Assalamualaikum.

Melihat pada tajuk ini, pasti membuahkan tanda tanya pada diri anda, bukan? 7 Syarat? Syarat apakah itu? Kenapa tujuh? Pentingkah?

Artikel ini melunaskan janji saya pada artikel yang diterbitkan beberapa mingu (bulan?) lepas, iaitu artikel ini : Zina Hati? Tangan? Kaki? Mulut? Mata?. Dalam artikel tersebut, saya ada menyatakan ingin mengulas mengenai sekurang-kurangnya tujuh batasan antara lelaki dan perempuan.

Terdapat sekurang-kurangnya tujuh panduan/larangan dari Quran dan Sunnah mengenai perhubungan lelaki perempuan, iaitu

- Tidak mendedahkan aurat (QS Nur 31)
- Menundukkan pandangan (QS Nur 30-31)
- Berurusan hanya sekadar keperluan (QS Al-Ahzaab 53)
- Tidak melunakkan suara bagi wanita (QS Al-Ahzaab 32)
- Tidak bertabarruj/bersolek untuk menarik perhatian
- Tidak boleh berdua-duaan tanpa mahram (Hadis)
- Tidak boleh bersentuhan (Hadis)

Perkara-perkara di atas adalah wajib dipatuhi, sama ada oleh pasangan bercinta mahupun muamalah biasa antara lelaki dan wanita. InshaAllah, saya akan cuba kupas dalam artikel yang akan datang.

Menilai Tujuan Ta’abudiyyah dan Hikmah

Sebelum saya mengorak lebih lanjut mengulas secara teknikal, ingin saya sentuh terlebih dahulu mengenai tujuan syariat. Yelah, kadang-kadang kita manusia ini, kena tahu sebab (reason) terlebih dahulu untuk membuat sesuatu. Tidaklah menjadi kesalahan, malah sikap ini juga sebenarnya penting bagi mengelakkan kita mempercayai sesuatu secara membuta tuli.

Adapun dalam melibatkan perkara syariat, iaitu rules dan guideline yang Allah berikan, ulama’ mengkategorikan sesuatu syariat itu kepada dua, iaitu dipanggil “ta’abbudiyyah” dan “hikmah”. Ta’abbudiyyah ini bermaksud syariat yang kita perlu ikut secara total, tanpa keharusan mencari hikmah dan logik di sebaliknya.

Contoh syariat ta’abudiyyah adalah apa-apa sahaja yang kita tak dapat jelaskan dari akal logik, yang kita tidak dapat menjustifikasikannya atau merasionalkannya dengan kepala kita. Persoalan-persoalan yang dianggap taboo seperti “kenapa solat kena sujud?”, “kenapa kena lontar jamrah?” “kenapa kena tutup aurat?” dan sebagainya mungkin timbul akibat mengorientasikan bahawa semua syariat mestilah sesuai dengan logik akal, sedangkan dalam syariat ta’abudiyyah, kita tak boleh menunggu adanya logik baru nak menjalankannya. Ini bersesuaian dengan ungkapan Saidina Ali kwj yang mengulas mengenai persoalan khuf:

Ali R.A. yang telah berkata: “Jikalaulah urusan agama hanya berdasarkan akal semata-mata, nescaya tapak kaki khuf lebih utama untuk disapu daripada atasnya.” (H.R. Abu Daud, hadis no. 162).

Tak semua ibadah kita boleh menjustifikasikannya dengan logik akal. Di sinilah terletaknya ujian keimanan kita, iaitu sama ada untuk “sami’na wa ata’na” (kami dengar dan kami taat) atau mungkin kita nak persoalkan terlebih dahulu syariat tersebut? Nauzubillah.

Apabila kita menganggap sesuatu syariat itu sebagai ta’abudiyyah, iaitu terus kita mematuhinya tanpa perlu menunggu “logic reason”, maka itulah kemuncak ikhlas dalam beribadah. Ikhlas itu bukannya “menunggu hidayah”, “tunggu dah tua sikit” dsb. Sebaliknya ikhlas itu bermaksud “ta’abud (patuh) kepadaNya.” Sebagaimana seorang askar menerima arahan kaptennya tanpa soal, atau seorang bibik menerima arahan dari majikannya, atau seorang anak menerima arahan daripada ibubapanya. Malahan, ia lebih dari itu, kerana kita HAMBA menerima arahan dari TUHAN, dan jika kita dapat melakukannya tanpa perlu fikir “sebab apa”, maka itulah IKHLAS. (Rujuk penulisan di sini, “Korban dan Ikhlas”)

Atas sebab itu, saya sering memperingatkan mengenai ta’abudiyyah ini kerana seolah-olah telah menjadi trend zaman sekarang, masyarakat cuba menjadikan ibadah tidak lagi berdasarkan ta’abudiyyah, sebaliknya mengwujudkan/mengadakan “sebab” untuk kita mematuhi ibadah tersebut, selain dari lillahitaala. Contohnya, penemuan-penemuan yang saya kira pseudo-sains, seperti “Berpuasa untuk menyihatkan badan”, “Solat berjemaah menyeimbangkan cas badan” dan sebagainya. Aspek-aspek sebegini, jika diulas dengan berhati-hati, boleh dikira sebagai mencari Hikmah dalam syariat, namun dalam ketaksuban mengikat logik akal dengan syariat, dirisaukan pemikiran sebegini boleh melarikan konsep ta’abudiyyah itu sendiri dalam melaksanakan syariat. (Rujuk penulisan di sini, “Monolog I”)

Hikmah?

Aspek kedua mengenai syariat, ialah aspek Hikmah. Hikmah, adalah terbit dari suatu perlaksanaan/perbuatan, bukannya menjadi asbab @ reason kepada perbuatan tersebut. Itu prinsip utama yang perlu difahami dan dibezakan. Jika “sebab”, maka ia menjadi sandaran ke atas perlaksanaan sesuatu ibadah. Tanpa “sebab”, ibadah itu gugur. Kerana itu “sebab” mestilah kerana Allah (Lillahitaala = lambang ta’abudiyyah) menurut syariat yang Allah gariskan. Manakala hikmah pula, bukan sandaran ibadah. Tanpa “hikmah”, ibadah masih lagi tidak gugur.

Jika ta’abudiyyah tadi meliputi aspek syariatullah, kepatuhan kita terhadap suruhan Allah, maka hikmah ini, meliputi aspek sunnatullah. Ia (Hikmah) adalah apa yang kita dapat fikirkan, sama ada melalui logik akal, melalui kajian, melalui pengalaman dan sebagainya. Ianya tidak terhad semata-mata khusus kepada kita orang Muslim, sebaliknya hikmah itu boleh didapati oleh sesiapa sahaja pun. Sains adalah hikmah (orang yang berpuasa, terbukti lebih sihat). Pemerhatian adalah hikmah. (Orang yang bersolat jemaah, lebih menyayangi kariah/jiran tetangganya). Semua itu adalah “benefit” yang boleh terbit dari perlaksanaan sesuatu syariat.

Saya teringat satu ungkapan dalam artikel Ustaz Hasrizal, mungkin tidak sama dengan apa yang kita bincangkan namun mungkin ia boleh mencerahkan kefahaman:

“Usrah bukan untuk berukhuwwah, tetapi salah satu manfaat usrah adalah terjalinnya ukhuwwah”

Perlaksanaan “usrah” itu adalah bersifat taabudiyyah, manakala ukhuwwah yang terjalin darinya, itulah hikmah. Tidak semestinya kena ada “nak tingkatkan ukhuwwah” baru kita nak berusrah. Tak semestinya bila ukhuwwah dan mantap, maka usrah boleh ditinggalkan. Begitulah contoh yang saya kira sesuai untuk memudahkan kefahaman kita berkenaan bab ini.

Kita diharuskan mencari hikmah di sebalik syariat-syariat yang Allah gariskan ini, kerana tentunya syariat yang selari dengan logik akal dan pemikiran kita pasti menambahkan ketaatan dan ketenangan dalam melaksanakan ibadah tersebut. Namun begitu, haruslah kita ingat bahawa bermacam-macam jenis hikmah kita boleh fikirkan tetapi hakikatnya hanya Allah yang mengetahui apa hikmah sebenar disetiap ketetapan syariatNya.

Kita boleh kata – faedah berpuasa, faedah solat, faedah haji dan sebagainya, namun hendaklah kita pulangkan segalanya kepada Allah yang Maha Mengetahui, lazimnya ditandakan dengan kalimah “Wallahua’lam”. Hindarilah dari berperasaan taksub dan terlalu berorientasikan kepada hikmah, kerana dirisaukan kita mungkin terabaikan “taabudiyyah” tadi.

Ta’abudiyyah dan Hikmah dalam Syariat Pergaulan

Sengaja saya sentuh dengan agak panjang lebar mengenai dua aspek di atas terlebih dahulu, sebelum memasuki topik utama artikel ini. Ini kerana, pemikiran yang jernih perlu diwujudkan terlebih dahulu.

Soal pergaulan adalah antara persoalan yang sering mendapat resistance/tentangan daripada umum. Ini kerana kefahaman terhadap syariat, terutamanya mengenai taabudiyyah dan hikmah itu belum jernih. Pandangan yang tidak jelas ini lah yang menjadi cabaran dalam melaksanakan syariat ini, kerana memang lazimnya fitrah manusia adalah menentang/menjauhi sesuatu yang tidak difahami/jelas.

Akibat dari mengabaikan ta’abudiyyah, kita sendiri boleh menjumpai ramai yang memberi alasan – “Ala, dengan kawan-kawan sendiri sahaja”. “Bukan sembang benda 18SX pun” dsb. Ini kerana apabila sesuatu syariat itu dijustifikasikan hanya dengan logik akal (hikmah) tanpa ditimbangkan dari sudut ta’abudiyyah, ianya boleh membawa padah apabila logik akal itu sendiri berpaling dari hakikat syariat tersebut.

Dalam perlaksanaan syariat, sering disebut-sebut “setiap amalan bergantung kepada niat” untuk menjustifikasikan perbuatan masing-masing. Niat yang baik atau sekurang-kurangnya tidak salah, dijadikan “penghalal” untuk menilai perbuatan yang dilakukan, atau mungkin untuk menghilangkan rasa berdosa/bersalah. Sedangkan, niat itu baru meliputi aspek akidah, masih terdapat aspek syariat dan akhlak yang perlu dipertimbangkan dalam menilai setiap perbuatan kita. Niat yang baik namun syariat yang tidak selari, turut bertentangan dengan apa yang diajar dalam Islam dan mengundang murka Allah.

Atas sebab itulah, dalam melaksanakan syariat berkenaan pergaulan ini, haruslah kita faham bahawa perlaksanaan syariat ini pertama-tama sekalinya adalah kerana ta’abudiyyah. Untuk melahirkan IKHLAS dalam hati kita.

Manakala hikmah di sebaliknya, seperti dapat menghindarkan zina, dapat menjaga hati, dapat ketenangan, menghindarkan fitnah dan sebagainya itu, kita pulangkan kepada Allah. Sungguh jika itu benefit yang Allah berikan kepada kita dalam melaksanakan syariat tersebut secara ta’abudiyyah, maka kita bersyukur kepada Allah. Dan jika setelah/sedang melaksanakan pun kita tidak mendapati hikmah tersebut, maka kita tetap masih melaksanakan syariat itu, serta bersabar. Bak ungkapan dalam AAC, IKHLAS dan SABAR, itulah Islam.

7 Syarat

Alhamdulillah, sekarang baru saya rasa tenang untuk menjelaskan mengenai 7 syarat pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. 7 Syarat ini dikupas oleh saya, ketika dalam perbincangan di ILuvIslam. Fokus awalnya, mudah tapi agak kontroversial – Bagaimana Ber”Kapel” Dalam Islam. Ya, secara tak langsung, 7 syarat inilah menjadi syarat asas bercinta dalam Islam. 7 syarat inilah mekanisma yang Allah gariskan di bawah skop “menjauhi zina”. Kerana pelanggaran kepada 7 syarat ini boleh membawa kedua-dua lelaki dan perempuan tersebut kepada mukadimah zina. Saya tak kata mesti, tapi saya kata “boleh”.

Kenapa tujuh? Tujuh syarat ini, adalah yang dapat saya fikirkan berdasarkan pengetahuan saya lah. Sebab itu saya sebutkan, “sekurang-kurangnya tujuh”. Dan tujuh yang ini adalah spesifik bab pergaulan lelaki-perempuan, berdasarkan alquran dan hadis.

Saya ceritakan mengenai tujuh ini secara superficial sahaja. Kerana kalau nak diikutkan, setiap satunya boleh dijadikan satu artikel jika diulas dan digarap dengan baik. Saya akan tinggalkan persoalan-persoalan untuk kita sama-sama sendiri mencari jawapannya, iaitu dengan bertanyakan kepada ustaz yang lebih berusia dan berkelayakan, inshaAllah.

Apa tujuh itu?

Pertamanya, perempuan tidak boleh mendedahkan aurat kecuali kepada mahram. Boleh rujuk surah Nur ayat 31. Maka, “kapel” yang menampakkan/menunjukkan aurat kepada pasangan yang belum berkahwin, adalah kapel yang dilarang. Persoalan yang boleh dibincangkan, adalah bab aurat. Aurat tidak semestinya hanya pakaian. Dan tidak semestinya hanya dengan apa yang terzahir.

Kedua, dalam Alquran ada suruhan Allah untuk menundukkan pandangan bagi kedua-dua lelaki dan perempuan. Boleh rujuk surah Nur ayat 30 dan 31. Maka, kapel yang tidak menjaga pandangan (asyik tengok, renung tak kiralah di alam nyata ke, melalui webcam ke), adalah kapel yang dilarang. Pandangan, boleh diambil secara literal, atau boleh juga diambil secara simbolik/metafora. Perkataan “menundukkan” itu penting, untuk dibezakan dengan “menutup” atau “melindungi” atau “menghalang”.

Ketiga, dalam alquran ada suruhan Allah agar lelaki berurusan dengan wanita di sebalik tabir. Boleh rujuk surah al-Ahzaab, ayat 53. Maksud ayat ni adalah, berhubung hanya berdasarkan keperluan. Dalam ayat ni menceritakan bahawa jika ingin meminta sesuatu dari perempuan, cukuplah untuk meminta dari sebalik tabir (maksudnya, kalau just nak mintak, dari sebalik tabir pun boleh. takyah la lebih2. lebih kurang camtu la, berdasarkan kefahaman saya. wallahua’lam). So, kuncinya adalah berhubung sekadarnya berdasarkan kepada keperluan. Justeru itu, kapel yang berhubung tanpa batasan serta tanpa keperluan (untuk sembang yang entah pape, habiskan masa bersama), itu adalah kapel yang dilarang.

Keempat, dalam alquran ada larangan Allah kepada wanita agar tidak melunakkan suara. Boleh rujuk surah al-ahzaab, ayat 32. So, kapel tak boleh melunakkan suara, tak kiralah sama ada bercakap depan-depan atau melalui telefon. So kalau bermanja-manja dengan suara, itu adalah kapel yang dilarang. Larangan ini bukanlah larangan untuk “bersuara” terus, tidaklah dilarang bercakap lelaki-perempuan, tapi kata kuncinya adalah pada “melunakkan suara”. Apa yang dimaksudkan dengan “melunakkan” itu? Siapa “orang yang berpenyakit hatinya” yang dimaksudkan dalam ayat tersebut?

Kelima, dalam alquran ada larangan Allah terhadap perempuan agar tidak bertabarruj jahiliah (Al-Ahzaab, 33). Maksud tabarruj jahiliah ini (sesetengah pendapat), adalah wanita yang berhias/bersolek lalu berjalan di hadapan/khalayak orang ramai untuk menarik perhatian. Maka, kalau dalam kapel, perempuan dilarang mekap dan berhias cantik2 semata-mata nak menarik perhatian pasangannya. Perempuan yang pakai lawa-lawa, mekap lawa-lawa sebab nak tarik perhatian pasangannya, adalah kapel yang dilarang. Boleh digarap dan diulas dengan panjang lebar, bab “tabarruj jahiliah awal” ini, dan perlu dibezakan dengan “tabarruj” biasa.

Seterusnya, kalau dilihat pada hadis pula, juga ada banyak hadis yang Rasulullah sebutkan, yang berkaitan dengan perhubungan lelaki-perempuan ini.

Keenam, dalam hadis ada larangan Rasulullah bahawa lelaki dan perempuan yang bukan mahram tidak boleh berdua-duaan, kecuali dengan kehadiran mahram. So, kapel tidak boleh berdua-duaan, biarpun di tempat awam mahupun di tempat sulit (paggung wayang, contohnya), tanpa kehadiran mahram, ya’ni mahram dewasa yang bertanggungjawab dan berauthoriti (layak dan boleh/sanggup untuk menegur anda, contohnya bapa, abang, ibu). Kapel yang selalu berdating, biarpun dating “tak buat apa2 pun” serta berdating di tempat awam (shopping complex, taman bunga), adalah kapel yang dilarang.

Ketujuh, dalam hadis ada larangan Rasulullah bahawa lelaki dan perempuan tidak boleh bersentuhan. Para ulama’ ada yang berselisih pendapat, namun umumnya hanya membenarkan dalam keadaan darurat DAN serta hendaklah tanpa syahwat. Lapik ke tak, tu lain kira. So, kapel yang berpegangan tangan, yang pegang pipi, walaupun (dikatakan) tanpa syahwat, tapi tidak ada keperluan. Apatah lagi dengan syahwat, atau yang berciuman, adalah kapel yang dilarang.

Tujuh di atas, adalah antara contoh yang dapat saya fikirkan lah. Selain 7 perkara di atas, ada banyak lagi perkara-perkara non-spesifik (tidak khusus kepada percintaan sahaja), tapi perlu kita jaga. Antaranya seperti tidak boleh melampaui batas (melebihi keperluan), tidak boleh mengabaikan yang wajib (tinggalkan solat dsb), tidak boleh membelakangi ibubapa, tidak boleh ada pembaziran dsb.

Bukan Untuk Yang Bercinta Sahaja!

Bahagian ini perlu ditegaskan! Sungguhpun saya menyebut 7 perkara di atas khusus untuk orang yang nak berkapel/bercinta, namun hakikatnya ketujuh-tujuh syarat tersebut bukanlah spesifik kepada orang yang ingin bercinta sahaja.

Sebaliknya, ia adalah asas kepada perhubungan setiap lelaki-wanita dalam Islam. Tak kira bercinta atau tidak. Tak kira “declare ke tak”. Ia adalah asas kepada perhubungan antara rakan-rakan sekelas/sekuliah. Ia adalah asas kepada perhubungan antara rakan-rakan dalam jemaah/persatuan masing-masing!

Ini kerana banyak berlaku, fenomena merasakan “tak apa” mengabaikan syarat-syarat di atas, atas alasan – “aku bukan bercinta/berkapel dengan dia pun”. Fenomena ini melanda dalam bentuk yang lain, dinamakan “abang-adik angkat”, “best-friend” dan sebagainya. Hakikatnya itulah permainan syaitan, dalam menggunakan logik akal manusia untuk mengalih dari fokus taabudiyyah, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini.

Malahan, fenomena ini juga turut melanda para penggerak dakwah islamiah, yang kononnya berhubungan atas dasar jemaah/persatuan, untuk meminta tunjuk ajar, dsb. Hakikatnya, 7 Syarat di atas adalah universal – mana-mana lelaki dan perempuan bukan mahram, tak kisahlah siapa, hatta isteri nabi sekalipun, tetap tertakluk kepada syarat tersebut.

Ruang Keperluan dalam Keterbatasan

Mungkin ada yang kata, 7 Syarat di atas adalah terlalu ketat dan tidak relevan lagi di zaman sekarang. Lihatlah sendiri, zaman sekarang, perempuan bebas keluar kesana sini untuk bekerja, belajar dan sebagainya. Lelaki tidak lagi hanya berurusan sesama lelaki di tempat kerja/belajar.

Cabaran-cabaran zaman moden ini sering dijadikan “alasan logik akal” untuk menidakkan syarat-syarat di atas tersebut. Sedangkan kita tahu dan yakin, bahawa syariat-syariat Allah adalah sesuai untuk semua tempat dan semua zaman kepada semua manusia dalam apa jua keadaan. Menidakkan hakikat ini, boleh mencemarkan akidah kerana keyakinan kepada Allah dan malaikatNya dan RasulNya dan KitabNya yang mana syariat itu disampaikan melalui semua medium tersebut, adalah tergegar dan goyah dengan pemikiran sedemikian.

Islam membenarkan ruang dalam keterbatasan. Yang mana ruang ini haruslah dinilai oleh neraca syariat, bukanlah neraca hawa nafsu. Keperluan berhubung atas urusan belajar, merupakan satu ruang yang ada, dengan syarat selama mana ia masih berdiri atas keperluan tersebut. Apabila keperluan tersebut gugur, maka ruang tersebut juga gugur. Contohnya seperti apabila ada alternatif lain – bertanya kepada rakan sejantina, mencari jawapan di internet dsb.

Begitu juga dengan aspek komunikasi, contohnya. Ada sesetengah perkara perlu dibincangkan secara berdepan, dalam mesyuarat contohnya. Ada sesetengah perkara boleh dibincangkan melalui telefon atau YM. Ada sesetengah perkara cukup sekadar emel atau SMS. Keperluan ini berbeza-beza, dan ruang dalam keterbatasan ini bergantung kepada keperluan tersebut.

Seperti yang saya sebut – Hendaklah dinilai dengan NERACA SYARIAT. Maka tentulah pertama-tama yang perlu kita ketahui adalah syariat, disinilah letaknya peranan ilmu dan kefahaman terhadap agama. Hanya dengan adanya ilmu (supply) dan kefahaman (proses), syariat dapat diterjemahkan kepada perbuatan (output).

Tidak Diharamkan Melainkan Ada Yang Halal

Syeikh Yusuf AlQardhawi, ulama terkenal ada menceritakan, bahawa dalam Islam ini tidak ada perkara-perkara yang dilarang dan diharamkan, melainkan ada baginya alternatif lain yang halal. Contohnya, arak diharamkan, tapi ada alternatif lain seperti susu, jus buahan, dsb yang halal. Khinzir itu diharamkan, tapi ada alternatif lain iaitu daging lembu dan ayam yang disembelih dengan nama Allah.

Begitu juga dengan konsep larangan dalam syarat-syarat ini. Banyak yang diharamkan, tetapi Allah juga ada memberikan kita alternatif! Apa alternatifnya itu? Yaaa…..tidak lain dan tidak bukan, PERNIKAHAN. Itu alternatif yang Allah berikan. Hanya dengan PERNIKAHAN lah, 7 syarat-syarat tersebut akan terangkat antara dua insan tersebut.

Hikmah Syarat?

Akhirnya, setelah kefahaman-kefahaman asas dibina, barulah boleh dibincangkan mengenai hikmah kepada adanya syarat-syarat tersebut. Memikirkan “hikmah” tanpa kefahaman asas yang mantap, boleh menyebabkan orientasi kita terhadap sesuati perlaksanaan syariat itu berubah. Melaksanakan syariat bukan lagi kerana taabudiyyah, tetapi memikirkan hikmah semata. Ini suatu misconception yang berat.

Mungkin banyak yang boleh kita fikir mengenai hikmah syariat pergaulan lelaki dan perempuan ini diadakan. Namun yang paling saya suka untuk point-out, adalah syariat ini merupakan satu LATIHAN.

Anggaplah syariat ini satu bentuk test, “interview” untuk kita menilai kawalan keatas diri kita sendiri. Maksud saya, kalau benda yang dalam kawalan diri sendiri pun kita gagal mengawalnya (yakni “hilang kawalan”), maka susah lah untuk menanggung amanah dan tanggungjawab yang lebih besar, sebagai seorang ayah dan bapa, atau isteri dan seorang ibu! Kalau kita gagal mengawal diri kita untuk mematuhi syarat pergaulan tersebut, gagal membimbing perhubungan agar selari dengan syariat yang saya ceritakan di atas, bagaimana kita nak membimbing seorang isteri (atau mematuhi suami), mendidik anak, iaitu menjadi ketua keluarga?

Maka, Islam ni best sebenarnya kan? Ia tidak melarang, melainkan diberi solusi/alternatif. Larangan yang ada pula, bukanlah larangan yang membantutkan terus. Sebaliknya larangan yang bersifat membimbing (guidance), serta melatih dan mempersiapkan diri demi menempuh kehidupan akan datang.

Begitu juga dengan hikmah-hikmah yang lain, seperti menghindarkan zina, menjauhi fitnah etc etc. Semua itu adalah benefit yang mungkin/boleh Allah kurniakan kepada kita, inshaAllah.

InshaAllah, setakat ini sahajalah kupasan saya mengenai topik ini. Sengaja saya kupas dengan panjang lebar, semoga Allah menyampaikan kefahaman kepada diri kita semua. Akhir kata, jika ada apa-apa persoalan, sudi-sudikanlah ajukan dalam ruangan komen, inshaAllah mana yang saya mampu perjelaskan, saya cuba.

Wallahua’lam.