Menyelusuri laluan kehidupan di dunia ini, pelbagai ragam dan tingkah laku manusia boleh dilihat di sana sini. Berjalan berpasangan sambil berpimpin tangan, bergurau senda bersama sanak saudara,rakan-rakan serta masyarakat yang lain antara yang biasa dilihat saban hari. Peristiwa menyayat hati dan mendukacitakan tentu akan disusuli pada ketika masa yang lain. Kisah kehilangan ahli keluarga, dihina, dibenci, malah dipulau oleh orang terdekat dan masyarakat, pernah dilalui oleh segolongan manusia di dunia ini.

Begitulah kisah kehidupan manusia dan dunia. Ada kalanya senang bergembira, ceria, dan ketawa. Tetapi, ada kalanya akan menitis air mata, bermuram durja, malah boleh seketikanya merasa tiada gunanya lagi dia hidup di dunia.

Begitulah Allah s.w.t menciptakan setiap kejadian yang berlaku di dunia ini. Tidak kira taat atau ingkar, semuanya akan diberikan nikmat berdasarkan apa yang telah ditetapkan olehNya. Dia mustahil bersifat lokek dan kikir macam manusia. Kerana telah jelas dan terang antara namaNya yang mulia ialah Al-Wahhab (Yang Maha Pemberi)

Ada kalanya Dia pasti akan menciptakan musibah. Musibah atau bala tetap jua akan menimpa tidak kira kepada yang menyembahNya atau yang berpaling daripadaNya. Dia Maha Adil. Yang kafir atau menyembah berhala ada balanya. Yang muslim dan taat tetap tidak terlepas dari ujianNya.

Tiada siapa mampu hidup terus bergembira.

Tiada siapa mampu hidup terus menerus merana.

NIKMAT

Nikmat.

Pasti terbayang di kepala suatu perkara yang memberikan nilai kegembiraan dan keberuntungan dari nikmat yang dikurniakan. Mendapat kenaikan pangkat dari ketua, menang cabutan bertuah dari satu peraduan, dan beroleh rezeki dan harta yang melimpah ruah semua, itu antara bayangan nikmat yang biasa sentiasa menjadi idaman.

Malah, nikmat seperti beroleh anak-anak yang ramai, pasangan hidup yang damai, dan beroleh kesenangan dalam kehidupan rata-rata masyarakat pasti berkeinginan dan mengharapkannya suatu hari nanti.

Namun, nikmat duniawi seperti kesenangan dan keseronokan yang dikecapi di dunia ini sifatnya hanya sementara. Setelah diperoleh perkara yang diidam-idamkan selama ini, mula terbit perasaan jemu, hampa dan bosan setelah puas menerima kenikmatan.

Ia tidak akan berkekalan. Kekalnya hanya pada permulaan. Di pertengahan mula mempunyai pelbagai bayangan sendiri. Mula terbayang ingin mengecapi nikmat yang lain, dan berbeza dari yang telah diterima. Ketika berada di pengakhiran, akan berlaku kehampaan, kegelisahan dan pertelingkahan.

Contohnya, harta melimpah ruah yang selama ini berusaha sedaya upaya untuk mencapai dan mendapatkannya. Setelah diperolehi, pasti akan terasa gembira dan seronok tak terkata. Setelah beberapa lama, mula rasa diri angkuh,sombong, dan terlupa di mana bumi dipijak, di mana langit dijunjung. Di pengakhiran, mula rasa takut, tidak selamat, malah berasa terancam sekiranya ada yang mencari dirinya dan memecah masuk rumahnya yang mewah dan kaya.

Pasang peti besi sana sini. Pengawal keselamatan diupah untuk mengawasi. Malah, security alarm dipercayangi akan berbunyi apabila mengesan gerakan pencuri atau orang yang tidak dikehendaki.

Gelisah sentiasa bagaimana cara ingin memastikan keselamatan harta. Sehingga alpa dan leka pada tanggungjawab agama yang mesti dan lebih perlu dipelihara.

Begitu juga dalam alam rumah tangga kini. Pada awalnya terasa dunia ini dia yang punya. Merasai diri bahagia pada nikmat mengasihi dan dikasihi, boleh beramah mesra, dibelai dan bermadu asmara. Semua keinginan pada fitrah manusia untuk berpasangan dan saling menyayangi yang selama ini ingin diperolehi akan dikecapi setelah mula mendirikan rumah tangga. Tetapi, di pertengahan usia perkahwinan, mula ada terbit rasa ‘jemu’, bosan, mendiamkan diri dan mula berfikir akan dunia sendiri, setelah segalanya menjadi kebiasaan.

Letih fikir urusan keluarga. Meluat mendengar leteran isteri yang dahulu dikatakan pendengar yang setia. Kerenah anak-anak yang sentiasa rencah dengan pelbagai kisah dan ragam sehingga merunsingkan malah boleh menaikkan api kemarahan jika sudah hilang kawalan.

Akhirnya, ada yang mempunyai keinginan mencari seorang lagi kerana sudah jemu dengan kehidupan yang telah menjadi kebiasaan selama ini. Masalah yang bakal menimpa kemudian baru difikirkan. Yang penting, keinginan untuk mengecapi nikmat dunia perlu kembali dilaksanakan setelah yang pertama terasa seperti telah sampai ke tempoh pengakhiran.

Keinginan pada nikmat duniawi selari dengan kehendak nafsu. Tidak pernah puas. Bila satu telah dimiliki, mula berkeinginan pada nikmat yang lain.

Itulah nikmat duniawi. Tiada satu pun bersifat kekal. Sekiranya tiada kawalan dan sememangnya telah sampai pada tempoh akhirnya, bala bencana mula bertukar rupa.

Namun, bagi para mukminin, nikmat yang dikecapi di dunia ini bukanlah nikmat yang hakiki. Bukan jua nikmat yang senang-senang sahaja ingin diberi. Sebaliknya, nikmat yang diberi adalah semuanya ada hikmah dan pengajaran dari Allah s.w.t. Malah, nikmat itu jua dilihat sebagai ujian yang khusus dari Allah s.w.t.

Ujian untuk melihat sejauh mana hamba tersebut tahu dan mengerti makna mensyukuri. Melihat setakat mana hamba tersebut tahu makna berkongsi dan memberi.

Oleh itu, beringatlah. Nikmat di dunia tiada satu pun yang akan berkekalan selama-lamanya. Malah, nikmat jua merupakan ujian yang paling getir dalam kehidupan para mukminin kerana dengan beroleh nikmat, ramai yang mula hidup untuk dunia, lupa bila waktu kematiannya.

Sekiranya dahulu sering mencari kekuatan dan hikmah Allah s.w.t menciptakan setiap musibah, kini lupa dan alpa dengan nikmat yang melimpah ruah.

Dunia ini bukannya syurga!

MUSIBAH

“Abang, kenapa abang pergi meninggalkan kami? Siapa ingin menjaga anak-anak kita? Siapa yang ingin nak menguruskan nafkah keluarga? Bingungnya aku. Ya Allah, berilah hambaMu yang lemah ini kekuatan. Wahai Tuhanku yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui, bantulah hambaMu ini.”

“Ini tak adil! Selama ini aku yang penat lelah menyumbang jasa dan berusaha untuk syarikat, dia pula yang beroleh nama dan pangkat. Khianat punya kawan, Tikam belakang!”

“Kenapa Allah menguji aku dengan ujian yang berat ini. Apa dosaku? Apa salahku?”

Rintihan demi rintihan boleh kedengaran dalam nada suara mahupun suara hati manusia apabila berdepan dengan suasana yang menghimpit jiwa.

Musibah boleh menimpa kepada sesiapa tanpa mengira lokasi dan masa, tidak kira jua bersedia menerima atau sebaliknya.Musibah yang menimpa pasti jua memerlukan dorongan dari rakan taulan atau sanak saudara supaya dapat kembali beroleh kekuatan dan kesabaran untuk menempuh ujian.

Musibah boleh dilihat kepada beberapa pengertian. Antara bentuk musibah ialah kaffarah kepada dosa yang dilakukan, musibah sebagai ujian menguji keimanan hamba-Nya dan musibah kerana keingkaran mentaati perintah Tuhan.

Pada peringkat kaffarah atau hukuman Allah kepada hamba-hambaNya, mereka ditimpa musibah kerana kerosakan dan dosa yang mereka lakukan selama ini, sama ada sengaja atau tidak sengaja. Ketika menghadapi musibah ini, mereka akan tersedar akan keterlanjuran mereka dan kembali berpijak di tanah sebenar.

Musibah berbentuk kaffarah juga sebagai pengajaran dan keampunan dosa dari Allah s.w.t.Maka, ketika ditimpa musibah tersebut, hamba Allah itu mula sedar akan kekurangan dan kesilapan yang pernah dia lakukan. Hasilnya, sekiranya dia seorang yang beriman, dia akan kembali berada di atas jalan yang benar dan inginkan keredhaan Tuhan.

Musibah pada pengertian yang kedua adalah musibah yang menimpa tidak semena-mena, amalh di luar jangkaan dan keinginan dirinya. Mereka ditimpa musibah keranan itu sememangnya ketetapan di sisiNya. Musibah ini dikenali jua sebagai musibah ujian. Musibah yang menimpa untuk menguji iman para hamba-Nya. Musibah yang menimpa untuk melihat di mana diletakkan iman yang dikatakan penuh di dada.

Misalnya, sekiranya sebelum ini seseorang itu pernah meletakkan sesuatu harapan pada kehendaknya dalam kehidupan ini, tiba-tiba ia berlaku sebaliknya. Bukan atas kehendak dia. Jauh sekali dari keinginan dia. Tetapi, Allah s.w.t telah menentukan dan Maha Menentukan segala-galanya.

Imannya akan diuji atas musibah yang menimpa. Takwa dan ibadahnya akan teruji kerana ujian khusus dari Allah s.w.t.

Sekiranya dia beriman dia akan kembali mengingati dan meredhai setiap ketetapan Allah. Sekiranya dia kafir, jika tidak mampu menanggung musibah yang menimpa, bunuh cari sebagai jalan penyelesaian terakhirnya.

Mereka diuji agar dihapuskan dosa-dosa yang telah lalu.

Mereka diuji agar diketahui di manakah iman dan amal yang diyakini dahulu.

Mereka diuji agar dibimbing terus menyelusuri dari jalanNya yang lurus.

Tetapi, musibah pada pengertian pertama dan kedua, dia tidak akan menciptakan musibah tersebut luar dari kemampuan hamba-hambaNya. Dia menguji kerana Dia yang Maha Menguji. Dia mengetahui kemampuan seseorang berdasarkan ujian yang ditimpa olehnya.

“Tidaklah diciptakan bebanan melainkan menurut kemampuannya.”

“Bagaimana kamu mengaku beriman sedangkan kamu tidak tidak diuji?”

Manakala musibah pada peringkat ketiga ialah musibah yang menimpa pada mereka yang ingkar pada Allah s.w.t. Firaun, Haman, dan kaum-kaum terdahulu antara golongan yang wujud pada musibah peringkat ini. Mereka ditimpa musibah sebagai azab Allah sebelum menerima azab yang kekal abadi di akhirat kelak. Maka, sebelum akhirat menjadi soal ditimbang kira, dunia dan tanah pertama sekali tidak mahu menerima!

HIKMAH

Lumrahnya, manusia mula ingin mengenali dan kembali mengharap kepada Tuhan, setelah diciptakan kesusahan yang perlu dihadapi. Hal ini jua kerana mereka tidak ada pilihan. Melainkan hanya mengharap kepada kuasa dan yang Maha Kuasa sahaja untuk memperoleh segala jenis kekuatan dan harapan.

Ia menjadi titik tolak corak utama bimbingan Allah untuk kembalikan manusia ke atas jalan yang benar. Musibah adalah acuan yang paling mujarab mengembalikan hati-hati manusia untuk beriman kepada Allah s.w.t.

Sehubungan itu, musibah sebenarnya merupakan bimbingan yang paling berkesan dalam membentuk peribadi manusia, terutamanya keapda orang-orang yang beriman. Kerana ujian yang tetap perlu dihadapi, mereka akan mula mencari-cari nilai dan kekuatan agar mampu meneruskan kehidupan ini. Istilah Tuhan yang selama ini jarang dan lupa dari ingatan, kembali menjadi sebutan sama ada dari bibir atau di dalam hati.

Mula menilai hikmah dan pengajaran yang diciptakan di sebalik kejadian. Mula membuka minda dan hati menerima qada’ dan qadar ketentuan yang pastinya milik Allah s.w.t sahaja.

Tambahan lagi, di sebalik kekalutan dan kecelaruan musibah yang menimpa, mungkin benar musibah yang diciptakan adalah untuk diciptakan kelebihan dan kebaikan di kemudian hari. Perkara ini semua adalah dalam ketetapan Allah. Tiada satupun yang mampu melangkah dan terlepas dari ketetapan dan pengetahuan Allah Azza wa Jalla.

Handfone yang rosak dibeli baru tetapi lebih canggih dan terkini.

Kehilangan ahli keluarga diserikan dengan hubungan kekeluargaan yang kembali bertaut erat, setelah renggang dan sepi selama ini.

Oleh itu,

Nikmat mengajar manusia erti bersyukur dengan pemberian dari-Nya.

Musibah mengajar manusia erti redha akan ketentuan Allah s.w.t.

Wahai diri,

Kadang-kadang diri ini merasai ‘sesuatu’ dalam kehidupan ini. Sekiranya menghadapi musibah, sabar dan ingat akan Allah yang sentiasa Maha Mengetahui ujian yang ditimpa kepada hamba-hambaNya.

Sekiranya mempunyai harapan dan keinginan dalam hati, sampaikanlah ia kepada Allah. Dia Maha Mendengar apa yang tersirat dan tersurat pada hati manusia.

Bumi hanya kecil dan sebesar semut bagiNya. Keluasan alam semesta dan cakerawala melampaui batasan penglihatan manusia untuk melihat dan memikirkannya.

Kekuatan, keimanan, mahupun kekafiran manusia sedikitpun tidak menjejaskan kekuasaanNya yang Maha Kuasa.

Serta, hulurkanlah bantuan sekiranya mampu melakukan kepada insan yang lain. Cuma, jangan dibebankan diri dengan masalah yang wujud pada kehidupan manusia yang lain.

Think and receive it just only on the surface.

Sesungguhnya,

Diri itu tidak pernah berjuang berseorangan. Sentiasa hadir,wujud dan berjuang bersama-sama jiwa yang mengharapkan redha Tuhan.

Hidupkanlah hati mencintai Allah.

Jauhkanlah hati dari harapkan pada dunia seisinya.