siapa di atas tu?” bentak Ibrahim Adham.
“Saya, pengembala kambing…”
Kedengaran satu suara menjawabnya dengan jelas.
”Apa yang kau buat di atas atap istanaku?”
“Aku mencari kambingku yang hilang,” jawab suara yang tidak kelihatan itu lagi.
“Cis, pelik sungguh. Masuk akalkah kau mencari kambing yang hilnag di atas atap?”
“Begitulah wahai Ibrahim… adalah pelik kalau kau inginkan keredhaan Allah hanya dengan bersenang-senang di atas tilammu yang empuk itu. Itu samalah dengan mencari kambing yang hilang di atas atap!”
Diberitakan, selepas insiden itu Raja Ibrahim Adham tersedar daripada kelalaiannya. Suara itu menyentak kelalaiannya dalam buaian nikmat tanpa memikirkan kesusahan rakyat. Tidak lama selepas itu, baginda menyerahkan takhta kerajaannya kepada orang kepercayaannya manakala baginda sendiri mula mengembara mencari ilmu dan bermujahadah sebagai seorang sufi. Bertahun-tahun berjuang mendidik diri, derjat ketaqwaan meningkat hingga terkenallah baginda seorang seorang waliullah yang tersohor.
Pengajaran:
Tidak ada jalan mudah untuk mendapat kebahagiaan dan kejayaan abadi. Sesungguhnya, syurga sentiasa dipagari oleh kesusahan manakala neraka sentiasa dihiasi oleh kesenangan. Iman dan ujian, sentiasa lazim berlaziman. Tidak ada ganjaran tanpa ada kesusahan. Sebaiknya, hadapilah kesusahan yang sementara di dunia demi kesenangan yang abadi di syurga.
No comments:
Post a Comment