Monday, August 17, 2009

CARA MENJAUHKAN DIRI DARI MAKSIAT

MAKSIAT DAN CARA-CARA MENGHINDARINYA


"Sampaikan dariku walau pun satu ayat" - (Bukhari dan Tarmizi)

Assalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh. Segala pujian bagi Allah S.W.T., selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad S.A.W., keluarganya, para sahabat serta tabiin sekalian.

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.

Meninggalkan maksiat adalah lebih berat daripada mengerjakan taat (yang diperintah oleh Allah dan Rasul Nya), kerana mengerjakan taat senang dibuat oleh setiap orang tetapi meninggalkan syahwat (maksiat)hanya dapat dilaksanakan oleh para siddiqin (orang-orang yang benar.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Orang yang berhijrah dengan sebenarnya ialah orang yang berhijrah dari kejahatan. Dan mujahid yang sebenarnya ialah orang yang memerangi hawa nafsunya."

Apabila sesaorang melakukan sesuatu maksiat, maka sebenarnya ia melakukan maksiat itu dengan menggunakan anggota badan nya, bermakna ianya telah menyalahgunakan nikmat anggota yang dianugerahkan dan mengkhianati terhadap amanah yang telah diberikan kepada nya.

Rasulullah S.A.W. bersabda : "Maka kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanyai akan kepimpinannya". Riwayat Bukhairi dan Muslim dari Ibnu Umar R.A.

Semua anggota akan menjadi saksi diatas segala perbuatan di Padang Mahsyar.

Firman Allah S.W.T :

"Dihari itu (Kiamat) akan bersaksilah keatas kamu oleh segala lidah mu, tangan mu dan kakimu dengan segala sesuatu yang telah kamu perbuat (di Dunia dahulu)." - Surah An Nur : Ayat 24.

"Pada hari ini (Kiamat) Kami akan kunci mulut-mulut mereka dan akan bercakap kepada Kami tangan-tangan mereka dan bersaksi dihadapan Kami kaki-kaki mereka terhadap apa-apa yang mereka telah lakukan (di Dunia dahulu)." Surah Yassin : ayat 65.

1) Menjaga Mata
Peliharalah mata daripada perkara-perkara seperti melihat perempuan yang bukan mahram, melihat gambar-gambar lucah, melihat orang lain dengan pandangan penghinaan dan melihat keaiban orang lain.

2) Menjaga Telinga
Menjaga telinga daripada mendengar perkara bida'ah, perkataan-perkataan yang jahat, perkataan yang sia-sia atau menyebut keaiban / kejahatan orang lain. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya orang yang mendengar (seseorang yang mengumpat orang lain) adalah bersekutu (didalam dosa)dengan orang yang berkata itu. Dan dia juga dikira salah seorang daripada dua orang yang mengumpat."

3) Menjaga lidah
Lidah adalah anggota yang paling berkesan keatas diri sendiri dan juga terhadap orang lain. Berapa ramai nanti manusia yang akan dihumban kedalam api neraka dengan sebab jenayah lidah mereka. Rasulullah S.A.W. bersabda : "Sesungguhnya sesaorang itu terkadang bercakap dengan satu percakapan dengan tujuan supaya orang lain menjadi tertawa dari sebab percakapannya itu. Dia tidak menyangka bahawa perkataan nya itu akan menyebabkan dirinya dihumbankan kedalam api neraka selama tujuh puluh tahun." - Riwayat At Tirmizi daripada Abu Hurairah R.A. Jagalah lidah mu dari perkara-perkara seperti bercakap bohong, mungkir janji, mengumpat, bertengkar / berdebat / membantah perkataan orang lain, memuji diri sendiri, melaknat makhluk Allah, mendoakan celaka bagi orang lain dan bergurau / memperolok atau mengejek orang lain.

4) Menjaga perut
Memelihara perut daripada memakan makanan yang haram atau yang syubahat ATAU berlebihan dalam memakan yang halal.

5) Menjaga Kemaluan
Menjaga kemaluan daripada apa-apa yang diharam kan oleh Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T. :"Dan mereka yang selalu menjaga kemaluan mereka, kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau apa-apa yang mereka miliki (daripada hamba jariah) maka mereka tidak tercela." Surah Al Mukminun : Ayat 5-6.

6) Menjaga Dua Tangan
Menjaga kedua tangan daripada memukul seseorang muslim dan daripada mencapai sesuatu yang diharamkan atau menyakiti sebarang makhluk Allah atau menulis sesuatu yang diharamkan atau menyakiti perasaan orang lain.

7) Menjaga Dua Kaki
Memelihara kedua kaki dari berjalan ketempat yang diharamkan atau berjalan menuju kepada pemerintah yang zalim tanpa ada darurat atau paksaan kerana dianggap menghormati diatas kezaliman mereka, sedangkan Allah menyuruh kita berpaling daripada orang yang zalim. Firman Allah S.W.T. : "Dan jangan kamu cenderung hati kepada orang yang zalim, nanti kamu akan disentuh oleh api neraka." - Surah Hud : ayat 113.

Kesimpulannya : Apabila kamu menggunakan anggota tubuh kamu bagi tujuan yang lain daripada yang dimaksudkan oleh Allah S.W.T. bermakna kamu tidak bersyukur(kufur)terhadap nikmat yang diberikan Nya kepada kamu.

Sabda Rasulullah S.A.W. : "Orang yang cerdik ialah orang yang selalu memperhitungkan dirinya dan ia suka beramal untuk bekalan sesudah mati, sedangkan orang yang Ahmaq (bodoh)ialah orang yang selalu mengikut hawa nafsunya dan hanya banyak berangan-angan kepada Allah S.W.T. (berangan untuk mendapatkan kebaikan diakhirat dan pengampunan tetapi ia tidak mahu beramal atau bertaubat). - Riwayat At Tirmizi.

Petikan dari Bidayatul Hidayah (Imam Al Ghazali) - Jazakumullahu khairan

Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah dan sebarang salah dan khilaf, disengaja atau tidak adalah daripada saya sendiri... Mudah-mudahan ianya dapat dijadikan panduan dalam mendapatkan keredhaan Allah S.W.T. WabiLlahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh.. - - "Aku tinggalkan dikalangan kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada kedua nya, iaitu kitab Allah dan Sunnah Rasulullah S.A.W." - (Imam Malik)

1 comment:

biosave said...

sebagai umat islam,insaf la dpd sbrang prbuatan mksiat....