SOALAN: Saya seorang ahli perniagaan bertaraf antarabangsa. Pendidikan agama saya adalah sederhana. Setelah umur meningkat 50 tahun kadang-kadang saya didatangi pemikiran yang menghantui diri. Saya, biarpun tidak ketagih, tetapi kadang-kadang minum arak, terutamanya ketika diraikan oleh kawan-kawan atau meraikan tetamu semata-mata untuk menjaga hati mereka yang datang dari luar negara. Begitu juga dengan perempuan yang disediakan biarpun saya tidak meminta.
JAWAPAN : Mudah sahaja, apa yang patut saudara lakukan ialah bertaubat, berhenti minum arak dan berhenti melakukan zina dengan perempuan yang disediakan.
Pada zahirnya saudara adalah seorang yang berjaya, mempunyai kekayaan yang banyak tetapi sayangnya saudara tidak tahu bersyukur kepada Allah. Orang yang bersyukur ialah mereka yang menggunakan nikmat anugerah Allah itu untuk kebajikan yang disuruh dan yang diharuskan. Dalam masa yang sama orang-orang yang kaya seperti saudara sepatutnya semakin tunduk dan tawaduk sebagai tanda berterima kasih kepada Allah di atas kurniaan itu,
Kalaulah kekayaan yang saudara miliki atau bidang kerjaya yang saudara lakukan itu menyebabkan saudara seorang peminum arak dan berzina, maka hidup sebagai seorang yang miskin atau sederhana tetapi tidak melibatkan diri dengan arak dan perempuan itu adalah lebih baik.
Kehidupan yang kaya, ternama dan berpangkat tanpa minuman keras dan perempuan itu adalah lebih baik dan berkat.
Memang ada orang yang menganggap bahawa dengan meminum arak itu lambang kemegahan, "macam orang putih" atau untuk menjaga hati orang-orang tertentu.
Walaupun demikian saudara perlu faham, bahawa orang yang civilised dan waras tetap sedar bahawa minum arak itu membinasakan biarpun di kalangan mereka yang minum. Saya meyakini bahawa teman yang saudara "jaga hati" itu akan lebih menghormati saudara sekiranya saudara tidak minum arak yang dihidangkan itu. Saudara akan dianggap dengan rasa hormat, kerana saudara adalah seorang yang berpegang teguh dengan ajaran agama saudara.
Orang yang berpegang teguh dengan agama adalah orang yang baik, jujur dan paling layak untuk dijadikan rakan niaga.
Saudara bukan "seolah-olah" tidak berdaya menolak minuman keras yang dihidangkan, tetapi saudara sebenarnya memang tidak berdaya menolak minuman haram yang dihidangkan itu kerana saudara tidak mempunyai pegangan agama dan keyakinan diri.
Saudara tidak perlu menjelaskan yang kerja saudara tidak berjaya atau tidak akan mencapai taraf antarabangsa tanpa minum arak. Allah yang mengharamkan arak, amat mengetahui hakikat pengharaman arak itu.
Kalaulah dengan minum arak boleh menjaga hati rakan seniaga, membolehkan seseorang itu menjadi seorang usahawan atau peniaga bertaraf antarabangsa, tentunya Allah s.w.t. tidak mengharamkannya dan nabi pula memberi amaran bahawa arak itu adalah punca segala maksiat.
Oleh kerana saudara tidak mempunyai keyakinan diri, tunduk kepada runtunan nafsu maka teman-teman seperniagaan saudara tidak menghormati saudara. Saudara dianggap tidak ubah seperti buih, kerana itu mereka sogokkan saudara dengan perempuan, biarpun saudara tidak meminta, tetapi mereka sedar saudara tidak akan menolak kalau diberi.
Saudara tidak boleh memberi alasan apa yang saudara lakukan itu tidak salah kerana saudara tidak meminta disediakan perempuan. Hal yang sama boleh berlaku di kalangan mereka yang menerima rasuah. Mereka tidak boleh memberi alasan yang mereka tidak bersalah menerima rasuah kerana mereka tidak meminta. Alih-alih wang sudah diletakkan dalam laci. Daripada dibuang membazir, baik diambil, boleh dimanfaatkan.
Sesungguhnya arak itu adalah punca segala kejahatan. Arak menyebabkan manusia hilang imbangan akal, menyebabkan seseorang itu tidak waras, terlibat dengan pergaduhan, zina dan sebagainya.
Zina adalah salah satu dosa besar yang terkutuk. Orang yang minum arak selalunya terlibat dalam perzinaan. Selalunya orang yang melakukan dosa-dosa ini tidak akan melakukan sembahyang, puasa, tidak memberi zakat atau menunaikan haji.
Sekiranya mereka ada mengerjakan sembahyang, puasa dan lain-lain, perlakuan itu bukan atas dasar keinsafan, tetapi atas dorongan bahawa rukun-rukun ini merupakan tanggungjawab yang mesti dilakukan oleh setiap orang Islam.
Atau mereka terpaksa melakukannya mungkin kerana adat, padanya bulan Ramadan orang berpuasa, dia pun ikut berpuasa, orang lain sembahyang dia pun sembahyang, pergi ke Mekah, berumrah kalau kapal terbang singgah ke Mekah atau kawan-kawan lain berumrah.
Tidak ada orang yang minum arak dan berzina dalam masa yang sama ia berupaya melakukan rukun-rukun Islam yang lain dalam erti kata yang sebenar, kecuali setelah mereka benar-benar bertaubat.
Orang yang benar-benar sembahyang, puasa, menunaikan haji dan mengeluarkan zakat tidak akan melakukan zina atau minum arak, kerana sembahyang itu mencegah pelakunya daripada melakukan dosa-dosa besar dan kemungkaran yang kecil.
Orang yang minum arak dan melakukan perzinaan mendatangi perempuan-perempuan lacur atau yang disediakan oleh orang-orang tertentu seperti yang saudara jelaskan akan melakukannya di tempat sendiri juga kerana nafsu itu tidak memilih tempat. Nafsu juga tidak mempunyai batasan kecuali sekiranya ada kesedaran dalaman yang boleh menahan daripada berbuat demikian. Takut ditangkap oleh pejabat agama, takut diketahui oleh orang lain yang menjejaskan nama dan kehormatan sebagai seorang peniaga bertaraf antarabangsa.
Biarpun saudara terlibat dengan dosa-dosa yang saudara rasa berat hendak diluahkan, selagi saudara mempunyai akal dan dapat berfikir, saudara akan merasa salah pada diri sendiri. Perasaan seperti ini terus-menerus menghantui saudara
Dalam masa yang sama, saudara akan hilang keyakinan diri. Kalau saudara hendak memberi nasihat kepada anak saudara atau orang lain agar jangan minum arak, jangan mencari perempuan di lorong mati misalnya, akan timbul satu perasaan "bagaimana hendak menegah anak jangan minum arak atau jangan bermain perempuan padahal ia sendiri melakukannya?’’
Bagaimana seorang ibu atau bapa itu hendak memberi nasihat agar anak-anak berkelakukan baik, padahal mereka sendiri terlibat dengan kelakukan yang tidak baik?
Saudara seorang peniaga yang berjaya dan seandainya saudara ditakdirkan dilantik menjadi pemimpin, pada hakikatnya saudara tidak layak menjadi pemimpin.
Pemimpin bukan setakat perlu didengar kata-katanya, tetapi perlu dijadikan contoh teladan. Akan rosaklah apa yang dipimpin, tidak kiralah melibatkan pentadbiran kecil, seperti rumah tangga, sebuah kampung, daerah atau negara sekiranya orang yang memimpin itu melibatkan diri dengan dosa-dosa seperti yang dijelaskan.
Faktor utama yang boleh memberi rangsangan diri saudara memberhentikan tindak-tanduk yang bertentangan dengan ajaran Islam dan fitrah akal itu perlu lahir daripada rangsangan dalaman yang kemudiannya disertai oleh faktor-faktor luaran.
Rangsangan dalam ialah iman, sedar bahawa apa yang saudara lakukan itu adalah salah, bertentangan dengan ajaran agama, merosakkan diri dan boleh merosakkan perniagaan saudara.
Terlalu banyak contoh memperlihatkan, tokoh-tokoh perniagaan yang jatuh bankrap kerana perempuan, minum arak dan berjudi. Biarpun sekarang ini saudara seorang yang berjaya, Allah boleh mengambil segala apa yang diberi dengan sekelip mata sahaja.
Nafsu manusia tidak berpenghujung, bererti orang yang terlibat dengan arak, perzinaan, rasuah dan sebagainya akan terus-menerus melakukannya. Hasil yang diperoleh hanyalah kepuasan nafsu yang merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Hidup mereka yang terlibat seumpama buih dan sentiasa dalam resah gelisah biarpun mereka mempunyai wang yang banyak dan tinggal di mahligai yang besar.
Orang Islam wajib percaya tentang adanya balasan di akhirat. Biarpun ada orang yang berpendapat gambarkan dahsyat api neraka itulah amaran Allah, iaitu balasan neraka bagi mereka yang melakukan maksiat. Dan yang paling ditakuti ialah mati ketika melakukan maksiat dengan perempuan.
Orang yang meningkat tua, bererti kadar hayatnya semakin sedikit kerana anggaran umur umat Muhammad adalah antara 60-70 tahun. Mereka yang mencecah umur maksimum sepatutnya memperbanyakkan amal jariah dan kebajikan kepada diri, keluarga dan negara.
Bayangkan betapa buruknya orang tua yang mabuk, cakap tidak menentu atau tidur dengan perempuan yang sebaya dengan anaknya sendiri.
Orang yang tidak pernah berzina, lalu melakukan zina buat pertama kali akan menyesal atas perbuatannya. Kalau ia mempunyai isteri, ia merasa betapa besar dosanya terhadap si isteri. Mengkhianati kasih sayang yang diberi oleh isteri selama ini. Bagi orang bujang, mengetahui sedikit agama, akan tergambar betapa besar dosa yang dilakukan.
Namun demikian, sekiranya ia mengulangi perbuatan itu, akhirnya rasa bersalah akan terhakis, tersisih oleh nafsu dan perbuatan ini akan menjadi satu budaya hidupnya, lalu akhirnya menjadi ketagih.
Ketika inilah Allah menutup pintu hidayah daripada kesedaran diri, mata, telinga dan hati seumpama tidak berfungsi lagi, semuanya tertutup, Allah memberi amaran bahawa bagi mereka adalah azab yang pedih.
No comments:
Post a Comment