DIALOG NABI MUSA DENGAN SYAITAN
Usaha-usaha syaitan untuk menjerumuskan manusia ke kancah maksiat dan dosa, kemudian ke Neraka merupakan usaha yang tidak kesudahan selagi manusia hidup di muka bumi ini. Pendek kata, syaitan adalah makhluk Tuhan yang paling jahat. Hidupnya hanyalah untuk merosak dan menjahanamkan manusia semata-mata. Justeru itu, Allah SWT telah berfirman di dalam Al-Quran bahawa syaitan itu adalah musuh manusia yang nyata, maka jadikanlah ia sebagai musuh. Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya syaitan itu musuh bagimu, maka jadikanlah dia sebagai musuh. Sesungguhnya ia hanya mengajak golongannya supaya menjadi ahli Neraka”. (Surah Fatir, ayat 6)
“Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin kepada orang-orang yang tidak beriman”. (Surah Al-A’raaf, Ayat 27).
Itu adalah beberapa pesanan dan peringatan Allah SWT kepada manusia supaya berhati-hati agar tidak dapat diperdaya oleh syaitan. Manakala di pihak syaitan pula, mereka tidak ragu-ragu memecahkan rahsia peribadi mereka kepada Rasul-rasul tentang cara syaitan mempergaruhi dan memenangi hati umat manusia untuk menambahkan lagi bilangan pengikut-pengikutnya ke Neraka.
Tujuan syaitan mendedahkan rahsianya di samping mendedahkan kelemahan manusia bukan didorong oleh rasa keikhlasannya untuk memberi peringatan dan pesanan kepada manusia supaya berhati-hati dalam menghadapi godaannya tetapi merupakan manifestasi tentang ketakburan, kesombongan dan kemegahannya bahawa meskipun semua itu diketahui oleh anak Adam namun dengan kekuasaan dan kepintarannya, di samping kelemahan dan kekurangan diri manusia, syaitan akan dapat menguasai dan melawan manusia kecuali manusia yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT sahaja.
Untuk mengetahui perkara itu dengan lebih jauh, mari kita ikuti dialog Nabi Musa a.s dengan syaitan yang menunjukkan syaitan mendedahkan caranya untuk memerangkap manusia.
Syaitan :
Hai Musa! Engkaulah yang telah dipilih Allah untuk membawa risalah-risalah-Nya dan engkaulah yang diajak-Nya berkata-kata dengan sebenarnya dan aku salah satu makhluk Allah yang telah berdosa dan aku ingin bertaubat. Maka mohonkanlah kepada Tuhanku supaya diberi taubat kepadaku. Maka Nabi Musa a.s segera memohon kepada Allah, lantas mendapat jawapan :
Allah SWT :
Hai Musa! Aku telah perkenankan permintaanmu. Lantas Nabi Musa a.s menemui syaitan dan berkata kepadanya :
Nabi Musa a.s :
Engkau telah diperintahkan sujud hormat kepada kubur Adam dan akan diberi taubat ke atasmu! Mendengar nama Adam itu, syaitan tiba-tiba bersikap takbur dan marah.
Syaitan :
Aku tidak mahu sujud kepada Adam waktu hidupnya, apakah pula sekarang aku diminta sujud kepadanya sesudah matinya? Katanya lagi dengan rasa marah dan penuh sombong. Hai Musa! Sesungguhnya sekarang engkau berhak mendapatkan balasan daripadaku kerana engkau telah memohon syafaat kepada Allah buat keampunanku. Ingatlah kepadaku terhadap 3 perkara, nescaya tidak akan membuatkan perlaksanaannya.
PERTAMA, ingatlah daku pada waktu engkau sedang marah kerana aku akan datang membawa bisikan ke dalam hatimuk dan ketika itu aku berada dalam tubuhmu dan aku berjalan di dalam tubuhmu menurut perjalanan darah.
KEDUA, ingatlah kepadaku pada waktu engkau sedang bertempur di medan perang menghadapi musuhmu kerana aku akan datang kepada manusia yang sedang bertempur di medan perang dan aku impikan kepadanya akan anak-anak isterinya dan keluarganya supaya lari bersama mereka secara teratur.
KETIGA, berhati-hatilah ketika engkau sedang duduk dengan perempuan yang bukan muhrimmu kerana aku akan datang membawa perutusannya kepadamu dan perutusanmu kepadanya.
Suatu ketika pula, mengikut Abdul Rahman Zoyad, sewaktu Nabi Musa berada di tempat duduknya, tiba-tiba datang syaitan dengan memakai tudung kepala yang dicelup dengan bermacam-macam warna. Sampai dekat kepada Nabi Musa a.s, dibukanya tutup kepala itu dan ditaruhnya.
Syaitan :
Assalamualaikum, ya Musa.
Nabi Musa :
Waalaikumussalam, siapakah engkau?
Syaitan :
Aku ini syaitan.
Nabi Musa :
Kalau begitu semoga Allah tidak hidupkan engkau! Apakah tujuanmu datang kepadaku?
Syaitan :
Kedatanganku ini ialah untuk memberi salam kepadamu, melihatkan kedudukanmu dan darjatmu yang tinggi di sisi Allah.
Nabi Musa :
Apakah itu yang engkau pakai sebagai penutup kepala?
Syaitan :
Dengan ini aku akan menangkap dan menawan segala hati manusia.
Nabi Musa :
Kalau begitu apa yang engkau lakukan kepada manusia sehingga engkau dapat memperdayakannya?
Syaitan :
Apabila manusia merasai takjub (terpesona) terhadap dirinya. Manusia merasa banyak amal baiknya dan ia lupa akan dosanya dan aku pun hendak memperingatkan engkau terhadap 3 perkara.
PERTAMA, jangan sekali-kali engkau bersendirian dengan seorang perempuan yang tidak halal sama sekali bagimu. Kerana sesungguhnya tidaklah bersunyi-sunyian seorang lelaki dengan seorang perempuan yang tidak halal baginya melainkan aku akan menjadi sahabatnya, lain dari sahabat-sahabatku sehingga aku fitnah ia dengan perempuan itu.
KEDUA, janganlah engkau sekali-kali berjanji kepada Allah untuk melakukan kebaikan atau meninggalkan kejahatan yang hendak dilakukannya kerana sesungguhnya tidaklah seorang berjanji kepada Allah melainkan aku akan menjadi sahabatnya, lain dari sahabat-sahabatku sehingga aku menghalanginya antara dia dan antara penunaian janjinya itu.
KETIGA, jangan sekali-kali engkau mengeluarkan sedekah yang engkau hendak melaksanakannya kerana sesungguhnya tidaklah seorang lelaki yang hendak mengeluarkan sedekah dan hendak dilaksanakannya itu melainkan aku akan menjadi sahabatnya, lain dari sahabat-sahabatku sehingga aku menghalangi antaranya dan antara yang mengeluarkannya. Kemudian syaitan pergi dan berkata “Celakalah manusia terhadap 3 perkara itu”.
Dengan itu tahulah Nabi Musa a.s tentang apa yang harus manusia berhati-hati. Secara umumnya, dapatlah disimpulkan tujuan syaitan itu :
PERTAMA : Jika seorang lelaki bersendirian dengan seorang perempuan bukan muhrimnya, maka syaitan akan menjadi orang ketiga untuk memfitnah agar kedua-duanya melakukan perbuatan hina dan curang.
KEDUA : Jika seorang itu berjanji kepada Allah akan melakukan kebaikan, maka syaitan akan menghalangnya berbuat demikian.
KETIGA : Jika seorang itu hendak mengeluarkan sedekah, maka syaitan akan menghalangnya berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment