Friday, December 4, 2009

Berzikir, Berdoa Secara Perlahan Adalah Shahih Daripada Nabi SAW


SUDAH menjadi kebiasaan, imam dan makmum berwirid beramai-ramai dengan suara yang lantang dan kuat. Seolah-olah ia merupakan satu perkara yang wajib ataupun kesempurnaan solat.

Jika tidak dilakukan demikian dianggap sebagai satu perkara aib, terutama bagi imam itu sendiri yang seolah-olah tidak tahu hendak berdoa.

Oleh yang demikian masjid dan surau sudah menjadi seperti majlis nasyid. Ada di antaranya menjadi bising sehingga mengganggu jemaah yang sedang sembahyang, sedang masbuk dan di antaranya baru hendak bersembahyang.

Seolah-olah mereka tidak menghirau orang masbuk yang sedang bersolat atau orang baru datang untuk bersolat.

Kadang-kadang kita melihat imam dan makmum terus juga berwirid dengan suara lantang sehinggalah tamat. Inilah satu-satunya perbuatan yang sangat tercela dan perlu dihentikan.

Nabi Muhammad dan para sahabatnya tidak membaca wirid itu secara beramai-ramai dengan suara keras dan terus-menerus pada setiap lepas solat, tidak pula membaca doa dengan suara yang keras dan diaminkan oleh makmum pada tiap-tiap selepas bersolat.

Nabi dan para sahabat hanya membaca wirid dengan suara kuat dan lantang sewaktu mengajar makmum. Kita sekarang, para makmum sudah menjangkau usia lebih daripada 60 tahun takkanlah, tak tahu membaca doa dan berwirid?

Ada baiknya semuanya ini dibuat sendirian. Allah lebih suka kalau hamba-Nya meminta doa sendiri terus kepada-Nya tanpa menerusi sesiapa pun.

Asy-Syaikh Ali Mahfuz berkata: Di antara bidaah-bidaah yang makruh ialah menamatkan solat dengan cara mengangkat suara beramai-ramai di dalam masjid terus-menerus, sehingga orang awam beriktikad bahawa itu adalah sebahagian daripada kesempurnaan solat dan dia adalah sunah yang mesti dilakukan, padahal ia sunat dilakukan sendiri dan secara senyap-senyap.

Cara seperti ini adalah bidaah yang tidak dikenal pada zaman Rasulullah dan pada masa sahabat. Cara ini telah dijadikan satu syair yang dilakukan selepas solat jemaah.

Makruh

Kebanyakan para ulama telah menegaskan tentang makruhnya mengada-adakan syair dalam agama. Pada hal Allah sudah berfirman dalam surah al-A'raf ayat 55 yang maksudnya:

"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan cara merendahkan diri dan dengan suara perlahan, sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang melampau batas".

Dan doa dengan cara begini (dengan suara lantang) bukanlah daripada perbuatan Rasulullah, bukan perkataannya dan bukan pula perakuannya. Hal ini telah dinukilkan daripada kitab al-Ibada.

Ibnu Hajar al-Haitimi di dalam kitab al-Fatwanya berkata: "Berkata az-Zarkasyi: "Menurut sunah ialah memperlahankan suara pada semua zikir kecuali Talbiah".

Dan al-Auzi berkata asy-Syafie mengagungkan hadis-hadis yang menyatakan dengan suara keras itu ialah terhadap orang-orang yang mengajar.

Disebutkan dalam kitab al-Abad: Dan disunatkan berzikir dan berdoa secara perlahan dan dikeraskan suara dengan bacaan zikir dan doa selepas salam. Imam mengajar orang-orang mukmin dan apabila mereka telah belajar maka hendaklah diperlahankan.

Ada hadis yang menyebutkan tentang mengeraskan suara dengan zikir iaitu hadis riwayat Ibnu Abbas:

"Bahawasanya mengangkat suara dengan zikir sewaktu orang ramai selesai solat fardu adalah dilakukan pada zaman Rasulullah. Berkata Ibnu Abbas lagi: "Aku mengetahuinya setelah mereka selesai solat fardu itu apabila aku mendengarnya." Hadis riwayat Bokhari.

Hadis ini ditujukan kepada keperluan mengajar zikir yakni nabi dan para sahabat pernah mengeraskan suara membaca zikir buat sementara waktu sahaja, bukan terus-menerus secara tetap.

Mereka lakukan demikian itu untuk maksud mengajar zikir kepada para hadirin.

Demikian ditegaskan oleh asy-Syafie seperti yang dinukilkan oleh Imam an-Nawawi di dalam kitab al-Majmuk.

Al-Imam Ibnul Qayyim pula berkata: "Imam berdoa sesudah salam dari solat sambil menghadap kiblat atau menghadap makmum tidak pernah dikerjakan oleh nabi yang bertindak sebagai imam dan tidak ada pula sesuatu riwayat yang menyuruh kita mengerjakan demikian." Masalah ini telah dinukil dari kitab Zadul-Ma’ad"

Pendek kata, tidak ada ulama muktabar yang membolehkan kita terus menerus membaca zikir dan doa bersama-sama secara lantang selepas tiap-tiap solat jemaah kerana jelas bertentangan dengan sunah.

Yang berlaku di depan mata kepala kita, semua masjid dan surau, imam-imam yang mengimamkan solat jemaah, akan membaca doa dan berzikir kuat-kuat sehingga dua kilometer kita dapat mendengar menerusi pembesar suara.

No comments: